Oleh pada 27 Jan 2018 kategori

Sumber foto: bnbbc.my

Pihak polis disahkan mengambil keterangan daripada Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali susulan penglibatan beliau dalam perhimpunan tanpa notis pada tahun lepas. 

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, kedatangan pegawai polis bagi merakam keterangannya semalam atas sebab melengkapkan kertas siasatan.

"Beliau terbabit dalam satu perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis di hadapan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman pada 10 September, tahun lalu.

"Rakaman keterangan yang diambil adalah bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan," ujarnya sewaktu dihubungi Berita Harian.

Sebelum ini, anak kepada Siti Hasmah, Datin Marina Mahathir melalui akaun Twitternya memberitahu bahawa polis mengambil keterangan ibunya semalam.

Pada 10 September lepas, sekelompok aktivis wanita mengadakan sebuah perhimpunan dipanggil 'Wanita Bantah Politik Toksik' di Kuala Lumpur untuk menyuarakan bantahan terhadap politik toksik.

Sebahagian daripada tuntutan perhimpunan tersebut merupakan bantahan terhadap politik toksik yang semakin berleluasa, menentang perbuatan bersifat keganasan, perbuatan ancaman terhadap individu dan sikap bersifat rasis dan seksis, serta menolak calon daripada parti yang menggunakan keganasan dan politik toksik.

Siti Hasmah dikhabarkan menyampaikan sebuah ucapan ringkas, yang mendesak wanita menjalankan tugas mereka untuk menamatkan politik toksik di negara ini.

Selain Dr Siti Hasmah, perhimpunan itu juga disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)