Oleh pada 03 Feb 2018 kategori

Sumber foto: tv14.my

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dikatakan ingin bertanding di Parlimen Pekan dan Bagan Datuk bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disebabkan mengetahui akan tewas di kerusi disandangnya iaitu Parlimen Gombak.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri serta Ahli Parlimen Bagan Datuk, Menteri Besar Selangor itu maklum dengan masalah di kawasan diwakilinya, maka meluahkan keinginan bertanding di kawasan lain.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan saya mengalu-alukan mana-mana individu yang berniat untuk bertanding sama ada di Bagan Datuk atau di Pekan.

"Mungkin orang itu (Azmin) kawasan sedia ada untuk beliau pertahankan akan mengalami kekalahan, itu sebabnya mencuba nasib di kawasan lain.

"Kita tahu di kawasan yang beliau wakili banyak permasalahan yang menjadi rungutan," ujarnya.

Beliau memberitahu begitu setelah melancarkan 3 Pusat Internet 1Malaysia sekaligus iaitu Kampung Teluk Buluh, Kampung Selekoh dan Pekan Bagan Datuk di Pusat Internet 1Malaysia Kampung Teluk Buluh di Hutan Melintang hari ini.

Ahmad Zahid memberi komen terhadap kenyataan Ahli Parlimen Gombak tersebut semalam, yang didedahkan memikirkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan atau Bagan Datuk pada PRU-14.

Namun, Mohamed Azmin memberitahu, hal tersebut berpandukan pada keputusan pucuk pimpinan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Azmin seharusnya melunaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebelum berpindah kawasan.

"Saya harap sebelum berniat berpindah kawasan, sila lakukan pembaikan perkhidmatan terutama dari segi kemudahan asas kepada pengundi yang diwakili," ujarnya.

Disoal sama ada kenyataan Mohamed Azmin tersebut berniat mahu mengalahkan 2 pemimpin negara, Ahmad Zahid memberitahu, Menteri Besar Selangor itu sekadar bergurau.

"Saya tahu dia main-main saja, dalam politik bukan boleh main-main," ujarnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)