Oleh pada 22 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Mynewshub

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dicabar agar menyenaraikan penggunaan wang bernilai RM1.18 bilion iaitu nilai tanah Ijok yang diserahkan kepada pemaju, setelah dirampas kerajaan Selangor.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, P Punithan, juga menggesa Timbalan Presiden PKR itu mendedahkan senarai nama peneroka dan jumlah pampasan yang diterima olehnya.

Azmin juga disuruh untuk menyatakan misteri ‘kehilangan’ RM758.6 juta daripada hasil jualan tanah seluas 2,198.4 ekar dengan harga RM1.18 bilion.

Malah, beliau turut dituntut membuat pengiraan terbuka untuk menunjukkan baki wang setelah pembayaran pampasan dibuat kepada peneroka.

“Adalah tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor menjual tanah berkeluasan 2,198.4 ekar dengan harga RM1.18billion. Daripada sebanyak RM421.4 juta diberikan sebagai pampasan kepada 981 peneroka yang terlibatnya.

“Jadi dimanakah baki RM758.6 juta?,” tanyanya.

isu tanah ijok azmin ali dicabar pemuda mic dedah misteri rm758 6 juta 1 565

Sumber foto: beritadaily.com

Menerusi sebuah kenyataan semalam, Punithan mengakui yang isu tanah Ijok, Selangor telah berpanjangan, tetapi masih terus menjadi tanda tanya sehingga kini.

“Walaupun Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu berterus-terang berhubung isu tanah Ijok namun pelbagai persoalan masih menular bukan sahaja di minda rakyat Selangor malah penduduk Ijok pun rasa terkejut dan terkilan dengan pembongkaran satu demi satu isu yang berlaku di tempat mereka,” jelasnya.

Punithan juga mempersoalkan pampasan yang dibayar kepada peneroka yang didakwa tidak berdasarkan nilai semasa, berikutan nilai RM421.4 juta itu adalah berdasarkan kadar harga tanah pada tahun 2000, biarpun tanah terbabit hanya dijual pada tahun 2014.

Menurutnya, perbuatan tersebut mempamerkan ketidakadilan ke atas peneroka yang menanti sejak dahulu lagi.

Beliau menambah, jika hal ini terjadi dan dibiarkan perbicaraan selesai justeru semalam barangkali hasil jualan tanah iaitu RM1.18 billion terbabit boleh dibayar sebagai pampasan terhadap peneroka.

Jelasnya, ianya tidak wajar buat Azmin Ali dan Kerajaan Negeri Selangor yang telah memfailkan penyelesaian bagi membatalkan kes itu biarpun Kerajaan Negeri Selangor berkemungkinan besar memenangi kes itu di Mahkamah Persekutuan berikutan terdahulu menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

"Tindakan pemulangan tanah ini tidak rasional kerana kes yang difailkan di mahkamah itu mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menang selepas kemenangan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Rayuan," ujarnya.

Khamis lepas, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menuntut pihak berkuasa menyiasat dalang yang memulangkan tanah dirampas Kerajaan Selangor daripada dua syarikat pada tahun 2009.

Malah, Abdul Khalid juga mempertikaikan punca tanah seluas 880 hektar itu yang dirampas secara sah semasa beliau bergelar Menteri Besar, dikembalikan kepada syarikat serupa lalu kawasan berkenaan dijual kepada syarikat awam lain.

"Menteri Besar juga perlu menjelaskan mengapa menyerahkan kembali tanah terbabit kepada dua syarikat swasta yang kemudiannya dijual kepada syarikat awam.

"Kenapa kerajaan Selangor tidak menjual tanah berkenaan terus kepada syarikat awam itu," ujarnya.

Sumber berita: BH Online & beritadaily.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)