Oleh pada 28 Mar 2018 kategori

Umum mengetahui tentang betapa lamanya sejarah kerajaan China yang mempunyai banyak dinasti pemerintah. Namun, adakah anda tahu siapakah sebenarnya 'pengasas' kerajaan China? Dan apakah kaitan beliau dengan patung tentera terracotta yang ditemui lebih 4 dekat lalu?

Siapakah Maharaja Pertama China?

Qin Shi Huang (260-210 BC) adalah maharaja yang menyatukan negeri-negeri di China, yakni Maharaja China yang pertama. Sejak kecil, beliau adalah raja kepada kerajaan Qin. Selain kerajaan Qin, terdapat beberapa lagi kerajaan lain di China, dan kerajaan-kerajaan ini sentiasa memerangi satu sama lain. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab menguasai kesemua 7 negeri yang berperang, dan menamatkan peperangan tersebut. Beliau menggelarkan diri beliau sebagai Maharaja Dinasti Qin dan membentuk sejarah moden China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Maharaja Qin menggunakan kuasa dan pengaruh beliau untuk menyeragamkan adat, pengajian dan amalan politik masyarakat China. Beliau sangat kejam kepada sesiapa yang menentang beliau dengan hukuman yang berat. Maharaja Qin juga dikenang kerana sumbangan beliau yang membina dinding di utara China bagi melengkapkan Tembok Besar China, sebagai benteng daripada serangan Mongol.

Ketika masih hidup, beliau mengarahkan agar dibina sebuah makan bersaiz bandar, yang dijaga oleh tentera Terracotta yang bersaiz manusia sebenar. Beliau memerintah sebagai Raja kerajaan Qin dari 247 BC hingga 220 BC, dan sebagai Maharaja China dari 220 BC hingga 210 BC. 

Penemuan Tentera Terracotta Oleh Petani Tempatan

penemuan tentera terracotta di china

Tentera Terracotta ditemui pada 29 Mac 1974 oleh petani tempatan yang pada ketika itu sedang mencari sumber air dengan menggali sebuah perigi sedalam kira-kira 1.5km bawah tanah. Kawasan berkenaan terletak di timur makam Maharaja Qin di Mount Li (Lishan), sebuah kawasan yang penuh dengan mata air dan air bawah tanah. 

Selama berabad, terdapat laporan dan cakap-cakap menyebut tentang figura Terracotta dan serpihan nekropolis Qin yang dihiasi dengan bumbung berjubin dan batu bata. Penemuan ini menggesa ahli arkaeologi China untuk melakukan kajian, mendedahkan penemuan kumpulan patung terbesar pernah ditemui di negara berkenaan. Tidak lama selepas penemuan tersebut, sebuah kompleks muzium telah dibina di atas tapak berkenaan.

Fakta Sejarah Tentang Tentera Terracotta

tentera terracotta yang ditemui

tentera terracotta berkuda

Tentera Terracotta adalah sebuah koleksi patung figura terracotta (arca tanah liat) yang mempamerkan tentera Qin Shi Huang, Maharaja China yang pertama. Ianya adalah sejenis bentuk seni pengebumian maharaja berkenaan yang meninggal dunia sekitar 210-209 BC. Tujuan tentera tersebut adalah bagi melindungi Maharaja Qin dalam kehidupan selepas mati. 

Figura tersebut, yang berusia ribuan tahun ditemui pada 1974 di daerah Lintong, Xi'an, Wilayah Shaanxi. Patung Tentera Terracotta ini mempunyai ketinggian yang berbeza mengikut peranan masing-masing, dengan yang paling tinggi sebagai jeneral. Selain tentera, figura ini turut terdiri daripada kuda dan kereta kuda. 

Anggaran pada tahun 2007 mengatakan terdapat 3 buah lubang yang mengandungi lebih daripada 8,000 patung tentera Terracotta, 130 buah kereta kuda dengan 520 kuda dan 150 tentera berkuda. Kebanyakan patung-patung ini ketika ditemui berada di dalam lubang yang paling berdekatan dengan makam Maharaja Qin Shi Huang. Terdapat figura selain daripada tentera yang turut ditemui di dalam lubang berkenaan termasuklah pegawai, ahli akrobatik, ahli politik dan ahli muzik.

Bagaimana Patung Tentera Terracotta Dihasilkan

bagaimana patung tentera terracotta dihasilkan 255

Sekiranya anda mengunjungi Muzium Tentera Terracotta, anda pasti terlihat sesetengah figura patung berkenaan tidak mempunyai bahagian kepala, namun dengan badan yang lengkap berpakaian. Kajian menunjukkan bahawa setiap bahagian badan seperti kepala, tangan dan kaki patung tersebut dihasilkan secara berasingan. 

Dipercayai bahawa kebanyakan bahagian kepala dan kaki patung tentera dihasilkan menggunakan acuan. Selepas disatukan, tanah liat disapu pada permukaan patung supaya para artis boleh membentuk muka dan rambut setiap patung secara individu. 

Kemudian, patung-patung ini dibakar di dalam relau (furnace) supaya tanah liat tersebut keras dan lebih tahan lama. Selepas itu, patung tersebut dicat dengan warna-warna yang cerah. Hasilnya, setiap patung figura tersebut nampak berlainan antara satu sama lain dan unik, seperti manusia hidup. Selepas hampir lebih 2,000 tahun terdedah kepada hakisan dan kelembapan, kebanyakan patung-patung Terracotta telah kehilangan warnanya. 

Fakta Menarik Mengenai Qin Shi Huang

Qin Shi Huang sangat takut rakyatnya mengetahui tentang sejarah asal dan kisah-kisah masyarakat terdahulu. Beliau telah membakar semua gedung-gedung ilmu yang ada termasuklah transkrip, buku, skrol, atau apa jua yang mengandungi kisah-kisah sejarah, falsafah pemberontakan dan sebagainya.

Qin Shi Huang juga bertungkus lumus mewujudkan satu 'department' atau pasukan khas semata-mata untuk mengkaji ramuan untuk kehidupan yang abadi. Beliau sangat takut untuk menghadapi mati. Qin Shi Huang telah menanam hidup-hidup 460 orang tabib, doktor dan ahli sarjana di zaman itu kerana mereka tidak berjaya menemui ramuan kehidupan yang abadi.

Kesimpulan

qin shi huang dan tentera terracotta

Dari penemuan patung terracotta, kita boleh simpulkan bahawa pemerintah kerajaan dahulu kala mempunyai kekuatan dari segi ekonomi dan kuasa politik. Namun, apabila mati, semua kekuatan ini tidak mampu dibawa mati. Situasi yang sama kekal hingga ke hari ini dan semua pemimpin bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia harus mengambil pengajaran ini sebagai iktibar.  

Sumber & Bacaan Tambahan: 

  1. biographyonline.net
  2. en.wikipedia.org
  3. chinahighlights.com
  4. nationalgeographic.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)