pengawal diraja british

Pengawal istana dan Ratu British merupakan salah satu imej ikon London dan United Kingdom. Ianya sering terpapar di poskad, poster dan gambar yang diambil oleh para pelancong. Kami yakin anda pernah melihat imej pengawal istana British seperti di atas.

Selama beberapa dekad, mereka telah menarik perhatian pelawat dari seluruh dunia untuk menjadi tarikan pelancong dengan keunikan pakaian rasmi dan protokol unik yang perlu dipatuhi mereka. Antara lokasi yang boleh dilihat kewujudan para pengawal ini adalah Buckingham Palace.

Apa yang kita lihat, secara umumnya para pengawal ini akan berdiri tegak di posisi masing-masing. Malah, banyak video yang memaparkan para pengawal ini tetap tidak bergerak walau seinci sekalipun apabila diganggu oleh para pelancong. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa fakta atau protokol unik mengenai unit pengawal istana dan Ratu British ini.

1. Merupakan operasi khas

kawalan askar diraja

Secara tradisinya tugas perlindungan terhadapn Ratu dan kediamannya di London, Istana Buckingham, adalah tugas tugas pasukan pengawal ini. Walau bagaimanapun, mereka ini bukanlah calang-calang pasukan dan bukannya hanya bertugas menjaga Ratu dan kediamannya sahaja.

Dalam erti kata lain, mereka ini pasukan askar biasa yang bertempur di medan perang dan tugas mengawal ini dianggap sebagai salah satu operasi yang perlu disertai mereka. Sebagai pengawal rasmi, pengawal ini juga secara undang-undangnya dibenarkan menyerang dan membunuh sesiapa sahaja yang dipercayai mendatangkan ancaman kepada Ratu British.

2. Bukan hanya mengawal Buckingham Palace

pengawal di tower of london 775

Tugas pengawal Ratu dan istana ini bukan hanya terhad untuk mengawal Buckingham Palace yang terletak di London sahaja tetapi juga beberapa lokasi penting lain seperti Windsor Castle, St James’s Palace dan juga Tower of London.

Di ibu negara Scotland iaitu Edinburgh pula, pengawal Ratu dan istana ini boleh ditemui berkawal di Palace of Holyroodhouse dan Edinburgh Castle. Walau bagaimanapun, tidak seperti di beberapa lokasi di London dimana para pengawal ini boleh dilihat sepanjang tahun, para pengawal di Scotland pula hanya akan menjalankan tugas membuat kawalan ini apabila Ratu British berada di istana ini sahaja.

3. Pengawal bukan hanya warganegara British

askar melayu diraja

Walaupun Ratu Elizabeth II adalah ketua negara United Kingdom, dia memenuhi peranan perlembagaan yang sama untuk 15 negara lain yang dikenali sebagai negara Komanwel termasuklah Kanada, Australia dan Malaysia.

Dalam sumpah taat setia yang dikenali sebagai Oaths of Allegiance ada menyatakan taat setia bukan sahaja kepada kerajaan yang memerintah, tetapi juga berkhidmat untuk kerajaan Monarki British. Dalam erti kata mudahnya askar dari negara-negara Komanwal ini boleh dilantik sebagai pengawal Ratu dan istana British.

Antara pasukan regimen dari luar yang pernah berkhidmat sebagai pengawal ini adalah Royal Canadian Regiment (Oktober hingga November 2018), Regimen Askar Melayu Diraja (April 2008) dan Batalion 1 Regimen Jamaica (Julai 2007).

4. Pengawal akan didenda jika ditangkap senyum pada pelancong

pengawal istana pengsan

Sekiranya anda perasan, semua pengawal ini akan menunjukkan muka yang serius dan tidak akan bersenyum walaupun didatangi pelancong untuk bergambar bersebelahan dengannya. Rupa-rupanya, itu merupakan salah satu protokol yang perlu dipatuhi mereka dan sekiranya ditangkap senyum, mereka akan dipotong gaji sebanyak ₤200.

Bukan mudah berdiri dalam tempoh yang lama. Lagi-lagi dalam cuaca yang panas. Malah, sekiranya seseorang pengawal berasa hendak pengsan, mereka dikehendaki mengekalkan postur tubuh badan tegak dan jatuh dalam keadaan badan lurus.

5. Tidak dibenarkan ke tandas

pengawal istana british

Bukan sahaja tidak dibenarkan senyum, malah para pengawal ini tidak dibenarkan ke tandas untuk membuang air. Ia pastinya satu perkara yang sangat sukar dilakukan dan memerlukan disiplin yang tinggi memandangkan mereka perlu berkawal dalam tempoh yang panjang.

Dalam satu rantaian perbincangan di laman sosial Reddit, seorang bekas pengawal ada menceritakan bagaimana salah seorang rakannya yang sedang berkawal mempunyai keinginan untuk membuang air kecil namun terpaksa mengikut protokol yang ditetapkan. Ketika itu rakannya itu berada di barisan hadapan dan tiba-tiba terdapat lopak air ditempatnya berdiri.

Dalam erti kata lain, rakannya itu terpaksa membuang air ketika sedang berdiri. Para pelancong terperasan akan lopak air tersebut dan mula menggelakkannya.

6. Dibenarkan bergerak untuk tujuan tertentu sahaja

pengawal istana british 200

Sebagai pengawal, mungkin agak pelik melihat para pengawal ini hanya statik berdiri tanpa melakukan sebarang pergerakan walaupun diganggu oleh pelancong. Mengikutnya protokol, mereka sebenarnya boleh dibenarkan bertindak dalam beberapa perkara yang mengganggu tugasan mereka.

Sekiranya seseorang pelancong cuba melakukan sesuatu perbuatan agresif dan mengancam nyawa, para pengawal ini boleh bertindak seperti menghala bayonet yang tajam sebagai amaran kepada individu tersebut. Individu yang cuba melakukan ancaman atau bertindak agresif juga boleh ditahan kerana cuba mengganggu tugas pengawal istana ini.

7. Topi atau helmet daripada bulu beruang

topi pengawal diraja british

Topi yang dipakai pada kepala pengawal ini menjadikan imej mereka begitu unik. Topi ini secara tradisinya diperbuat daripada bulu beruang hitam dari Kanada, oleh itu ianya mampu bertahan sangat lama. Namun, kerana isu etika penggunaan bulu binatang, topi yang baru biasanya diperbuat daripada bulu tiruan.

Topi ini juga dikatakan sangat berat. Oleh itu, setiap pengawal dikendaki mengetatkan tali pada dagu mereka yang dikenali sebagai chinstrap bagi memastikan topi ini tidak terjatuh. Tidak semua pengawal ini akan memakai topi ikonik ini. Sekiranya pasukan regimen dari negara lain mengambil alih tugas kawalan, maka mereka tidak akan memakai topi ini tetapi mempunyai pakaian khas mengikut protokol pemakaian pasukan masing-masing.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Reader's Digest
  3. Express UK
  4. The Independent

tags :, , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)