Oleh pada 21 Dec 2018 kategori

Puding roti merupakan hidangan pencuci mulut yang popular di kebanyakan negara, termasuk di England, Perancis, Belgium, Puerto Rico, Mexico, Argentina, Louisiana Creole dan selatan Amerika Syarikat.

Dalam bahasa lain, namanya merupakan terjemahan dari nama Inggeris ("bread pudding") atau sekadar "puding"; dalam bahasa Sepanyol, nama lain adalah "migas" (habuk roti), dan mereka turut memiliki hidangan yang serupa, capirotada.

Ia lazimnya dihasilkan dari roti lemau (lazimnya sisa roti), telur, gula atau sirap, rempah seperti kayu manis, buah keras, vanila dan buah-buahan kering. 

Roti direndam (selalunya semalaman), dikeringkan dan dicampur dengan bahan lain. Campuran ini dipindahkan ke dulang dan dibakar. 

Ia boleh dihidangkan bersama kuah manis, di Malaysia, ia lazimnya disajikan dengan kuah kastad. Di Hong Kong, puding roti lazimnya disajikan bersama kuah krim vanila. 

 

Puding Roti Kukus Dengan Sos Kastard 

Kredit foto: Nurul Shafira (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan untuk puding roti:

  • 8-9 keping roti putih (pemilik resepi guna 10 keping)
  • 3 biji telur
  • 1 tin susu cair
  • 4 sudu besar gula
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • Sedikit mentega (pemilik resepi guna Marjerin Daisy)
  • Sedikit kismis (pemilik resepi guna kismis hitam)
  • Sedikit coklat chip (optional)

Cara menyediakan puding roti kukus:

1. Sapu loyang dengan mentega. Pemilik resepi guna foil container sahaja.

2. Sapu mentega pada depan dan belakang roti. Potong 4. Jika mahu carik-carikkan pun boleh. Susun roti ke dalam loyang rapat-rapat.

3. Masukkan susu cair, telur, gula dan esen vanilla ke dalam satu bekas. Kacau-kacau adunan sehingga sebati. Boleh guna sudu, senduk atau whisk. Pemilik resepi menggunakan sudu sahaja.

4. Curahkan adunan ke atas roti yang telah disusun di dalam loyang tadi. Tekan-tekan roti supaya sebati dengan adunan tadi. Biarkan seketika supaya roti menyerap adunan tadi.

5. Taburkan kismis dan coklat chip di atas roti.

6. Panaskan pengukus.

7. Apabila air kukusan mendidih, baru masukkan loyang ke dalam pengukus. Kukus selama 30-35 minit.

Bahan-bahan untuk sos kastard:

  • 1 tin susu cair
  • 1/2 tin air (guna tin susu cair di atas)
  • 3 sudu besar gula
  • Secubit garam
  • 2-3 sudu besar tepung kastard
  • 1 sudu teh esen vanila

Cara menyediakan sos kastard:

1. Masukkan susu cair, air, gula, garam, tepung kastard dan esen vanila ke dalam periuk. Pemilik resepi tambah sedikit pewarna kuning.

2. Kacau perlahan-lahan sehingga pekat dan mendidih dengan menggunakan api perlahan.

3. Tutup api. Sejukkan.

Cara menghidang:

1. Potong puding roti (bentuk potongan ikut citarasa).

2. Tuang sos kastard ke atas puding roti.

3. Boleh dihidangkan panas atau sejuk.

puding roti kukus dengan sos kastard

Tips: 

➡ Sedap dimakan ketika cuaca panas.

➡ Untuk lebih enak, sejukkan sos kastard terlebih dahulu dalam peti sejuk.

Sumber:

1. Hamizah Hassanudin [1, 2]

2. Hamidah HA [1, 2]

3. Wikipedia Puding Roti




Hakcipta iluminasi.com (2017)