Nougat merupakan sebuah manisan yang didakwa berasal dari negara-negara seperti Timur Tengah, Turki atau Itali. Resepi ini tidak menggunakan susu unta atau apa-apa susu sekalipun.
Sukatan gula yang diberi sudah dikurangkan dan tidak boleh dikurangkan lagi. Ini kerana jika tidak manis, Nougat tidak akan menjadi. Tahap kemanisan itulah yang 'hold' teksturnya nanti.
Selain pistachio dan buah beri kering, anda juga boleh letakkan badam. Biarpun resepi dan langkahnya kelihatan senang, namun sebenarnya ada bahagian yang amat rumit.
Nougat Homemade
Bahan-bahan:
- Putih telur gred A (sebiji)
- Garam (secubit)
- Gula pasir (½ cawan)
- Madu (½ cawan)
- Kacang pistachio (secawan) - apa-apa jenis kacang kecuali kacang tanah kerana tidak sesuai
- Buah beri kering (setengah cawan)
- Mentega
Cara-cara penyediaan bergambar:
- Putih telur gred A dan garam. Putar sehingga bertanduk.
- Gula pasir dan madu. Didihkan sehingga berbuih, gula larut dan pekat melekat bertali.
- Tuang campuran madu dan gula tadi dalam putih telur. Hati-hati kerana larutan ini amat panas. Terus putar.
- Sehingga menjadi pekat melekat seperti ini. Bahagian ini paling rumit, sukar dan menguji kesabaran. Jika salah bahagian ini, Nougat tidak akan menjadi. Perlu pastikan ia betul-betul kental dan padu. Putar sehingga rasa berat melekat pada pemutar.
- Untuk mengetahui sama ada tekstur baik atau tidak, titis sedikit bancuhan dalam air sejuk. Apabila ia sejuk, ia memejal elok. Itu bermakna sudah baik. Sudah boleh berhenti putar bancuhan tadi. Jika ia masih cair dan pecah-pecah, perlu putar lagi. Sehingga jadi.
- Masukkan kacang pistachio dan buah beri kering.
- Gaul dengan cepat supaya ia tidak mengeras.
- Pemilik resepi lapik bekas ini dengan plastic wrap dahulu. Kemudian, alas dengan baking paper. Sembur dengan minyak masak.
- Tuang terus dengan cepat kerana ketika ini ia sudah mula hendak memejal. Susah jika melekat nanti. Ratakan dengan elok. Ketika ini, memang comot, melekat-lekat pada tangan dan peralatan.
- Sekeping lagi baking paper, sembur juga dengan minyak masak.
- Tutup atasnya.
- Ratakan dan tekan-tekan supaya mampat. Biarkan pada suhu bilik selama 4-5 jam. Siap. Perlahan-lahan tanggalkan kertas dari kedua-dua bahagian. Sudah boleh dipotong. Pada pisau pemotong, sapu sedikit mentega kerana ia melekat. Potong kiub dan setiap potongan balutkan dengan plastic wrap kerana ia akan melekat sesama sendiri. Simpan dalam peti ais.
Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.