Pasukan askar Gurkha dipercayai telah berkhidmat untuk kerajaan British selama lebih 200 tahun lamanya. Unit tentera yang mempunyai kerakyatan Nepal ini dikenali dunia kerana keberanian dan disiplin tahap tinggi mereka, bertepatan dengan motto mereka "Lebih baik mati daripada hidup sebagai seorang pengecut.

Nama "Gurkha" berasal daripada sebuah nama bandar Gorka yang terletak di bahagian barat Nepal. Pada masa kini, pasukan Brigade of Gurkhas ini masih menjadi sebahagian daripada pasukan tentera British dan sentiasa bersiap siaga untuk dipanggil bila-bila masa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Asal-usul penubuhan pasukan Gurkha

sejarah gurkha

Kisah bagaimana pasukan Gurkha ini "direkrut" ke dalam pasukan tentera British sebenarnya agak unik. Selepas pihak British menguasai kawasan India pada abad ke 18, Empayar British telah meneruskan penjajahan mereka sehingga sampai ke bahagian utara wilayah Nepal.

Namun, disitu mereka tidak bernasib baik apabila menghadapi tentangan hebat daripada askar-askar Nepal yang sangat kental. Pertempuran hebat ini menyaksikan pasukan British tewas mudah kepada pejuang-pejuang dari kawasan Himalaya ini,

Salah seorang askar British yang terlibat dalam pertempuran tersebut telah menulis surat berikut yang menggambarkan betapa hebatnya orang-orang daripada Nepal ini:

Dalam hidup saya, saya tidak pernah melihat manusia lebih mantap atau hebat daripada keberanian yang dipamerkan oleh pejuang dari Nepal ini. Melarikan diri daripada medan perang tidak pernah wujud dalam kamus hidup mereka, malah mereka seolah-olah tidak takut mati walaupun rakan-rakan seperjuangan mereka telah mati.

pejuang gurkha

Keadaan ini memaksa pihak British melupakan niat mereka untuk menguasai kawasan pergunungan Himalaya ini. Malah, pihak British juga berjaya memujuk pihak Nepal untuk menandatangani satu Perjanjian Keamanann pada tahun 1816 yang antara isi kandungannya adalah persetujuan British untuk tidak lagi menyerang kawasan ini.

Malah, perjanjian ini turut menyatakan orang-orang Gurkha ini adalah amat-amat dialukan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan British yang sebelum itu dianggap sebagai musuh mereka.

Malah, pegawai British pada abad ke 19 turut menyatakan bahawa askar Gurkha ini adalah "Bangsa Pejuang", satu istilah yang menggambarkan bahawa orang-orang Gurkha ini pejuang semulajadi di medan tempur dan sangat agresif apabila berhadapan dengan musuh di medan perang.

Hanya askar terbaik terpilih sebagai Gurkha

Doko race, ujian pemilihan untuk calon askar Gurkha

Bukan semua askar yang berasal dari Nepal ini dianggap sebagai seorang askar Gurkha. Gurkha merupakan sebuah pasukan elit dan hanya yang terbaik diterima masuk. Setiap tahun, dianggarkan seramai 400 orang sahaja yang akan diterima masuk ke dalam pasukan ini.

Jumlah ini adalah 2 kali lebih ramai sebelum awal-awal kewujudan unit ini. Persaingan menjadi sangat sukar terutamanya buat golongan muda yang mahu menjadi sebahagian daripada pasukan ini memandangkan ia merupakan satu pelung besar bagi mengubah hidup mereka dan satu kebanggaan sekiranya diterima masuk dalam pasukan elit.

Kebiasaanya, askar-askar yang diterima masuk didominasi oleh 4 kumpulan etnik utama golongan petani yang hidup di kawasan pergunungan di selatan Pergunungan Himalaya iaitu Gurung, Magar, Rais dan Limbus. Sejak daripada kecil, orang-orang daripada keempat-empat etnik ini hidup sihat dan mempunyai fizikal yang kuat kerana sudah biasa bekerja dalam tempoh lama mengusahakan tanaman.

askar gurkha 968

Selain itu, mereka mempunyai kelebihan kerana tinggal di kawasan beraltitud tinggi. Keadaan ini menjadikan darah mereka lebih efisien dalam menyalurkan oksigen dalam badan memandangkan mereka sudah terbiasa di kawasan tanah tinggi yang kurang oksigen.

Selain tubuh badan yang sihat, beberapa siri ujian fizikal dan bertulis perlu dilalui oleh setiap calon sebelum diterima masuk sebagai tentera Gurkha. Antara ujian fizikal yang perlu dilakukan adalah 12 "pull-ups", 75 kali "bench jumps" dalam masa 1 minit dan 70 kali tekan tubi dalam masa 2 minit. Dan ini baru sahaja saringan awal.

Bagi yang berjaya pula, mereka akan melalui ujian sebenar apabila dikehendaki berlumba dalam "Doko Race", iaitu mendaki laluan berbukit sejauh 5km dan perlu menamatkannya dalam tempoh 45 minit. Bukan itu sahaja, setiap calon perlu membawa beban (batu dan pasir) seberat 25 kg sambil belari.

Senjata di medan perang

kukri senjata gurkha

Selama berabad-abad lamanya, orang-orang Nepal menggunakan senjatt tradisional mereka yang dikenali sebagai kukri. Pisau ikonik sepanjang 18 inci ini dapat dikenali dengan bentuk bilahnya yang melengkung dan tempat pemegangnya yang diperbuat daripada kayu, tulang ataupun tulang badak air.

Mengikut cerita lagenda, apabila kukri dikeluarkan daripada sarungnya, ia mesti "menyentuh" darah sebelum boleh disimpan semula. Setiap askar Gurkha akan dibekalkan dengan 2 bilah pisau kukri ini, satu untuk kegunaan rasmi dan satu untuk kegunaan harian.

Tugas sebagai pengawal peribadi Ratu British

pengawal tentera gurkha

Sebagai pemerintah kerajaan Monarki terlama di dunia, Queen Elizabeth II juga dikatakan menaruh harapan tinggi pada tentera Gurkha ini. Maka, tidak hairanlah beliau sentiasa akan dikawal ketat oleh 2 orang askar Gurkha setiap kali berada di majlis-majlis rasmi.

Dikenali sebagain Queen’s Gurkha Orderly Officers, ianya adalah sebuah unit yang ditubuhkan sejak zaman Queen Victoria dan setiap anggotanya bukan sahaja hebat di medan perang, tetapi menumpahkan taat setia pada pemerintah. Selepas menamatkan khidmat dalam unit ini, setiap Gurkha ini akan dilantik sebagai ahli Members of the Royal Victorian Order, satu pengiktirafan atas khidmat istimewa kepada pemerintah British.

Nasib tidak menentu pesara  Gurkha

pesara gurkha

Dengan kemajuan penggunaan teknologi di medan perang, nasib askar Gurkha pada masa hadapan masih lagi samar-samar. Sama seperti jumlah rekrut tahunan askar British yang lain, jumlah rekrut askar Gurkha turut dijangka akan berkurang memandangkan kerajaan mula ingin mengurangkan kos.

Selain itu, terdapat kontroversi mengenai layanan kerajaan terhadap pesara askar Gurkha. Mereka dikatakan hanya menerima bayaran pencen sebanyak £37 sebulan, sementara pesara askar British yang lain menerima sekurang-kurangnya £800 setiap bulan.

Disebabkan Nepal bukanlah sebuah negara Komanwel, maka askar Gurkha ini secara praktikalnya tidak dianggap sebagai sebahagian daripada orang British. Malah, pegawai British juga menolak penerimaan 36,000 pesara Gurkha ini ke UK kerana didakwa akan meningkatkan tekanan dan ketidak seimbangan kepada penduduk tempatan.

Perjuangan mereka untuk mendapatkan hak daripada kerajaan British akhirnya membuahkan hasil apabila pada tahun 2009, pihak  Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan arahan bahawa setiap askar Gurkha yang telah berkhidmat melebihi 4 tahun layak diberikan kerakyatan untuk menetap di sana. 

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Business Insider
  3. Popular Mechanics



Hakcipta iluminasi.com (2017)