Oleh pada 03 Dec 2018 kategori

Soto ayam merupakan sup ayam pedas kekuningan dengan lontong, nasi himpit atau ketupat (semua nasi dimasak dan ditekan yang kemudian dipotong menjadi kek kecil) dan/atau bihun atau mi, yang lazimnya terdapat di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Suriname.

Kunyit ditambah sebagai antara ramuan bagi menjadikan sup ayam kuning. Ia mungkin adalah jenis soto paling terkenal, sup tradisional yang sering terdapat dalam masakan Indonesia.

Selain ayam dan bihun, ia turut boleh disajikan dengan telur rebus, hirisan kentang goreng atau bergedil, daun saderi Cina dan bawang goreng.

Santan kadangkala digunakan sebagai ramuan. Kadangkala juga orang akan menambah "koya", serbuk keropok udang bercampur dengan bawang putih goreng atau sambal pedas berwarna jingga, keropok atau emping merupakan hiasan yang sangat biasa.

Resepi soto ini pemilik resepinya dapat dari kakak ipar beliau dan merupakan resepi asal dari jiran yang sememangnya berniaga soto suatu ketika dahulu.

Resepi ini memang tidak mempunyai sukatan. Pemilik resepi selalunya masak soto ini dalam kuantiti yang banyak kerana ia sedap biarpun rumit.

Jika mahu jimat masa, bihun dan kacang tanah boleh digoreng lebih awal sehari sebelum dan begedil boleh digentel lebih awal.

Untuk kuah sup, pemilik resepi menyarankan supaya rangka ayam dan kaki ayam wajib dimasukkan kerana air dari lemak tulang ini yang menambahkan keenakan kuah sup.

Soto

Kredit foto: Fariza MohdMar Azura Mansor (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan sup

  • Rangka ayam
  • Kaki ayam
  • Kiub ayam
  • Bawang merah dan putih (dimayang) + halia (dihiris)
  • 1 helai daun pandan
  • Rempah sup Adabi
  • Gula batu
  • Bahan tumis 4 beradik (1 biji bunga lawang, 1 biji bunga cengkih, 1 biji kayu manis dan pelaga)

Bahan-bahan begedil

  • Kentang
  • Daun sup
  • Daun bawang
  • Bawang goreng
  • Rempah sup Adabi

Bahan-bahan lain

  • Bihun
  • Nasi impit
  • Kacang goreng
  • Bawang goreng
  • Daun sup dan daun bawang
  • Ayam goreng
  • Taugeh

Bahan cili kicap

  • Cili api
  • Bawang putih (2-3 biji)
  • Kicap manis
  • Gula

Langkah pertama:

1. Panaskan kuali, tuang minyak (kadar terendam seperti mahu goreng keropok). Apabila mendidih, keluarkan bihun dan goreng sedikit demi sedikit.

2. Tapis dan simpan dalam bekas kedap udara.

Langkah kedua:

1. Kentang dipotong dan digoreng menggunakan minyak bihun tadi.

2. Biarkan seketika.

3. Apabila telah sejuk sedikit, boleh tumbuk sehingga lumat.

4. Setelah siap semua kentang ditumbuk, masukkan dalam sebuah bekas. Gaul bersama sedikit rempah sup Adabi, daun bawang dan daun sup. Letakkan bawang goreng yang telah diramas. Gaul semua dan sebatikan dengan garam.

5. Setelah sebati, kepalkan dan buat bulat-bulat.

6. Sebelum menggoreng, celupkan satu persatu bergedil dalam telur yang telah dipukul.

7. Panaskan minyak, celup dan goreng.

Langkah ketiga:

1. Gorengkan kacang dan simpan dalam bekas kedap udara.

Langkah keempat:

1. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia bersama 4 beradik (1 biji bunga lawang, 1 biji bunga cengkih, 1 biji kayu manis dan pelaga) sehingga kekuningan.

2. Masukkan rangka ayam yang telah dipotong dan kaki ayam biarkan sehingga separuh masak.

3. Campakkan daun pandan yang telah disimpul.

4. Masukkan air dan letak kiub ayam.

Nota: Pemilik resepi guna sekotak ada 6 ketul, kerana beliau masak untuk 20-30 orang makan.

5. Masak sehingga kaki ayam lembut dan jika air kurang boleh ditambahkan.

6. Bancuh perencah sup Adabi dengan air biasa dan masukkan dalam sup tadi.

7. Lebih banyak perencah sup, lebih pekat.

Tips: Imbangkan rasa dengan gula batu kerana perencah ini pedas.

8. Akhir sekali, masukkan garam kasar.

Langkah kelima:

1. Isi ayam disapukan kunyit lalu digoreng.

2. Carikkan isi ayam.

Langkah keenam:

1. Cili api dimesin bersama bawang putih, gula dan kicap. Jika terlalu pekat, boleh masukkan sedikit air masak.

Siap.

Cara hidangan lengkap:

Letakkan nasi impit, bihun yang digoreng, 2-3 biji begedil, sedikit ayam yang dicarik tadi, kacang goreng, taugeh yang telah dicelur, daun sup, daun bawang dan cili kicap. Akhir sekali, masukkan kuah.

soto2

Soto enak jika dimakan panas-panas

Sumber:

1. Fariza Mohd [1, 2]

2. Wikipedia Soto Ayam




Hakcipta iluminasi.com (2017)