Taiwan merupakan antara negara yang diiktiraf berjaya menangani wabak Covid-19 sejak peringkat awal penyebaran wabak, dipuji banyak pihak kerana keberkesanan sistem yang mereka perkenalkan di negara mereka.

Sistem kawalan pergerakan yang mereka gunakan menjejaki setiap langkah mereka berdasarkan kepada lokasi GPS yang diaktifkan, berjaya memantau pergerakan penduduk.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengenalan sistem tersebut, sikap ambil serius dan cepat bertindak yang diamalkan Taiwan serta kepercayaan warga Taiwan kepada kerajaan mereka dalam menangani Covid-19; merupakan tulang belakang kepada kejayaan pengawalan wabak di negara itu.

Malangnya, walaupun Taiwan diakui antara negara paling cekap menangani jangkitan wabak itu, pengiktirafan itu tidak mungkin daripada Badan Kesihatan Dunia sendiri atau WHO.

Ini kerana di sebalik wabak yang sedang melanda, perang geopolitik masih lagi berlaku melibatkan Taiwan dan China dengan Badan Kesihatan Sedunia (WHO) berada di tengah-tengah kedua-duanya.

Kedudukan unik Taiwan

chiang kai shek bg154

Taiwan atau nama rasminya, Republik of China jika anda belum tahu - bukanlah negara yang diiktiraf wujud oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB.

Ini disebabkan oleh krisis di antara negara pulau tersebut yang dikatakan bercanggah kewujudannya dengan kedudukan negara China sebagai 'tuan punya' pulau tersebut.

Semua ini berpunca daripada perang saudara China yang berlangsung dari tahun 1927 sehingga tahun 1949. Perang saudara ini berlaku di antara kerajaan Kuomintang mewakili kerajaan awal Republik China (ROC) dengan gerakan pemerintahan baru yang dipimpin parti Komunis China (People Republic of China atau PRC) yang berjaya mengambil alih kuasa.

Selepas parti Komunis berjaya mengambil alih majoriti tanah besar China dengan penubuhan negara rasmi People Republic of China, anggota yang menyokong gerakan Kuomintang terpaksa melarikan diri ke pulau yang dikenali sebagai Taiwan pada bulan Disember 1949.

Perpindahan seramai 2 juta orang pengikut dan penyokong gerakan Kuomintang mengambil masa lebih 4 bulan, disebabkan oleh keengganan mereka mahu bekerjasama dengan PRC.

Parti Kuomintang meneruskan perjuangan

pertemuan mao zedong chiang kai shek

Terpaksa berundur, Presiden gerakan Kuomintang, Chiang Kai-Shek berjanji akan cuba kembali merampas jajahan mereka daripada PRC dalam satu gerakan besar-besaran yang dinamakan 'pelan Guoguang' atau 'pelan Kebangkitan Negara.'

Perancangan pelan itu bermula pada tahun 1961 sebelum siri serangan pertama yang dilancarkan pada tahun 1965 dimulakan - namun mudah dipatahkan tentera Komunis. Selepas beberapa siri kegagalan, ROC mula menimbang semula perancangan mereka.

Pada tahun 1971, negara China di bawah pemerintahan PRC diiktiraf oleh PBB, menggantikan peranan yang dipegang oleh ROC sejak tahun 1945.

Ini kerana secara tak langsung menandakan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, United Kingdom dan Perancis sudah mengiktiraf kedudukan PRC secara rasmi - menyebabkan kerajaan Taiwan hilang sokongan mana-mana kuasa besar dunia.

Dengan itu, kewujudan kerajaan Republic of China di Pulau Taiwan dianggap tidak sah serta mencabul hak kedaultan kerajaan China di pulau itu. Chiang Kai-Shek terpaksa mengangkat bendera putih, menghentikan semua usaha mahu mengambil alih China semula.

Kerajaannya mula memperkenalkan dasar pembangunan bagi membantu membangunkan Taiwan walaupun dalam masa yang sama, China terus menganggap Taiwan hanyalah sebahagian daripada wilayah mereka - dengan sokongan kuasa-kuasa besar dunia.

Itu sejarah kenapa pergelutan ini berlaku lebih 60 tahun dahulu dan kesannya dirasai hingga kini. Bagaimana? Kita akan lihat sekejap lagi.

Kejayaan langkah efektif Taiwan mengawal wabak Covid-19

taiwan covid 19 kawalan wabak

Pada tahun 2003, akibat daripada berlakunya penularan wabak jangkitan SARS yang datang dari China serta kedudukannya dalam percaturan geopolitik dunia, Taiwan terpaksa berhadapan dengan wabak tersebut sendirian tanpa bantuan dunia luar.

Jangkitan yang dikesan bermula di Taiwan pada 25 Februari 2003 daripada seorang ahli perniagaan yang hadir di Hong Kong dan Guangdong, China menyebabkan 181 orang meninggal dunia, daripada 668 kes keseluruhannya.

Disebabkan oleh kadar kematian yang agak tinggi lebih 20%, Taiwan dilaporkan mengharapkan bantuan luar dalam menangani wabak yang melanda.

Bagaimanapun statusnya bukan sebagai negara anggota PBB secara automatik menjadikan negara itu tidak layak menganggotai WHO menyebabkan Taiwan terkontang-kanting.

Pakar penyelidik di Taiwan tidak diberikan sebarang bantuan oleh WHO dalam membantu mereka menjalankan kajian terhadap sampel virus di negara itu. Semua informasi dan dapatan kajian yang telah dijalankan, khasnya di negara China serta negara terjejas - tidak dikongsikan pada penyelidik Taiwan.

Beberapa siri lawatan ke China terpaksa dilakukan badan perubatan Taiwan namun kerjasama yang diterima mereka agak dingin.

Disebabkan situasi yang meruncing, akhirnya penyelidik di Taiwan terpaksa menggunakan kaedah sama seperti orang kebanyakan - merujuk kepada laman web rasmi WHO bagi mendapatkan maklumat tentang wabak ketika itu.

Malangnya, informasi yang boleh diperolehi daripada laman web rasmi WHO agak terhad serta kebiasaannya lambat dikemaskini, menyukarkan lagi penyelidik perubatan Taiwan menguruskan wabak.

WHO pula pada ketika itu memilih jalan selamat. Setiap kali pihak dari Taiwan cuba menghubungi WHO bagi mendapatkan bantuan - WHO mengarahkan agar Taiwan menghubungi China terus.

Dengan sejarah kedua-dua negara tersebut yang kami sudah ceritakan di atas, anda boleh bayangkan bagaimana tegangnya situasi ketika itu buat Taiwan; dipaksa meminta pertolongan kerajaan yang tidak pernah mengiktiraf kedudukan mereka.

Itulah yang WHO lakukan sehingga kini dalam menangani isu hubungan Taiwan dan China.

Bersendirian tetapi mampu berdiri sendiri

rakyat taiwan menghadapi covid 19

Dibiarkan sendiri, Taiwan terpaksa bergantung kepada penyelidikan domestik dalam menangani wabak SARS 2003 dan hasilnya, mereka berjaya mengawal wabak tersebut walaupun berdepan kesukaran akibat kekangan politik.

Pengalaman lalu memberikan pengajaran yang begitu berharga buat Taiwan.

Semasa wabak Covid-19 baru hendak merebak, kerajaan Taiwan sudahpun memperkenalkan kawalan ke atas sempadan daerah dan negara serta melarang sebarang bentuk eksport topeng muka keluar, bagi memastikan bekalan dalam negara mereka cukup.

Persediaan itu dikatakan berpunca daripada krisis melibatkan Taiwan, China dan WHO pada tahun 2017; selepas Taiwan tidak lagi dibenarkan menyertai sidang kemuncak kesihatan sedunia yang dianjurkan setiap tahun oleh WHO.

Tindakan ini dikatakan berpunca daripada tekanan Beijing, namun dinafikan jurucakap kerajaan China.

Situasi ini kekal sehingga kini, walaupun Taiwan turut sama perlu berdepan wabak Covid-19. Bezanya kali ini, Taiwan menyifatkan WHO dan masyarakat dunia kerugian, kerana tidak membenarkan Taiwan membentangkan hasil dapatan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.

WHO tunduk kepada tekanan antarabangsa

who digesa benarkan taiwan jadi ahli

Dari perspektif Taiwan - disebabkan oleh pemulauan masyarakat antarabangsa khasnya daripada WHO sendiri memerlukan mereka belajar untuk berdikari. Teknologi menjadi senjata utama mereka.

Sistem kuarantin warga Taiwan dikawal melalui satu sistem komputer berpusat di mana kedudukan mereka dipantau 24 jam sehari. Mana-mana individu yang baru pulang dari negara luar akan diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari. Sekiranya dikesan melanggar kuarantin, akan menyebabkan saman berjumlah NT$1 juta (RM143,055) dikeluarkan.

Pengeluaran topeng muka daripada pengeluar domestik dipertingkatkan, dengan setiap warga Taiwan hanya dibenarkan menggunakan 3 topeng satu minggu.

Hidup di Taiwan masih berjalan seperti biasa, dengan pejabat serta sekolah tetap beroperasi. Hanya pemeriksaan suhu dan penggunaan wajib bahan antiseptik nyah kuman semasa masuk premis dilaksanakan.

Warga Taiwan tampak yakin kerajaan mereka mampu menangani wabak ini berdasarkan kepada sejarah yang telah mereka lalui, bersendirian menangani wabak SARS kali pertama. Jadi tidak menghairankan Taiwan masih mampu berdepan wabak Covid-19 sendirian.

Sejarah pembentukan negara mereka yang bermula dengan langkah berani 2 juta warga asal China memulakan hidup baru, sudah cukup menandakan tingginya keyakinan rakyat mereka pada kemampuan pentadbir negara mereka.

Rujukan

Taiwan left isolated in fight against SARS




Hakcipta iluminasi.com (2017)