Oleh pada 28 Sep 2018 kategori

Donat Ala Big Apple Mak Style

Donat memang menjadi kegemaran ramai. Tidak kisah dari golongan muda atau yang sudah berusia, semuanya sukakan donat. Kini donat boleh didapati dengan pelbagai pilihan topping yang menambahkan lagi variasi kepada para pembeli.

Jika anda salah seorang peminat donat Big Apple, kami sediakan resepinya. Selepas ini, anda tak perlu mengeluh lagi untuk mengeluarkan duit poket untuk memenuhi keinginan anak-anak dan keluarga. Nak dapatkan rasa yang betul-betul sama itu mungkin tidak. Tetapi, sememangnya jauh lebih menjimatkan.

Bahan-bahan

  • 4 cawan 1/2 tepung gandum
  • 1 cawan air suam
  • 2 sudu besar mentega
  • 3 sudu besar gula pasir (boleh kurang jika tidak suka manis, tetapi sukatan ini sudah ok)
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • 1 sudu kecil serbuk penaik (baking powder)
  • 1 sudu kecil softner
  • 1 sudu besar shortening
  • 1 sudu kecil ovellate
  • 1 paket yis mauripan (11g)
  • 1 biji telur (gred A)
  • secubit garam

Cara-caranya:

1. Cairkan mentega dan ketepikan. Biarkan sejuk.

2. Gula dan susu disatukan di dalam air suam. Kacau supaya gula larut.

3. Masukkan yis, kacau lagi. Biarkan selama 15 minit.

4. Pukul telur sedikit dan campurkan bersama mentega cair tadi.

5. Selepas 15 minit, yis akan naik berbuih-buih. Masukkan dalam mentega yang dicampur telur tadi. Kacau.

6. Gaul dan ramas tepung, baking powder, softner, ovellte, shortening dan garam sehingga menjadi serbuk roti.

7. Masukkan campuran yis ke dalam mangkuk yang berisi tepung tadi digaul sebati. Uli sampai jadi doh. Uli-uli sampai tidak melekat pada tangan.

Nota: Doh memang lembik sedikit tetapi jangan panik. Akhir sekali, kikis doh yang melekat. Celup tangan dengan minyak masak. Uli lagi sampai tidak melekat pada tangan.

8. Biarkan adunan rehat selama sejam ataupun dah naik double.

9. Banyakkan tepung di tangan supaya adunan tidak melekat. Adunan memang agak lembik.

10. Selepas sudah kembang, tumbuk doh yang gemuk kembang tadi untuk buang angin. Uli sebentar supaya jadi seperti doh asal tadi. Jadi, mula tekap dengan acuan. Tips: Pemilik resepi menggunakan cawan kopi sahaja untuk lubang tengah pakai nozzel. Apa sahaja janji berlubang. Celup dahulu acuan dengan tepung setiap kali tekap supaya tidak melekat.

11. Selepas tekap, biarkan donat dalam setengah jam sebelum menggoreng. Pemilik resepi tidak tunggu pun kerana semasa kita tekap, donat yang mula-mula tersebut naik kembang balik.

12. Sediakan minyak untuk menggoreng. Gunakan api kecil tapi betul-betul panas. Jangan alih selalu supaya tidak serap banyak minyak. Setelah agak-agak kekuningan keemasan bolehlah diangkat.

Tips: 

  1. Gaul dalam gula icing atau gula caster. Mahu hias dengan coklat pun sedap.
  2. Untuk dapatkan donat yang lembut dan gebu, dohnya memang lembik. Diharap banyakkan bersabar.

donat ala big apple 2

Sumber: Norislinah Mahfar




Hakcipta iluminasi.com (2017)