iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa11

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kembali lagi ke PWTC bagi tahun ini selepas berhijrah sebentar ke MAEPS Serdang bagi edisi 2016. Ramai penerbit buku menarik nafas lega kerana PBAKL 2017 seolah kembali ke lokasi asal yang sudah jadi trademark pada setiap PBAKL yang berlangsung.

Berikut merupakan panduan kepada orang ramai yang buat pertama kalinya hendak ke sana tahun ini.

1. Namanya Pesta Buku Antarabangsa Tapi Kenapa Ya?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa

Kami belum pasti apakah ada kelainan untuk tahun ini tetapi jika anda ke PBAKL dengan harapan untuk membeli novel-novel berbahasa Inggeris, pilihan anda tidaklah sebanyak jika dibandingkan dengan pesta buku Big Bad Wolf. PBAKL walaupun namanya Antarabangsa tetapi lebih memfokuskan kepada penerbit-penerbit dalam negeri untuk memasarkan buku mereka dalam satu pesta yang penuh buku. Ada ura-ura penerbit luar masuk tahun ini tetapi kami tak sempat lagi berkunjung untuk dapatkan kepastian.

2. Pengunjungnya memang padat ke?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa2

Kalau berharap nak menelaah buku dengan selesa macam tengah lepak dekat kedai sambil minum browse-browse buku, maaflah. Kuburkan saja impian anda tu. PBAKL di PWTC memang terkenal sebagai kawasan yang pengunjungnya padat dan memang agak kurang selesa untuk meninjau buku dalam kondisi yang optimum.

Kebanyakan gerai pameran hanya mempunyai satu lorong di antaranya untuk memaksimakan penggunaan ruang lantai.

3. Waktu yang paling sesuai saya nak kunjungi tu bila?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa3

Berdasarkan pengalaman saya menghadiri setiap pesta buku dari tahun 2010 hingga sekarang, waktu terbaik untuk berkunjung ke PBAKL adalah pada waktu pejabat hari bekerja. Hujung minggu adalah waktu yang elok dielakkan kerana pengunjungnya terlalu ramai. Kalau nak datang malam pun boleh tetapi selalunya pada waktu tu, pempamer pun nampak macam malas nak layan sebab kepenatan membuatkan mood nak meninjau jadi kurang.

4. Sesuai ke kalau saya nak bawa anak-anak?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa5

Untuk yang berkeluarga, jika anda hendak ke sana untuk membeli buku-buku bagi ibu bapa, pergilah berasingan dan tak perlu bawa anak-anak anda. Ini sesuatu yang serius kerana dengan kepadatan gerai pameran dan jualan, serta jarak yang kecil di antara gerai-gerai, agak sukar untuk ibu bapa mampu mengawasi anak-anak sambil melihat buku-buku yang ada.

Buat dua sesi, sesi pertama untuk meninjau buku-buku untuk anak-anak. Layankan saja apa permintaan anak-anak, kejar mereka jika perlu, berpenatlah sedikit pada hari itu untuk memenuhi keperluan buku pilihan anak-anak anda. Tak perlu tengok langsung untuk anda. Sesi kedua pula, jadikan khas untuk ibu bapa saja. Minta cuti dari kerja. Pergi sebagai suami isteri dan imbau kembali zaman remaja ketika dating bersama-sama. Berpegangan tanganlah ketika melihat buku-buku yang ada.

5. Saya tak dapat cuti, saya kena bawa anak-anak juga, macam mana?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa6

Perlu diberitahu, PBAKL bukanlah ruangan yang mesra keluarga. Penggunaan troli agak sukar dinavigasi. PBAKL juga selalunya mengambil ruang beberapa tingkat yang perlu diharungi dengan lif ataupun tangga.

Jika anda mahu bawa stroller ketika mengunjungi PBAKL, pastikan daya ketahanan anda tinggi kerana ramai orang nak cepat-cepat di sana. Akan berlaku insiden orang terlanggar anda atau anda tak perasan belakang anda orang tak boleh lalu kerana anda tutup jalan dengan stroller. Jika bawa stroller, pastikan stroller tidak mengganggu ruang jalan dan pastikan juga yang lebih penting, anda mampu melihat stroller setiap masa.

6. Isu susah makan dan minum di PBAKL ni betul ke?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa7

Bergantung. Ada satu restoran mahal di PWTC. Saya tak ingat namanya. Memang mahal dan hanya untuk golongan bangsawan, tetapi oleh kerana status itu, ia menjadi tempat makan paling selesa dalam PBAKL kerana suasananya yang tenteram dan tenang. Cuma jangan terkejut tengok bil yang sampai.

Selain itu, pada edisi PBAKL 2015 dulu, pihak penganjur mewujudkan gerai jualan pada setiap kaunter PWTC yang menjual makanan ringan dan air. Lebih mahal daripada biasa harganya tapi untuk pengunjung, tidak ada banyak pilihan yang ada. Nak lagi murah? Lepas dah penat, tanya orang ramai, mana "benteng?" Lokasi yang digelar benteng ini adalah tempat food truck menjual makanan ringan beratur. Cuma tidak ada tempat makan dan minum yang sempurna disediakan jadi ramai yang memilih untuk duduk saja di atas lantai depan pintu masuk.

Pada edisi 2016 di MAEPS, agak mudah makanan didapati kerana ada banyak lokasi kedai makan dan food truck diwujudkan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Kembalinya ke PWTC membuatkan makanan kembali jadi isu PBAKL.

7. Cara mudah nak ke sana bagaimana?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa8 835

Saya gemar menaiki LRT. Ada stesyen PWTC yang berdekatan tetapi pengunjung masih perlu berjalan ke bangunan PWTC selama 10 minit (lebih kurang). Ada laluan pejalan kaki berbumbung yang memudahkan perjalanan cuma untuk mereka yang membawa anak-anak, perlulah berwaspada kerana ada keperluan turun naik tangga.

Ada juga kawasan parkir kereta dengan kadar bayaran tetap di sebelah kawasan LRT PWTC yang saya tak ingat namanya. Selain itu, penggunaan teksi, Uber dan Grab juga rasanya akan rancak sepanjang tempoh PBAKL berlangsung untuk memudahkan perjalanan orang ramai.

8. Apa yang best dekat PBAKL ni?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa9

Soalan itu susah nak dijawab kerana citarasa tiap orang berbeza.

Mereka yang gemar buku agama, buku indie, buku novel remaja lokal, buku DBP, buku PTS, buku rujukan sekolah, komik-komik tempatan dan beberapa genre lain pasti rasa berbaloi. Jika anda ke sana untuk membeli novel berbahasa Inggeris, ada jualannya dilakukan tetapi agak rendah kuantitinya. Berkemungkinan besar anda akan balik ke rumah merungut bertanya "di mana pestanya?"

9. Selain buku?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa10

Kemunculan penulis yang keluar dari sarang. Selebriti dan artis pasti akan ada. Pelancaran buku. Sesi soal jawab. Sesi perbahasan. Sesi bual bicara. Sesi dialog. Yang dikhabarkan akan berlaku sebagai kemuncak tahun ini adalah himpunan 1000 penulis di PBAKL yang akan menggabungkan nama besar seperti Hilal Asyraf, Ramlee Awang Murshid dan ramai lagi. Inilah masanya penulis yang selama ini anda kenali melalui teks, boleh berlakon macam dia rock star.

10. Boleh dapat jodoh ke kat sana?

iluminasi pbakl2017 pwtc pesta buku antarabangsa12 775

Insya Allah boleh kalau berani.

Ni kalau nampak orang kau suka, kau nyorok balik buku atau balik tiang, tak dapat la kami nak menolong.


Jom kita sama-sama meriahkan PBAKL 2017 tahun ini. Jangan lepaskan peluang yang hanya datang setahun sekali ini. Mana tahu penulis-penulis Iluminasi akan berada di sana.


tags : , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)