alam perwira duke ji fat 461

Bagi generasi yang lahir tahun 80-an dan 90-an, nama pelukis komik terkenal Hong Kong - Tony Wong memang tidak asing lagi.

Tony Wong mula terkenal di Malaysia dengan penerbitan komik terbitan tidak rasmi berjudul 'Singa Ganas', sebelum syarikat penerbitan Malaysia membeli hak penerbitan beberpapa judul komiknya untuk diterbitkan dalam versi mingguan.

Namun siri komik beliau yang betul-betul meletup sudah pastilah tak lain dan tak bukan siri legenda 'Alam Perwira', yang memaparkan corak lukisan baru Tony Wong serta jalan cerita yang sangat mengasyikkan untuk diikuti.

Tahukah anda sejarah sebenar di sebalik komik klasik ini?

'Alam Perwira' bukan komik fiksyen semata-mata

duke ji fat alam perwira

Siri 'Alam Perwira' menampilkan kisah seorang kanak-kanak bernama Ji Fat yang dipercayai akan mengubah China, disebabkan oleh petanda-petanda yang wujud semasa detik kelahirannya.

Membaca komik ini, anda akan melalui semua pengalaman yang ditempuhi Ji Fat sejak dia bayi sehinggalah dia naik menjadi maharaja China, memulakan dinasti baru pemerintahan yang megah.

Unsur-unsur fiksyen sudah pastilah menjadi ramuan utama komik khasnya apabila melibatkan elemen seperti identiti watak dan seni pertahanan diri yang diamalkan serta jalan ceritanya.

Bagaimanapun, tunjang kisab 'Alam Perwira' sebenarnya datang daripada tiga tokoh besar dalam sejarah era Dinasti China.

Siapakah Maharaja Zhou?

maharaja zhou alam perwira komik hong kong

Watak penjahat utama siri 'Alam Perwira' adalah seorang maharaja China bernama Maharaja Zhou.

Digambarkan sebagai seorang raja berbadan sasa dan gemar berpoya-poya dengan wanita, Zhou licik serta tidak takut untuk mempergunakan kuasanya demi memastikan dia dapat apa yang dia inginkan.

Identiti Maharaja Zhou memang diambil berdasarkan kepada sifat sebenar Maharaja Zhou dalam sejarah.

Raja Zhou merupaman raja terakhir Dinasti Shang di China mempunyai janggut tebal, tegap dan bijaksana. Nama asalnya pula adalah Di Xin,menggunakan nama Zhou selepas menaiki takhta.

maharaja zhou orang jahat alam perwira

Dia terkenal sebagai seorang yang panas baran dan kejam, khasnya apabila dia berusaha ingin menghiburkan isterinya yang dikatakan agak sadis bernana Da Ji.

Zhou semasa pemerintahannya kerap kali mengabaikan tanggungjawab memerintah, sebaliknya gemar menganjurkan parti-parti seks liar bersama dayang-dayang istana.

Bukti kekejaman Zhou

bekas gangsa dinasti shang

Salah satu simbol kekejaman utama Zhou adalah kaedah hukuman yang dinamakan sebagai 'paolao zhi xing' atau 'tiang terbakar', di mana tiang atau bekas berlohong yang diperbuat daripada gangsa akan diisi dengan arang panas.

Mana-mana mangsa bernasib malang akan dikenakan hukuman sama ada berjalan di atas tiang/bekas tersebut sampai mati.

Kekejaman pasangan suami isteri itu cuba dihentikan oleh sanak-saudara mereka, namun Zhou dan Da Ji tidak gentar untuk membunuh sesiapa saja yang berani membantah mereka - tak kiralah ada pertalian darah sekalipun.

periuk kuali tiang terbakar alam perwira

Raja Zhou yang lahir pada tahun 1105BC/SM memerintah China selama 29 tahun sebelum dijatuhkan oleh tentera Dinasti Zhou (ejaan sama, sebutan berbeza - lebih kepada 'Chou') di bawah kelolaan panglima tentera terulung mereka, Jiang Ziya.

Di dalam komik 'Alam Perwira', Jiang Ziya dinamakan sebagai Tok Jiang, seorang tua yang gemar memancing yang lucu. Watak itu diasaskan kepada salah seorang tokoh paling dihormati sejarah China.

Nasib anak beranak Ji Chang, Ji Fat dan Ji Kao

duke ji chang alam perwira 455

Hubungan utama yang menjadi asas penceritaan 'Alam Perwira' adalah watak tiga anak beranak. Si ayahnya Duke Ji Chang sementara dua anaknya Ji Kao dan Ji Fat.

Ketiga-tiganya juga dibentuk daripada tokoh sejarah sebenar China. Kita mulakan dengan Duke Ji Chang terlebih dahulu.

Dalam sejarah China, Ji Chang yang memang nama sebenarnya lebih terkenal dengan nama panggilannya Raja Wen, nama yang digunakan selepas dia dinaikkan takhta mentadbir sebuah estet kecil semasa era pemerintahan Maharaja Zhou.

Ji Changmewarisi estet tersebut selepas kedua ibu bapanya dibunuh salah seorang raja dalam Dinasti Shang, menyebabkan beliau perlu mentadbir sejak muda.

Konflik antara Maharaja Zhou dan Ji Chang mula tercetus selepas pengaruh Wen meningkat naik, mengakibatkan Ji Chang ditangkap bimbang dia akan mengancam kedudukan dinasti tersebut.

Usaha membebaskan Ji Chang dikepalai anak sulungnya, Jikao yang pergi menghadap Raja Zhou untuk memohon pelepasan ayahnya.

Malangnya, Raja Zhou bertindak gila membunuh Jikao sebelum melumatkan daging pemuda tersebut. Daging yang sudah dilumatkan itu dijadikan bahan kandungan kuih yang akhirnya dijamu secara paksa kepada Ji Chang dalam penjara.

Hanya selepas desakan ramai golongan bangsawan agar Raja Zhou membebaskan Ji Chang, serta sogokan mewah seperti emas dan kuda serta wanita - barulah Ji Chang dibebaskan.

Pengalaman yang dilalui Ji Chang mengajar beliau bahawa usaha untuk menjatuhkan Raja Zhou yang sangat zalim perlu dijalankan. Dia mula mengumpulkan kekuatan tentera dalam cubaan menumbangkan Dinasti Shang selamanya.

GerakanJi Chang berjaya menyatukan sebilangan besar pemimpin-pemimpin masyarakat yang anti Raja Zhou.

Malangnya perjuangan Ji Chang berakhir dalam satu kempen peperangan pada tahun 1050BC/SM, terbunuh ketika berusia 62 tahun.

Kebangkitan Maharaja Pertama Dinasti Zhou, Jifa

ji fat alam perwira sejarah kisah asal individu sebenar

Dikenali dalam komik dengan nama Ji Fat, watak utama 'Alam Perwira' diasaskan anak ketiga Ji Chang/Raja Wen bernama Ji Fa.

Selepas kematian ayahnya, Ji Fa menggalas amanah serta usaha yang telah dimulakan ayahnya dalam menjatuhkan Dinasti Shang. Dibantu oleh Jiang Ziya sebagai penasihat yang juga bapa mertuanya, Ji Fa berjaya menyatukan lebih 800 orang pemimpin masyarakat China.

Kumpulan ini akhirnya memilih untuk bertindak menyerang pusat pentadbiran Dinasti Shang yang terletak di wilayah Yin.

Pasukan Raja Zhou yang bertahan memilih daerah Muye sebagai kawasan strategik lokasi pertempuran yang tercetus pada tahun 1046BC/SM.

kisah sebenar ji fat alam perwira

Angkatan yang diketuai Ji Fa seramai 50,000 berhadapan dengan kumpulan 50,000 askar setia Raja Zhou, yang turut menggunakan khidmat tambahan lebih 170,000 orang hamba.

Bagaimanapun majoriti hamba yang dikerah untuk berperang itu bukan saja enggan berperang malahan turut sama berpaling tadah menyertai angkatan Ji Fa, mengakibatkan angka yang menyertai perang tidak lagi seimbang.

alam perwira komik klasik hong kong tony wong

Jumlah askar simpanan yang ramai dimiliki Raja Zhou dianggarkan beratus ribu juga enggan menyokong korupsi dan kekejaman Zhou.

Mereka yang setia dengan Zhou pula kekurangan latihan pertempuran berbanding tentera Ji Fa yang sudah berpengalaman bertempur dalam banyak pertempuran, semasa membina pengaruh.

Tentera Ji Fa berjaya menguasai Yin seterusnya menamatkan era pemerintahan Dinasti Shang dalam Peperangan Muye, memulakan Dinasti Zhou (Chou) yang nyata lebih berorientasikan rakyat.

Zhou membunuh diri dalam api dihiasi permata

perang muye zhou shang ji fa

Menyedari dirinya sudah hilang kuasa, Raja Zhou bertindak mengurungkan dirinya dalam istana ditemani isterinya yang masih setia Da Ji.

Raja Zhou diberitahu bahawa arahan hukuman bunuh ke atas isterinya sudah diwartakan, menyebabkan Zhou sendiri terlebih dahulu mencabut nyawa isterinya.

Selepas kehilangan wanita jahat yang dicintainya, Zhou memakai hiasan-hiasan cantik lalu membakar istananya sendiri - mengorbankan diri di dalamnya.

Ji Fa naik membentuk Dinasti Zhou, menggunakan gelaran Raja Wu pada tahun 1046, memperkenalkan sistem pentadbiran berasaskan kepada tiga wilayah utama; dua dikuasai adik beradiknya dan satu lagi diserahkan kepada anak mendiang Raja Zhou, Lu Fu.

Era pemerintahan Ji Fa malangnya agak pendek, hanya berlangsung selama 3 tahun.

Kematian beliau menyebabkan vakum kuasa terhasil mengakibatkan banyak pihak mula cuba campur tangan ke dalam sistem pentadbiran yang telah diperkenalkan beliau.

Walaupun demikian, Dinasti Zhou yang dimulakan oleh Ji Fa bertahan lama sehingga ke tahun 256, menjadi dinasti pemerintahan maharaja China paling lama dalam sejarah negara mereka.

Dalam rekod sejarah, Ji Fa merupakan pengasas kepada Dinasti Zhou.

Namun Ji Fa memilih untuk meletakkan ayahnya, Raja Wen atau Ji Chang sebagai pengasas sebenar dinasti tersebut hasil usaha ayahnya yang menyedari Raja Zhou dan Dinasti Shang; tidak boleh diselamatkan lagi.

Rujukan

King Wu of Zhou

Wuwang Ruler of Zhao



Hakcipta iluminasi.com (2017)