buku propaganda politik yang terkenal seluruh dunia

Setiap pemimpin mempunyai cara yang tersendiri tentang bagaimana mereka mahu menyampaikan visi dan pandangan mereka.

Ada pemimpin bijak berkata-kata, ada yang gemar mengarah dan ada juga yang mahu membukukan pandangan mereka - agar dapat dihadam dan ditelaah masyarakat senegaranya.

Dalam sejarah dunia, wujud beberapa koleksi tulisan yang diterbitkan sendiri oleh pemerintah-pemerintah dunia yang banyak meninggalkan legasi besar, bukan saja pada rakyat mereka malahan turut sama berpengaruh pada kita. Buku-buku berikut merupakan antara buku propaganda politik paling popular, ditulis sendiri oleh pemimpin dan ada juga yang sehingga kini tidak jelas siapa penulisnya.

1. Buku Merah Mao Zedong

Lebih dikenali di negara asalnya China dengan nama Mao Zhuxi Yulu, buku kecil berwarna ini lebih dikenali di peringkat antarabangsa dengan nama rasminya 'Little Red Book.' Buku ini merupakan koleksi ucapan Mao Zedong, bekas pengerusi parti Komunis China.

Dikeluarkan pada tahun 1964, Mao Zhuxi Yulu dihasilkan daripada idea pemimpin kedua paling kanan dalam parti Komunis China serta Menteri Pertahanan ketika itu, Lin Biao dengan kerjasama ramai pegawai yang bertugas di PLA Daily, surat khabar propaganda gerakan People's Liberation Army China.

Pada era pertengahan 1960 hingga ke pertengahan 1970-an, buku ini merupakan buku paling banyak dicetak di dunia, dengan nisbah 1 jilid untuk setiap seorang warga China. Mengandungi kata-kata semangat yang digunakan untuk membangkitkan semangat orang China, buku ini memainkan peranan besar semasa berlakunya revolusi kebudayaan mereka - dibantu oleh pemerintah China yang mewajibkan pelajar sekolah mempelajari kandungannya.

2. Mein Kempf

mein kampf adolf hitler

Walaupun anda belum pernah membaca buku ini, berkemungkinan besar anda tahu tajuknya. 'Mein Kampf' atau 'Perjuanganku' merupakan buku autobiografi hasil karangan Adolf Hitler sendiri, ditulis semasa Hitler dipenjarakan selepas gagal dalam cubaan merampas kuasa yang dikenali sebagai insiden 'The Munich Putsch', pada tahun 1923.

Pada mulanya, Hitler mahu menamakan buku itu dengan nama panjang 'Viereinhalb Jahre (des Kampfes) gegen Lüge, Dummheit und Feigheit' atau 'Empat Tahun Setengah Merana Berdepan Dengan Penipuan, Kebodohan dan Golongan Pengecut.' Bagaimanapun, Hitler dinasihatkan untuk menukarkan judul itu kepada 'Mein Kampf.'

Sangat popular selepas diterbitkan pada tahun 1925, publisiti ke atas Mein Kampf melonjak selepas Hitler dan parti Nazi berjaya mengambil alih kuasa. Dalam buku tersebut, Hitler secara terbuka menceritakan sejarah bagaimana identiti dan ideologinya terbentuk, menjadi lelaki anti Yahudi serta propaganda untuk melakukan penghapusan etnik bagi melupuskan terus orang Yahudi.

3. Ruhnama

turkmenistan monumento al ruhnama

Buku ini mungkin tidak terkenal pada kita, tetapi judul ini menjadi salah satu simbol kepada era pemerintahan Presiden Turkmenistan, Saparmurat Niyazov yang memerintah sejak 1990 hingga 2006. Dikarang agar menjadi panduan dalam pembentukan ideologi dan identiti kebangsaan, Ruhnama menjadi bahan bacaan wajib di institusi pendidikan termasuklah sekolah.

Terlalu obses dengan kuasa yang ada, Saparmurat mula menjadikan Ruhnama sebagai kayu ukur kualiti masyarakat Turkmenistan, mewajibkan ujian pengetahuan tentang Ruhnama ke atas bakal pelajar universiti dan bakal penjawat awam. Selain itu, kerajaan Turkmenistan juga melancarkan buku ini ke angkasa, bersama dengan bendera negara itu sebagai simbol kejayaan mereka.

'Ruhnama' yang membawa makna 'Buku Tentang Semangat Diri' dan telah diterjemahkan kepada 41 bahasa, mula ditarik edarannya daripada sekolah-sekolah sebelum Presiden Turkmenistan seterusnya - menghapuskan syarat ujian pengetahuan berkait dengan 'Ruhnama' dalam sistem pengambilan penjawat awam mereka.

4. The Protocols of Elder of Zion

protocol of elders zion

The Protocols of Elder of Zion merupakan koleksi tulisan dikatakan sebagai catatan-catatan perbincangan yang berlaku semasa kongres Zionis yang pertama, pada bulan Ogos 1897. Kongres yang dianjurkan oleh Theodor Herzl, seorang pemimpin Zionis dari Hungary melibatkan lebih 200 orang individu pemimpin masyarakat Yahudi di seluruh dunia diadakan bagi menyatukan dasar masyarakat Yahudi dalam menentukan masa depan mereka.

Bagi penyokong gerakan Zionis, kandungan yang tertera dalam buku ini dikatakan sebagai palsu dan sengaja direka, bagi mencipta persepsi negatif tentang gerakan Zionis. Cuba meletakkan komuniti Yahudi dan Freemason sebagai watak jahat yang cuba menjatuhkan agama Kristian serta menyatukan kuasa kerajaan seluruh dunia di bawah pengaruh mereka.

Buku ini dikritik hebat pemimpin gerakan Zionis sebagai bukti wujudnya pihak tertentu yang sengaja menyebarkan kebencian menerusi permainan sentimen benci, merupakan sebuah karya fiksyen yang direka bagi menjadikan Yahudi pihak yang bertanggungjawab dalam banyak perkara buruk yang berlaku di dunia. Diterbitkan kali pertama pada tahun 1903 di Russia, The Protocols of the Elders of Zion menjadi bahan rujukan rasmi mereka yang menyokong anti semitik sehingga kini.

5. Buku Hijau Muammar Gaddhafi

roberts qaddafi green book 163713 fflp0z

Menjadi deklarasi visi dan bukti manifesto tentang harapan dan impian Muammar Gaddhafi bagi negaranya, Libya - buku Hijau karangan beliau mengandungi koleksi falsafah dan ideologi yang mahu digunakan sebagai dasar pembentukan masyarakat.

Diakui sendiri oleh Muammar mengambil elemen daripada 'The Little Red Book', edisi pertama buku ini terbit pada tahun 1975, 6 tahun selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan Libya menerusi rampasan kuasa tentera.

Kerap dikritik mereka yang kurang gemar dengan caranya, kandungan Buku Hijau sebenarnya turut sama mengandungi visi besar tentang penyatuan dunia orang Arab, idea tentang bagaimana hendak mewujudkan kerjasama sesama masyarakat Arab serta banyak pengenalan ideologi segar yang pada ketika itu, dilihat terlalu progresif.

Bagi menjayakan isi Buku Hijau, Muammar mewujudkan gerakan pemikir Pusat Kajian dan Penyelidikan Buku Hijau dengan tenaga kerja 100 individu bertujuan mencari jalan membangunkan sistem yang sesuai dengan visi beliau. Selain itu, mereka juga diberikan tanggungjawab menterjemahkan Buku Hijau serta membangunkan sukatan mata pelajaran yang sesuai dengan elemen daripada buku tersebut, untuk diserap ke sekolah-sekolah.

Oleh sebab itulah semasa pemerintahan beliau, semua pelajar di Libya diwajibkan mempelajari kandungan Buku Hijau daripada sekolah rendah sehinggalah ke peringkat pendidikan tertiari.



Hakcipta iluminasi.com (2017)