Oleh pada 03 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Sinar Harian

Teka-teki tentang tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hampir terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bakal wujud 2 ‘hari raya’ menerusi jangka masa sebelum Hari Raya Aidil­adha pada Ogos ini.

 

Beliau yang berucap kepada peserta Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2018 berkata, jemaah itu bakal melalui Hari Raya Aidilfitri dan PRU-14 sebelum bertolak ke Tanah Suci Mekah pada 14 Julai depan. 

“Sebelum 14 Julai bererti dua peristiwa akan terlepas, Hari Raya Aidilfitri dan satu lagi ‘hari raya’, jadi dua-dua raya, baru tuan-tuan naik haji. 

“Tapi kita buat lebih awal lagi. Lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati, kalau kerajaan kita masih kekal, tuan-tuan semua menunaikan haji, segala-segalanya tidak berubah selagi kerajaan tidak berubah, semua­nya jalan,” ujarnya. 

Beliau bercakap pada majlis pemberian surat tawaran terhadap 1,200 peserta Program Khas Haji Perdana Menteri di Masjid Putra, Putrajaya semalam. 

Dalam pada itu, Najib berkata, program penajaan jemaah haji itu tidak dapat dijalankan jika kerajaan tidak mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi yang dipimpin Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. 

Menurutnya, program tahunan yang memberi penghargaan terhadap barisan pemimpin agama dan masyarakat di peringkat bawahan tersebut sehingga sekarang telah membawa sejumlah 5,711 orang menunaikan ibadah haji sejak mula diusahakan pada tahun 2011. 

“Kalau kita tidak betul perjua­ngan, kalau kita tidak di landasan mengikut syarak Islam, tuan-tuan ingat Raja Salman hendak beri pertimbangan khas untuk Malaysia? Tuan-tuan kena ingat, dalam lawatan Raja Salman ke Asia, ba­ginda memilih Malaysia sebagai negara pertama yang dilawati. 

“Ramai masyarakat Islam negara ini berpeluang menunaikan ibadah haji hasil hubungan baik tersebut, malah keberangkatan Raja Salman ke Malaysia pada tahun lalu juga membawa kepada tambahan kuota haji bagi jemaah Malaysia untuk musim haji kali ini,” ujarnya. 

Najib turut meluahkan kekecewaan beliau terhadap semua pra­sangka dan tuduhan tidak berasas yang diberikan kepada (1MDB). Ia menyebabkan terdapat pihak yang rela mengatakan ibadah haji hasil tajaan Yayasan 1MDB merupakan ibadah haji yang tidak mabrur. 

Jelas beliau, tuduhan itu te­lah dinafikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang menjelaskan urusan mabrur merupakan ketentuan Allah dan bukan hak manusia bagi menetapkannya.

Menerusi ucapan semasa majlis itu, Najib juga menerangkan iltizam kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi meneruskan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 untuk musim haji tahun ini biarpun kos sebetulnya mencecah RM22,450. 

“Kerajaan beri subsidi yang amat besar kepada jemaah kita di mana mereka hanya membayar RM9,980 manakala RM12,470 ditanggung Tabung Haji,” ujarnya. 

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)