Negara China sememangnya mempunyai sejarah yang unik dan sangat panjang beribu-ribu tahun lamanya. Malah, pemerintahan Dinasti di China juga banyak kali bertukar-tukar sebelum akhirnya tamat pada era Dinasti Qing pada tahun 1912.

Kisah korupsi, dendam, pengintipan dan tipu muslihat adalah perkara biasa yang disebut-sebut sebagai punca utama yang membawa kepada kejatuhan sesuatu Dinasti itu. Selepas jatuhnya satu Dinasti, maka akan diganti pula dengan pemerintahan oleh Dinasti berikutnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, teradapat satu kisah menarik mengenai wanita pertama dan satu-satunya wanita yang menjadi pemerintah kerajaan Dinasti di China. Wanita yang dikenali sebagai Wu Zetian ini juga bukanlah berasal dari golongan bangsawan sebaliknya hanyalah gundik Maharaja sebelum berjaya menaiki takhta sebagai pemerintah Dinasti Tang. 

Seseorang Maharaja biasanya akan mempunyai seorang isteri atau Maharani dan ramai orang gundik. Walaupun ada sebahagian Maharaja ini boleh dianggap terlalu lemah, kebanyakan Maharani tetap setia dengan mereka bagi memastikan mereka boleh kekal di tampuk pemerintahan.

Mempunyai perwatakan menarik

wu zetian

Ketika berusia 14 tahun lagi, Wu Zetian telah berpeluang untuk menjejakkan kaki ke istana Kota Larangan di China setelah Maharaja Taizong mengambilnya sebagai seorang gundik. Kerana usianya yang masih muda dan masih baru disitu, Wu Zetian hanya seorang gundik di peringkat ke 5, iaitu peringkat bawah yang tarafnya sama seperti orang gaji.

Maharaja Taizong sangat mengagumi tahap intelektual dan kecantikannya dan ini memudahkan Wu Zetian dinaikkan pangkat sedikit demi sedikit sebelum akhirnya dilantik sebagai seorang setiausaha. Jawatan ini telah memberikannya akses ke istana dan membenarkannya memulakan pengajian dalam bidang politik.

Karakternya yang sangat menarik ini juga membolehkannya untuk menjadi ketua kepada para gundik Maharaja Taizong dan menjadi salah seorang penasihat yang sangat dipercayai oleh Maharaja. Pengaruhnya yang cukup kuat pada ketika membolehkan Wu Zetian menjalinkan hubungan cinta dengan Li Zhi, pewaris takhta Maharaja Taizong.

Kematian Maharaja Taizong

maharaja gaozong 431

Maharaja Gaozong

Sudah menjadi kebiasaan dalam Dinasti Tang pada ketika itu, apabila seseorang Maharaja mangkat, maka para gundik akan dibebaskan dan dihantar ke tokong untuk menjalani kehidupan baru dalam bidang keagamaan.

Setelah kematian Maharaja Taizong, anaknya Li Zhi (digelar Maharaja Gaozong) telah mengambil alih tampuk pimpinan daripada bapanya. Walaupun Wu Zetian sepatutnya dibebaskan mengikut adat kebiasaan Dinasti Tang, Maharaja Gaozong bertindak ingkar daripada adat tersebut dengan membawanya masuk kembali sebagai gundiknya pula.

Perkara ini walau bagaimanapun telah mendapat tentangan daripada Lady Wang, iaitu isteri kepada Maharaja Gaozong sendiri, dan juga seorang lagi wanita yang dipercayai sebagai ketua gundik istana.

Lady Wang dikatakan tidak mampu memberikan anak kepada Maharaja Gaozong dan pewaris takhta Dinasti Tang. Sementara itu, Wu Zetian pula telah melahirkan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan hasil hubungannya dengan Maharaja Gaozong.

Tipu helah untuk menaiki takhta

pemerintah dinasti china

Bagi menghapuskan 2 orang wanita yang menjadi halangan utamanya ini, Wu Zetian dipercayai telah membunuh anak perempuannya sendiri dan telah memfitnah Lady Wang, iaitu isteri Maharaja Gaozong, membunuhnyanya.

Maharaja Gaozong yang termakan dengan fitnah tersebut akhirnya telah menghalau Lady Wang dan ketua gundik yang dituduh telah berkomplot melakukan perkara tersebut. Peluang ini telah digunakan dengan sebaiknya oleh Wu Zetian untuk berkahwin dengan Maharaja seterusnya menjadi Maharani kerajaan Dinasti Tang.

Pada awalnya, Wu Zetian berpura-pura sebagai seorang yang taat dan setia disamping Maharaja Gaozong. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan ramai pihak mula sedar wanita ini mula menunjukkan belangnya dan mempengaruhi banyak keputusan yang dibuat oleh Maharaja Gaozong.

Malah, Wu Zetian juga semakin kerap mencabar adat-adat istana Dinasti Tang. Sebagai contoh, Wu Zetian telah menghadiri upacara keagamaan yang sebelum itu hanya dihadiri oleh orang lelaki. Malah, Wu Zetian juga mahukan takhta atau pangkat seorang Maharani diangkat setaraf dengan Maharaja. 

Apabila Maharaja Gaozong gering, kebiasannya wanita inilah yang akan mengambil alih sementara tampuk pemerintahan. Apabila Maharaja Gaozong menghidapi strok, Wu Zetian dengan angkuhnya telah mengambil alih tugas pentadbiran dan memerintah umpama seorang Maharaja.

Setelah kematian Maharaja Gaozong, anak lelaki sulungnya bersama dengan Wu Zetian telah diangkat sebagai Maharaja yang baru dalam kerajaan Dinasti Tang. Walau bagaimanapun, Wu Zetian telah menuduhnya seorang yang terlalu sombong dan telah melakukan pelbagai pengkhianatan sehingga memaksanya turun takhta.

replika patung wu zetian

Selepas itu, anak lelakinya yang kedua pula telah mengambil alih. Sama seperti anaknya yang pertama, Wu Zetian telah melakukan pelbagai fitnah sehingga memaksanya untuk turun daripada takhta pemerintahan. Perkara ini telah membuka peluang kepadanya sebagai satu-satunya individu yang layak untuk menjadi pemerintah Dinasti Tang.

Wu Zetian dipercayai telah memegang tampuk pemerintahan tertinggi Dinasti Tang selama 15 tahun. Untuk mengekalkan kuasa, wanita ini dipercayai telah menggunakan ramai pengintip dan pegawai rahsia bagi menghapuskan sesiapa sahaja yang cuba untuk menjatuhkannya.

Para sejarawan mempunyai pendapat berbeza mengenai Wu Zetian. Bagi sesetengah pihak, Wu Zetian dianggap sebagai wanita paling berkuasa dalam sejarah pemerintahan Dinasti di China. Sementara itu, sesetengah pihak lagi menganggap wanita ini tidak layak disanjung memandangkan pelbagai jenayah yang telah dilakukannya untuk merampas takhta.

Kredit:

  1. South China Morning Post
  2. ThoughtCo
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)