Sejak zaman dahulu, proses penjilidan buku merupakan salah satu kemahiran yang memerlukan penelitian tinggi dan memerlukan mereka yang benar-benar mahir, bagi menghasilkan buku yang kukuh serta mampu tahan lama.

Proses penjilidan pada zaman sekarang lebih banyak dilakukan dengan menggunakan peralatan yang mempercepatkan proses jahitan dan percantuman, sebelum kulit buku itu dibalut dengan bahan seperti kertas, kain, vinyl dan juga kulit haiwan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, sejak zaman dahulu sudah wujud satu trend berbeza di mana penjilid-penjilid buku zaman dahulu secara sengaja menggunakan kulit manusia untuk dijadikan muka luar jilid buku mereka, atas sebab-sebab yang unik dan ganjil. Anda pernah dengar tentang buku-buku ini?

1. Koleksi buku Dr. John Stockton Hough

koleksi buku dr john kulit manusia

Dr. John Stockton Hough merupakan seorang ahli perubatan yang ditugaskan untuk melakukan autopsi ke atas kematian seorang wanita bernama Mary Lynch, pada tahun 1869. Autopsi beliau mendapati Lynch meninggal dunia selepas mendapat jangkitan cacing yang terlalu teruk, masih hidup di dalam badannya akibat daripada kegemaran Lynch memakan daging babi.

Sebelum menghantar mayat Lynch untuk dikembumikan, Dr. Hough memotong kulit peha Lynch yang kemudiannya disimpan di dalam salah satu bekas di biliknya selepas disalai bagi mengeringkan kulit tersebut. Tiada siapa mengetahui perkara itu berlaku.

Hampir 20 tahun kemudian, pada tahun 1887 Dr. Hough menggunakan kulit Lynch yang disimpan sekian lama untuk digunakan sebagai kulit muka kepada tiga buah buku perubatan koleksi beliau. Tidak diketahui bagaimana teknik sebenar beliau merawat kulit tersebut dan mengapa Dr. Hough menggunakan kulit Lynch sebagai bahannya. Ketiga-tiga judul itu kini disimpan di perpustakaan perubatan College of Physicians of Philadelphia.

2. Des destinées de l’ame

houssaye destiny of the soul

Buku 'Des destinées de l’ame' atau 'Destiny of the soul' merupakan sebuah buku yang disimpan di Universiti Harvard sejak tahun 1930, hasil tulisan seorang penulis bernama Arsene Houssaye.

Buku tersebut pada awalnya tidak menggunakan kulit manusia sebagai muka depannya, tetapi selepas Houssaye menghadiahkan buku tersebut kepada rakannya sekitar tahun 1880 yang bernama Dr. Ludovic Bouland - rakannya yang menjilidkan semula buku itu kepada kulit baru.

Di dalam buku itu, Bouland menulis bahawa dia sengaja tidak mencetak sebarang tajuk atau tulisan pada kulit luarannya, bagi melindungi kecantikan buku tersebut serta menjelaskan buku itu berhak dilindungi kulit manusia, kerana isi kandungannya menyentuh perkara tentang rohani manusia.

Pada tahun 2014, penyelidik Harvard berjaya mengesahkan dakwaan Bouland dan mengeluarkan laporan tentang kajian yang dijalankan ke atas kulit buku tersebut. Kulit buku itu datang daripada tubuh seorang wanita yang dipercayai salah seorang pesakit Dr. Bouland yang meninggal dunia, semasa di bawah jagaan beliau dan tidak dituntut mana-mana waris.

3. Le Scarabée d'Or

edgar allan poe the gold bug french human skin

Buku 'The Gold Bug' hasil tulisan Edgar Allan Poe telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, dengan tajuk Le Scarabée d'Or. Salah satu versi paling unik yang wujud adalah satu-satunya jilid yang diubah muka depannya, digantikan dengan salutan kulit manusia yang tidak diketahui siapa pemilik asalnya.

Apa yang diketahui adalah individu yang bertanggungjawab menjilidkan kulit manusia itu kepada buku tersebut bernama Gustave Rykers dari Brussels, yang mencatatkan tulisan "Relié en Peau Humaine. G. Rykers." di bahagian belakang kulit tersebut, bagi menandakan bahan yang digunakan. Makna tulisan itu adalah 'Dibalut dengan kulit manusia - G.Rykers.'

Buku itu berjaya dibeli dalam sebuah lelongan sebelum pemilik barunya membenarkan analisa ke atas buku tersebut dijalankan. Kajian yang dijalankan dan dilaporkan pada tahun 2018 mengesahkan dakwaan Rykers.

4. Buku rekod jenayah Bristol

buku rekod jenayah bristol

John Horwood adalah seorang penjenayah yang berjaya ditahan dalam kes pembunuhan seorang wanita bernama Eliza Balsom, pada tahun 1821. Horwood yang pada ketika itu baru berusia 18 tahun bertindak membunuh Balsom disebabkan cintanya yang tidak berbalas.

Siasatan juga mendapati sebelum kejadian bunuh berlaku, Horwood juga sudah beberapa kali mengganggu Balsom, menyerang secara fizikal dan pernah juga cuba membaling asid ke wajah wanita tersebut. Selepas menyebabkan kematian Balsom, Horwood ditahan pihak polis, diberikan perbicaraan yang kemudiannya menyebabkan dia berhadapan hukuman gantung.

Beberapa cubaan rakan Horwood mahu mengambil mayat rakan mereka itu memaksa pihak hospital melakukan proses pengasingan pada mayat Horwood. Tulang dan tengkoraknya disimpan sementara kulitnya pula dikeringkan, bagi digunakan untuk menjilid buku rekod jenayah masyarakat di situ.

Sebagai hukuman, sehingga kini tulang Horwood dipamerkan di Universiti Bristol lengkap dengan tali yang digunakan untuk menggantungnya kekal pada kedudukan asal. Kulitnya pula yang dijadikan pembalut buku rekod, kini disimpan di Muzium Bristol sebagai memperingati penjenayah pertama yang dihukum gantung di daerah tersebut.

5. Buku nota kecil William Burke

buku nota william burke kulit manusia

Jika anda merasakan nasib John Horwood selepas meninggal dunia buruk - dia jauh lebih bernasib baik berbanding dengan seorang individu bernama William Burke. Burke adalah seorang penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah bersama seorang lagi rakannya yang bernama William Hare. Hobi utama mereka berdua adalah pembunuhan dengan 16 mangsa bunuh dikenalpasti dalam tempoh 10 bulan pada tahun 1828 di Edinburgh, Scotland.

Pada zaman tersebut, kerajaan Scotland hanya membenarkan pusat-pusat pengajian perubatan menggunakan mayat-mayat penjenayah yang telah dihukum sebagai bahan uji kaji. Oleh sebab itu, amat sukar untuk sekolah perubatan mendapatkan jasad, jadi Burke dan Hare adalah pembekal utama jasad untuk seorang Doktor bernama Robert Knox.

Kegiatan mereka bertiga terbongkar selepas penduduk berjaya menemui mayat mangsa terakhir mereka, seorang wanita dan pihak polis berjaya memberkas ketiga-tiganya. Selepas perbicaraan dijalankan, Burke didapati bersalah selepas Hare mengakui Burke seorang saja bertindak membunuh kesemua mangsa. Pada 28 Januari 1829, William Burke digantung di hadapan 25,000 orang dan tiga hari berikutnya, jasadnya dibedah dan dipisahkan di hadapan khalayak ramai di teater University of Edinburgh. Sebahagian kulitnya pula hilang tidak diketahui siapa pencurinya.

Beberapa tahun kemudian, produk-produk seperti buku nota kecil dan juga bekas penyimpan kad yang dibalut kulit mula dijual kepada orang ramai. Apa yang istimewa tentang barangan seperti itu? Kulitnya diperbuat daripada kulit William Burke. Orang ramai berebut-rebut hendak memiliki barangan yang dikeluarkan.

Tengkorak Burke pula sehingga kini dipamerkan di Muzium Anatomi Sekolah Perubatan Edinburgh, sebagai rujukan para pelajar di sana.

Rujukan

The Skin She Lived In: Anthropodermic Books in the Historical Medical Library

Harvard scientists confirm Arsène Houssaye book is bound in human skin

Poe's Gold Bug perhaps in human skin

Edinburgh Dark History : Burke and Hare




Hakcipta iluminasi.com (2017)