Oleh pada 07 Feb 2018 kategori

Sumber foto: mStar Online

Datuk Husam Musa selaku Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) dan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah selaku Pengerusi PAN Kelantan mengakui pingat Datuk Paduka kepunyaan mereka ditarik balik oleh Istana Kelantan.

Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memberitahu, beliau dan Husam mendapat surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan semalam yang memberitahu bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II).

"Darjah yang dianugerahkan kepada kami sebelum ini (ditarikbalik) mulai pada 6 Februari 2018.

"Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua mengembalikan ketandaan Darjah Kebesaran dan surat perlantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana Diraja pada hari ini, 7 Februari 2018 di Istana Balai Besar.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V," ujarnya semasa sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

Wan Rahim memberitahu, beliau menerima pingat Datuk Paduka daripada Istana Kelantan pada tahun 2004 dan sebuah lagi pingat Jasa Pendamai (JP) yang dianugerahkan pada tahun 2009.

"Dua pingat daripada saya dan satu Husam diserahkan kepada Setiausaha Amanah Kelantan Rushdan Mustapa kepada Pengelola Istana Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir pagi ini," jelasnya.

Datuk Husam Musa juga adalah anggota DUN Salor , manakala Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah adalah bekas speaker dewan undangan negeri (DUN).

Untuk pengetahun, Datuk Husam Musa dan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah merupakan sebahagian daripada bekas pemimpin kanan Kelantan ketika menyertai PAS sebelum ini.

Sumber berita: BH Online & Malaysiakini




Hakcipta iluminasi.com (2017)