Oleh pada 20 Jan 2020 kategori

Salah satu masalah yang kerap kali hangat apabila ditimbulkan, adalah berkaitan usaha kerajaan dalam membantu golongan Melayu dan Bumiputera agar dapat bersaing dalam sektor ekonomi dengan lebih baik.

Tindakan kerajaan kita sejak dulu di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional seringkali dikritik, dikatakan meminggirkan orang Cina dan India sehinggakan dasar-dasar yang dibentuk didakwa bersifat tidak adil dan patut dimansuh sepenuhnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengkritik kepada dasar-dasar ini seringkali mempopular kam persepsi berkenaan sifat malas orang Melayu. Benarkah dakwaan ini? Kami jawab lebih dahulu soalan utama ini - dakwaan ini tidak benar. Ini kerana banyak kajian sudahpun dilakukan yang jelas menunjukkan masalah utama orang Melayu, bukanlah disebabkan sikap malas.

Tetapi disebabkan masalah kekangan yang secara tidak sengaja atau disengajakan dalam aspek pendidikan kepada mereka,  menyebabkan orang Melayu agak ketinggalan berbanding kaum Cina dan India.

Populasi Tanah Melayu semasa kemerdekaan

kampung nelayan melayu

Sekitar tahun 1957, populasi Tanah Melayu mempunyai masyarakat yang majmuk dengan jumlah penduduk sekitar anggaran 6.28 juta orang. 50% daripadanya yang merupakan kelompok terbesar merupakan orang Melayu dan kaum pribumi, 37% orang Cina, 11% orang India dan selebihnya merupakan pecahan etnik mewakili komuniti Pakistan, Ceylon, Thai serta Eurasia.

Kedatangan pendatang Cina dan India  ke Tanah Melayu menyebabkan perubahan populasi buat sementara; berikutan rancangan majoriti pendatang ini yang hadir hanya untuk bekerja sebelum kembali ke negara asal mereka. Walaupun begitu, statistik pada tahun 1957 menunjukkan 3/4 daripada jumlah orang Cina dan 2/3 daripada orang India yang ada di Tanah Melayu, lahir di Tanah Melayu.

Berikutan kewujudan komuniti Cina dan India dalam bentuk besar, British telah memperkenalkan sistem pendidikan berasaskan kaum - diselaraskan mengikut sistem British; 6 tahun sekolah rendah, 3 tahun menengah rendah dan 2 tahun menengah atas dengan penggunaan bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris menjadi pengantar mengikut aliran sekolah.

Walaupun begitu, sekolah peringkat menengah yang dibuka hanya melibatkan pendidikan dalam aliran Inggeris dan Cina sahaja, dengan majoriti pelajar menyambung pendidikan dalam sekolah beraliran Inggeris.

Ini adalah faktor utama mengapa majoriti orang Melayu ketika itu hanya menamatkan pendidikan mereka setakat darjah 6 sahaja. Kita akan ulas isu ini secara lebih lebar sebentar lagi.

Nasib wanita Tanah Melayu dalam pendidikan

pendidikan wanita melayu dahulu

Secara puratanya, tempoh persekolahan masyarakat Tanah Melayu melibatkan semua kaum sekitar tahun 1957 semasa kajian dijalankan, menunjukkan setiap individu dewasa hanya mempunyai pendidikan selama 2.27 tahun seumur hidup mereka melibatkan semua peringkat umur dewasa.

Apabila maklumat berkait dengan perbezaan jantina pula dilakukan, teramat jelas sekali bagaimana golongan wanita sangat diketepikan dalam aspek pendidikan.

Secara puratanya semua lelaki di Tanah Melayu mempunyai pendidikan 3 tahun melebihi wanita - tidak dibantu dengan aspek masyarakat ketika itu yang melihat persekolahan sebagai sesuatu yang akan mencipta masalah masyarakat lebih besar di kemudian hari.

Berikutan daripada kekangan itu, maklumat untuk mengenalpasti kadar kemasukan golongan wanita ke peringkat menengah juga sangat sukar diperolehi dan majoriti data yang ada melibatkan kajian jumlah pelajar yang melanjutkan pengajian - hanya melibatkan satu jantina; lelaki.

Apa yang kita tahu, sehingga tahun 1957 secara puratanya semua penduduk Tanah Melayu berusia 20 tahun ke atas mempunyai 2.27 tahun pendidikan. Bagi lelaki angkanya 1.18 tahun. Wanita? -1.28 tahun. Negatif 1.28 tahun! Statistik itu sudah cukup untuk menjelaskan bagaimana kedudukan wanita ketika itu dalam keperluan pelajaran. Kami mengandaikan ini juga salah satu faktor mempengaruhi jurang beza antara jantina yang masih berlaku sekarang.

Ramai gagal meneruskan pengajian menengah

kampung orang melayu

Berbalik kepada masalah kaum -  maklumat berkaitan pendidikan rendah melibatkan tiga kaum utama Tanah Melayu sehingga tahun 1957 menunjukkan orang Melayu mempunyai kadar paling tinggi berjaya menamatkan persekolah sekolah rendah, meninggalkan kaum Cina dan India bagi orang lelaki dewasa.

Bagaimanapun, kadar mereka yang menyambung pengajian ke peringkat menengah jauh berbeza. Daripada keseluruhan orang Melayu yang tamat sekolah rendah; hanya 24% menyambung peringkat menengah. Peratusan bagi kaum Cina dan India pula lebih tinggi, pada kadar 37%. Inilah isu utama yang menyebabkan orang Melayu ketinggalan sejak sekian lama. Mengapa isu ini timbul?

Masalah utama yang menyekat orang Melayu daripada menyambung pelajaran adalah disebabkan ketiadaan sekolah menengah yang berhampiran dengan tempat mereka tinggal. Selain itu, kurang minat atau tidak layak menyambung pengajian aliran Inggeris juga menjadi penghalang.

Apa yang menyedihkan, bagi kelompok kecil pelajar Melayu yang berjaya menyertai sekolah peringkat seterusnya - mereka menunjukkan prestasi yang setara dengan pelajar kaum lain. Secara tak langsung ini membuktikan wujud kekangan dalam bentuk sistem pendidikan zaman tersebut yang seakan memaksa golongan Melayu berhenti belajar.

Kekangan itu dipercayai datang dalam dua bentuk - yang pertama adalah ketiadaan akses ke sekolah peringkat menengah yang sesuai.  Yang kedua adalah keperluan menyertai sekolah rendah aliran Inggeris sebagai pra-syarat bagi meneruskan pengajian di sekolah menengah aliran Inggeris. Orang Melayu pada ketika itu lebih gemar kekal dalam sekolah rendah aliran Melayu.

Masyarakat Melayu dalam dua dunia berbeza

pendidikan orang melayu zaman dahulu 660

Hasil daripada dua kekangan utama inilah,dapat dilihat dua pola berbeza berkenaan pencapaian orang Melayu dalam sistem pendidikan British - apabila faktor geografi diambil kira.

Di negeri membangun (mengikut terma British) iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Perak - pencapaian orang Melayu dalam pendidikan direkodkan jauh lebih baik berbanding kaum Cina dan India secara purata, di mana akses kepada sekolah menengah menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, masalah keciciran semasa masuk ke sekolah menengah, turut berlaku dalam kadar melibatkan pelajar Melayu dalam kadar tinggi di negeri membangun.

Situasinya menjadi lebih buruk di negeri tidak membangun iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang dan Terengganu yang mempunyai penduduk Melayu sebagai majoriti. Majoritinya mencatatkan tempoh persekolahan yang lebih rendah dan berhadapan masalah keciciran yang lebih runcing, disebabkan ketiadaan laluan yang lebih baik bagi meneruskan pengajian.

Data yang diperolehi secara tidak langsung menunjukkan bagaimana British secara sengaja atau tidak sengaja meminggirkan pendidikan, gagal dirancang sebagai satu pelan rancangan jangka panjang - sebaliknya dilihat hanya sebagai satu alat yang perlu dibentuk bagi memuaskan hati penduduk Tanah Melayu.

Penekanan kepada pendidikan Inggeris yang seperti sengaja dicetuskan, hanya menyebabkan orang Melayu seolah memboikot usaha separa masak British.

Sehinggakan yang menjadi mangsa dalam sistem ini adalah orang Melayu, rata-ratanya terpaksa menamatkan pengajian kerana tiada akses atau tidak datang dari sekolah aliran Inggeris; sehingga menyebabkan jurang kemahiran dan pengetahuan antara kaum semakin merenggang.

Statistik sudah menunjukkan bagaimana kesedaran orang Melayu pada pendidikan sebenarnya terbentuk sekian lama, dengan 80% kaum Melayu di negeri membangun berjaya menamatkan pengajian sekolah rendah - mencatatkan kadar yang lebih tinggi berbanding Cina dan India. Namun kadar ini menurun ketara apabila dibandingkan kadar kemasukan setiap kaum ke peringkat sekolah menengah.

Apa yang cuba dijawab oleh kajian ini adalah berkenaan satu mitos yang menyifatkan sikap malas orang Melayu yang kerap kali dipopularkan British; sebenarnya tidak benar.

Kadar peratusan orang Melayu yang menamatkan pengajian sekolah rendah lebih tinggi berbanding kaum lain sehingga tahun 1957, namun akses ke sekolah menengah yang tertutup menyebabkan kemampuan orang Melayu bersaing secara saksama seolah terhalang; apabila sistem British hanya mengiktiraf golongan pelajar tertentu untuk meneruskan pengajian.

Sistem yang dibangunkan British membolehkan kaum Cina dan India lebih maju ke depan dalam pendidikan, kerana pada dasarnya dua kaum itu lebih mesra British dan lebih terbuka untuk menurut apa saja sistem yang diperkenalkan British pada mereka.

Berikutan rendahnya penglibatan orang Melayu yang menyambung pengajian ke aliran Inggeris sekolah menengah - akhirnya kaum Melayu dituduh malas belajar, kerana tidak sanggup bersusah payah bersaing dengan kaum lain.

Sedangkan realitinya orang Melayu nak belajar, tetapi atas kekangan sistem serta enggan menyertai aliran Inggeris, lebih ramai orang Melayu zaman penjajahan memilih untuk menjadi seorang yang tidak terpelajar berdasarkan kepada definisi British.

Rujukan

Educational Patterns in Colonial Malaya (fail PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)