Chawanmushi (kukusan mangkuk) merupakan sebuah hidangan Jepun yang dibuat daripada campuran telur ayam dan dashi yang dikukus di dalam mangkuk.

Hidangan ini disajikan dengan mangkuknya dan dimakan sebagai makanan pembuka selera.

Penyedap rasa seperti daun mitsuba, cendawan shiitake, biji ginkgo biloba yang sudah dikupas, kamaboko, udang atau daging ayam diletakkan di dasar mangkuk.

Campuran telur dan dashi dituangkan secara perlahan-lahan ke dalam mangkuk supaya tidak terbentuk buih.

Cara membuat dan mengukus memerlukan perhatian di dalam Chawanmushi yang telah masak tidak terdapat buih. Telur dicampur dengan dashi dengan dikacau secara tidak berlebihan.

Tutup kukusan dengan beralaskan kain dan perlu direnggangkan sedikit semasa mengukus supaya telur tidak menjadi sangat keras.

Chawanmushi telah menjadi popular di Jepun sejak zaman kuno. Menu ini adalah makanan untuk semua musim, disajikan secara sejuk sewaktu musim panas atau disajikan panas-panas sewaktu musim sejuk.

Tekstur Chawanmushi yang lembut seperti puding kustard mudah dimakan oleh golongan kanak-kanak mahupun dewasa. Chawanmushi yang di dalamnya dicampur udon dipanggil Odamaki mushi (Odamaki udon).

 

Chawanmushi Homemade (Kastard Telur Kukus)

chawanmushi homemade

 

Bahan-bahan:

  • Paha ayam (sekeping)

➡ Ambil daging dan tulang dimasukkan dalam periuk untuk direbus. Daging dipotong kecil dan diperap dengan: 

  • Kicap cair (2 sudu kecil)
  • Minyak bijan (beberapa titik)
  • Lada sulah (sedikit)
  • Cendawan shiitake kering (3 biji)- direndam dalam air panas selama sejam
  • Stok ayam
➡ Gunakan stok pekat ayam dan campur dengan air (jika buat stok sendiri lebih baik). Jadikan dalam 550ml stok.
  • Telur gred A (3 biji)

 

Langkah penyediaan:

1. Masukkan stok ayam ke dalam periuk yang mengandungi tulang ayam. Masukkan juga cendawan shiitake kering yang telah direndam. Renihkan dengan api perlahan dan periuk bertutup selama 20 minit. Matikan api dan ketepikan.

2. Keluarkan cendawan shiitake dan hiris.

3. Masukkan kepingan ayam yang sudah berperap dan hirisan cendawan shiitake ke dalam mangkuk-mangkuk kecil. Jika ingin tambah udang segar pun boleh.

4. Masukkan lebihan bahan perapan ayam tadi ke dalam 3 biji telur. Tambahkan setengah sudu garam. Pukul dengan garfu sehingga sebati. Jangan sehingga terlalu berbuih.

5. Tuangkan stok yang telah sejuk sedikit ke dalam bancuhan telur tadi. Kocak dengan garfu supaya sekata.

Tips: Tahap kepanasan stok tersebut lebih sedikit daripada rasa kulit kepala orang yang demam panas.

6. Tapiskan ramuan telur bercampur stok tersebut ke dalam sebuah mangkuk besar.

7. Sudukan ke dalam mangkuk kecil berisi ayam dan cendawan. Jangan terlalu penuh. Rujuk gambar di bawah.

chawanmushi 1

8. Tutup setiap mangkuk dengan foil.

9. Kukus dengan api sederhana antara 15-17 minit. Kemudian, boleh keluarkan dan hidangkan panas-panas.

  

chawanmushi 2

Rasanya yang lembut, lemak dan masin juga enak dimakan ketika sakit tekak dan demam

 

Nota:

✔ Menurut pemilik resepi, hidangan ini amat berkhasiat dan lazimnya digemari oleh anak kecil.

✔ Ia lembut dan mengalir di tekak, serta enak dimakan ketika masih panas.

✔ Ia dibuat sebagai hidangan sampingan yang diolah dengan bahan yang ada sahaja. Tiada kombu atau bonito untuk membuat stok dashi. Pemilik resepi gunakan stok pekat ayam kerana mahu cepat.

 

Sumber:

1. Ida Alina Salleh [12]

2. Wikipedia Chawanmushi



Hakcipta iluminasi.com (2017)