Sistem pendidikan dalam bentuk moden mungkin masih layak dikatakan baru dipercayai baru bermula sekitar abad ke 12 atau 13. Sebelum itu, wujud sekolah-sekolah tidak formal yang pendidikannya diajar tanpa menggunakan kaedah sistematik, sebaliknya seseorang yang berminat boleh bertemu dengan guru secara terus bagi mempelajari sesuatu.
Bagaimanapun, kesedaran bahawa dengan mewujudkan sistem kumpulan dalam mengajar memudahkan tugas guru mengajar serta lebih menjimatkan masa, membuatkan usaha membangunkan sistem persekolahan yang lebih teratur mula dijalankan. Sekolah-sekolah yang telah diwujudkan, mula mengambil pendekatan baru memperkenalkan sistem persekolahan yang moden walaupun fasiliti yang ada nyata sudah berusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Sehingga kini, sebuah sekolah di China layak diiktiraf sebagai bangunan sekolah tertua di dunia, iaitu Sekolah Tinggi Shishi di Chengdu - yang telah wujud sebelum sistem kalendar Masihi bermula dan masih beroperasi ketika artikel ini anda baca.
Sejarah unik Sekolah Tinggi Shishi
Dinasti Han memerintah China bermula pada tahun 206SM sehinggalah 220, sebelum tibanya era pemerintahan tiga kerajaan yang sangat terkenal dalam catatan sejarah China. Dianggap sebagai antara zaman kegemilangan pemerintahan Dinasti di China, banyak perubahan diperkenalkan pada zaman tersebut.
Salah satu perubahan yang sangat berjaya diperkenalkan, adalah berkenaan pendidikan masyarakat mereka ketika itu. Sebelum tiba zaman Dinasti Han, pendidikan masyarakat di China sudah berkembang sejak tahun 770SM sehingga 476SM apabila penubuhan sekolah-sekolah kecil berlaku, dibuka oleh individu persendirian.
Pada era awal inilah Confucius, ahli falsafah terkenal China muncul membawa perubahan besar kepada kesedaran masyarakat mereka tentang pendidikan. Pembukaan sekolah oleh Confucius berjaya melatih pemikiran masyarakat China dalam ilmu falsafah sehinggakan dipercayai 72 orang anak muridnya, meneruskan ilmu yang diwarisi menyebarkan pegangan yang masih wujud kini dikenali sebagai Confucianisme.
Asas kepada ilmu yang dibawa oleh Confucius terus berkembang dalam masyarakat China, menjadi rujukan utama cabang-cabang ilmu mereka selepas itu.
Apa yang dimulakan oleh Confucius secara berseorangan pada zamannya, menjurus kepada perubahan besar yang dilakukan oleh pemerintah zaman Dinasti Han yang banyak memainkan peranan membentuk sistem pendidikan yang lebih teratur.
Bagi membantu hasrat menyebarkan lagi ajaran Confucius, seorang gabenor wilayah Chengdu bernama Wen Weng yang bertugas semasa pemerintahan Dinasti Han, menubuhkan sebuah sekolah yang dinamakan sebagai Sekolah Shishi - maknanya 'sekolah dewan batu' sekitar tahun 143SM sehinggalah 141SM.
Pembukaan sekolah itu menjadi titik tolak kepada pengukuhan sistem pendidikan masyarakat China, kerana Sekolah Shishi merupakan sekolah awam pertama kelolaan kerajaan China yang dibuka.
Sumbangan Maharaja Han Wudi pada pendidikan
Pembukaan sekolah itu semata-mata tanpa sistem sokongan yang baik, sudah pastilah tidak akan membawa kesan berpanjangan yang diharapkan. Jadi Maharaja Han Wudi yang memerintah Dinasti Han sebagai Maharaja ketujuh dinasti tersebut bertindak menambah baik sistem pendidikan mereka.
Bagi memastikan pelajar mendapat fasiliti yang terbaik serta pengetahuan yang mampu memacu China ke depan, Maharaja Han Wudi memperkenalkan sistem 'taixue' atau 'sistem pendidikan terbaik'; di mana sekolah-sekolah yang ada, termasuklah Sekolah Shishi diberikan bantuan.
Pelajar akan dibekalkan dengan bantuan makanan secara percuma dan semua sekolah yang ada diselaraskan untuk mempelajari karya dan falsafah Confucius, bagi membina identiti masyarakat yang utuh. Mana-mana pelajar yang didapati berpotensi akan diserap masuk sebagai pegawai kerajaan - memberikan mereka peluang pekerjaan yang baik serta masa depan yang lebih baik.
Bagaimanapun, kelemahan sistem mereka pada ketika itu adalah kebergantungan penilaian pelajar yang sepenuhnya dinilai oleh pegawai kerajaan yang bertugas tanpa ada sistem penilaian yang sama rata. Disebabkan oleh kuasa yang diberikan pada pegawai, banyak berlaku kes nepotisme dan korupsi - di mana pegawai mengambil kesempatan mengiktiraf kemahiran dan kebolehan berdasarkan kepada hubungan atau rasuah.
Walaupun banyak kelemahan, hanya pada tahun ketiga masihi sahaja perubahan pada sistem taixue diperkenalkan, apabila pemerintah China ketika itu berjaya memperkenalkan satu sistem ujian atau penilaian yang sekata - semasa era pemerintahan Maharaja Ping.
Sekolah Shishi tetap tegak berdiri walaupun perpecahan Dinasti Han berlaku, menyumbang kepada kejatuhan dinasti tersebut. Bagaimanapun, semasa pemerintahan Dinasti Han Timur yang bermula pada tahun 25 - Sekolah Shishi terbakar dan runtuh. Hanya pada tahun 199, Sekolah Shishi dibangunkan semula ditapak yang sama semasa era Dinasti Han keseluruhannya, semakin tiba ke penghujungnya.
Saksi kepada perubahan zaman
Selepas kejatuhan Dinasti Han yang bertanggungjawab membinanya, Sekolah Shishi mula mengalami perubahan nama beberapa kali yang pelbagai, mengikut era pemerintahan yang melanda. Namun fungsinya kekal sebagai sebuah pusat pendidikan selama lebih 1500 tahun, sehinggalah perang pada era Dinasti Ming meruntuhkannya sekali lagi.
Bagaimanapun, tradisi yang telah terbentuk sekian lama diteruskan oleh pemerintah Dinasti Qing apabila mereka membina semula Sekolah Shishi pada tahun 1661 dan diberikan nama Chengdue Fuxue, sebelum ditukar kepada Sekolah Tinggi Chengdu pada awal abad ke 20.
Revolusi pemerintahan yang berlaku berjaya menjatuhkan Dinasti Qing, sehingga dinasti tersebut menjadi dinasti terakhir dalam sejarah China pada tahun 1911. Ekoran daripada gerakan Revolusi Budaya yang dipimpin Mao Zedong berjaya mengambil alih pemerintahan China, usaha memadamkan semua legasi yang masih ada hasil pemerintahan dinasti-dinasti dijalankan - salah satu yang menjadi mangsa adalah bangunan Sekolah Tinggi Chengdu.
Insiden yang dinamakan sebagai 'Ogos Merah' berlaku pada bulan Ogos tahun 1966 berusaha memadamkan empat tonggak utama budaya China lama - idea, adat, tabiat dan budaya untuk digantikan dengan cara hidup yang lebih moden. Sekolah, universiti, perpustakaan dan apa saja tempat yang masih membawa idea lama dimusnahkan.
Selepas berakhirnya zaman pemerintahan Mao Zedong pada tahun 1976, kerajaan China membina semula Sekolah Shishi pada tahun 1983 - diberikan nama asalnya sehingga kini, dikenali dengan nama Sekolah Tinggi Shishi, Chengdu sebagai penghormatan kepada tradisi sekolah itu yang telah berusia lebih 2000 tahun, diruntuhkan 3 kali tetapi tetap tegak beroperasi di lokasi yang serupa.