Jika anda seorang pencinta buku dan gemar mengembara, sudah pasti anda amat teruja jika dapat melihat dan melawati kampung-kampung buku di seluruh dunia.

Laman web Wikipedia menyenaraikan hampir 40 buah kampung buku dan 36 daripadanya mempunyai tarikh operasi yang diketahui. Dalam kesemua kampung buku tersebut, Hay-on-Wye, Redu atau Wigtown mungkin antara yang paling terkenal. Di Malaysia pula, kita mempunyai dua buah kampung buku yang terletak di Langkawi dan juga Melaka, iaitu dua destinasi yang kerap menjadi tumpuan para pelancong dari seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

kampung buku bandar yang mempunyai banyak kedai buku

Selain itu, negara kita juga bertuah kerana Kuala Lumpur telah dinamakan sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020 oleh UNESCO. Ini mungkin menandakan bahawa budaya membaca masih diamalkan di kalangan masyarakat tempatan. Inilah visi dan objektif yang ingin dicapai oleh Tun Mahathir ketika mula-mula merasmikan pembukaan Kampung Buku pertama di Langkawi pada tahun 1997.

Bandar pertama yang diiktiraf sebagai kampung buku di dunia ialah Hay-on-Wye yang berada di Wales, United Kingdom. Kampung buku itu diasaskan oleh Richard Booth pada tahun 1961 yang juga merupakan Presiden Kehormat bagi Organisasi Kampung Buku Antarabangsa. Walaupun begitu, sebuah kejiranan di Tokyo, Jimbocho, telah lebih awal menjadi sebuah pusat buku yang berkembang dengan pesat pada awal kurun ke-20.

Selepas itu, tradisi 'mengimarahkan' sebuah kampung atau bandar dengan bahan bacaan mula tersebar ke seluruh dunia. Satu demi satu kampung buku mula diasaskan dan menerima kunjungan orang ramai. Kampung buku yang paling baru diasaskan pula terletak di Obidos, Portugal iaitu pada tahun 2013. Kini, ia sering menjadi tuan rumah bagi salah satu festival buku terbesar di Eropah yang digelar "Fólio."

Kali ini, kami kongsikan 10 buah kampung buku yang mesti anda lawati, terutama sekali jika anda merupakan seorang ulat buku. Namun begitu, lokasi-lokasi berikut sudah pasti boleh memikat sesiapa sahaja dengan keindahan kawasan sekitar yang dihiasi dengan deretan bahan bacaan. Destinasi yang wajib pergi, walaupun anda tidak suka membaca:

10. Wigtown, Scotland

wigtown kampung buku scotland 2

Wigtown adalah sebuah bandar kecil di Scotland yang telah diiktiraf secara rasmi sebagai Kampung Buku Kebangsaan Scotland pada tahun 1998.

Terdapat kira-kira 10 buah kedai buku di pekan ini yang menawarkan sehingga 250,000 unit buku walaupun bilangan penduduk di sini hanyalah sekitar 1,000 orang sahaja.

kedai buku wigtown kampung buku scotland 2

kedai buku wigtown kampung buku scotland

Setiap bulan September, Pesta Buku Wigtown akan dianjurkan di mana pelbagai aktiviti kesusasteraan, muzik, teater dan seni persembahan akan diadakan. Antara tarikan utama pekan ini ialah The Open Book, iaitu sebuah apartment yang dibina di atas sebuah kedai buku.

9. Bredevoort, Belanda

Kota zaman pertengahan Bredevoort yang terletak di Aalten, Belanda ini mempunyai latar belakang sejarah kependudukan yang telah bermula sejak tahun 1188 lagi. Dengan bilangan populasi sekitar 1,500 orang, ia diangkat menjadi Kampung Buku Kebangsaan pada tahun 1993 dalam usaha menghidupkan kembali bandar yang mempunyai banyak nilai sejarah ini.

kedai buku bredevoort belanda

Terkini, Bredevoort menempatkan sehingga 20 buah kedai buku antik dan terpakai. Kedai-kedai ini dibuka dari hari Selasa hingga Sabtu dan juga pada waktu tengah hari setiap Ahad.

pasar buku bredevoort belanda kampung buku 800

Setiap bulan, terdapat sebuah pasar buku yang menawarkan pelbagai kategori buku dalam bahasa Belanda, Perancis dan Inggeris.

8. Óbidos, Portugal

hotel bertemakan buku kampung buku obidos portugal

Dalam senarai kampung buku yang terdapat di seluruh dunia, Óbidos merupakan kampung buku yang paling baru diiktiraf walaupun sejarahnya telah bermula sejak zaman Rom lagi. Projek menaik taraf kawasan ini menjadi "Vila Literária" dimulakan oleh pihak Majlis Perbandaran Óbidos dan juga kedai buku Ler Devagar pada tahun 2013.

buku dalam pejabat pos lama kampung buku obidos

obidos kampung buku portugal

Setiap Oktober, Óbidos mengalu-alukan kedatangan para bibliofil dari seluruh dunia yang ingin menyertai Pesta Kesusasteraan Folio Antarabangsa yang merupakan acara kesusasteraan terbesar di Portugal.

7. Redu, Belgium

kampung buku redu belgium

Redu ialah sebuah kampung kecil yang berada di Ardennes, Belgium. Dengan penduduk seramai 400 orang, ia merupakan kampung buku pertama di Eropah yang bermula sejak tahun 1984. Semasa perayaan Easter, pesta buku dipanggil "Fête du Livre" yang dianjurkan di bandar ini berjaya menarik minat lebih daripada 15,000 orang pelawat.

kafe buku di redu belgium kampung buku

Sehingga kini, terdapat sebanyak 24 buah kedai buku di Redu yang menawarkan pelbagai pilihan buku antik dan terpakai serta buku komik. Tidak ketinggalan lambakan kafe, restoran dan kedai kraftangan yang dibuka di seluruh bandar. Maka, tidak hairanlah kampung ini dikunjungi sehingga lebih 200,000 ulat buku setiap tahun.

6. Mundal, Norway

Mundal terletak di tengah-tengah Fjærland berhampiran Sogne Fiord yang terletak tidak jauh dari glasier Jostedalsbreen. Ia mula dinamakan sebagai Kampung Buku Norway sejak tahun 1995.

penduduk mundal membaca di tepi jalan

Bandar yang mempunyai bilangan penduduk seramai 300 orang ini sering dilaporkan sebagai "kedai buku paling cantik di Norway." Banyak kedai buku antik dan terpakai yang menghiasi bangunan-bangunan terbengkalai yang ditinggalkan seperti bilik menunggu feri, kedai runcit, bank dan juga pejabat pos.

rak buku di perhentian bas norway kampung buku

kedai buku kampung buku mundal norway

Secara keseluruhan, kampung buku Mundal memberikan pilihan rak yang dipenuhi buku beranggaran 4km kepada para pengunjung. Kedai-kedai buku dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang dari bulan Mei sehingga September.

5. Saint-Pierre-de-Clages, Switzerland

Saint-Pierre-de-Clages terletak di tengah-tengah Pergunungan Alps di wilayah berbahasa Perancis di Switzerland. Perkampungan dengan pemandangan memukau ini telah menjadi Kampung Buku Swiss pada tahun 1990 dan terkenal dengan anjuran pelbagai pesta buku.

pesta buku switzerland kampung buku

Pesta buku pertama bermula pada tahun 1993 dan telah menjadi acara tahunan yang dianjurkan pada setiap minggu terakhir bulan Ogos bagi para pencinta buku. Ia sering berjaya mengumpulkan sehingga 100 peserta pameran yang terdiri daripada pelbagai kedai buku terpakai, penerbit, penulis dan ejen kesusasteraan serta menerima kunjungan sehingga 15,000 pelawat.

kedai buku di sebalik pintu gerbang kampung buku switzerland

Walaupun pesta buku merupakan tarikan utama di Saint-Pierre-de-Clages, anda masih boleh melawati kampung buku ini pada bila-bila masa atau menyertai Hari Sabtu Sastera yang diadakan pada setiap minggu.

Terdapat sebanyak 10 buah kedai buku di dataran utama yang menawarkan kepelbagaian genre buku-buku lama dan juga buku edisi baru.

4. Jimbocho, Tokyo, Jepun

Jimbocho sebenarnya bukanlah sebuah bandar yang dipisahkan dengan persempadanan kawasan. Ia hanyalah sebuah kawasan kejiranan di Chiyoda yang terletak di tengah bandar Tokyo. Kawasan ini merupakan kedai buku terpakai dan antik yang terbesar di Jepun. Selain buku-buku Jepun, terdapat juga beberapa buah kedai yang menawarkan buku dalam bahasa Inggeris.

kedai buku terpakai antik jimbocho tokyo jepun

Kini, terdapat lebih 170 buah kedai buku, kedai buku terpakai dan rumah-rumah penerbitan yang berada di Jimbocho. Kebanyakannya boleh ditemui di sekitar persimpangan jalan Yasukuni dan Hakusan.

rak buku dalam dinding di sepanjang jalan jimbocho kampung buku tokyo

Sejarah Jimbocho bermula sebagai sebuah daerah penerbitan pada tahun 1913 apabila Profesor Shigeo Iwanami telah membuka sebuah syarikat penerbitan kecil yang kemudian menjadi sumber inspirasi kepada penerbit lain supaya melakukan perkara yang sama. Tidak lama selepas itu, kedai-kedai buku dan kafe mula dibuka dan berkembang. Pada tahun 1920-an, ia telah berjaya menarik kedatangan ramai pelajar dan masyarakat yang berpendidikan tinggi serta mula menjadi pusat pemikiran liberal.

Antara kedai buku yang wajib dikunjungi adalah At Wonder yang mempunyai rak-rak buku terbuka, Bunken Shoin dan Kedai Buku Yaguchi.

3. Hay-on-Wye, Wales

Hay-on-Wye adalah sebuah bandar yang terletak di sempadan antara Wales dan England. Ia merupakan kampung buku yang paling dikenali di dunia dan amat popular dengan Istana Kedai Buku yang berkonsep terbuka serta pelbagai anjuran acara kesusasteraan.

kampung buku pertama dunia hay on wye wales united kingdom 322

Dengan populasi sekitar 1,600 sahaja, Hay-on-Wye mempunyai banyak kedai buku. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan kedai buku di sini telah semakin berkurangan dan kebanyakannya telah ditukarkan menjadi kedai antik barangan am.

pesta hay bagi pencinta buku bibliofil

Bandar ini berbaloi untuk dilawati terutama sekali semasa anjuran Festival Kesusasteraan dan Kesenian Hay yang diadakan antara bulan Mei dan Jun. Ia adalah antara festival terulung yang bermula sejak tahun 1987 lagi. Ketika itu, bilangan pengunjung hanyalah sekitar 1,000 orang sahaja dan kini telah meningkat sehingga 250,000.

2. Bécherel, Perancis

Bécherel merupakan sebuah bandar kecil zaman pertengahan yang menarik untuk dikunjungi sekiranya anda ke Brittany, Perancis. Bandar yang menjadi tempat tinggal bagi hanya 700 orang penduduk ini mempunyai sehingga 15 buah kedai buku. Malah, terdapat juga beberapa galeri kesenian dan kafe berkonsepkan buku.

kampung buku becherel brittany perancis

Sejarah lokasi ini bermula sejak kurun ke-12 lagi oleh Alain de Dinan yang telah membina sebuah kubu di sini yang lama-kelamaan berubah menjadi "Cité du Livre" (city of books). Idea menjadikan bandar ini sebagai sebuah bandar buku dimulakan oleh Bernard Le Nail yang merupakan Ketua Pengarah Institut Kebudayaan Brittany.

kedai buku becherel brittany

Festival buku pertama telah diadakan pada tahun 1989 yang kemudian menjadi acara tahunan yang dijalankan setiap musim bunga sekitar perayaan Easter. Selain itu, banyak juga acara buku lain yang dianjurkan termasuklah pasar buku pada setiap hari Ahad dam festival membaca pada bulan Oktober.

1. Urueña, Sepanyol

Bandar kecil yang telah wujud sejak zaman pertengahan ini terletak sejauh dua jam perjalanan dari Madrid. Ia mempunyai hanya kira-kira 200 orang penduduk namun mempunyai sehingga 12 buah kedai buku terpakai dan kedai buku antik. Urueña merupakan kampung buku pertama di Sepanyol yang lebih dikenali sebagai "Villa del Libro."

kampung buku uruena sepanyol

Idea untuk mengubah suai Urueña menjadi sebuah kampung buku bermula pada tahun 2007 oleh Jorge Manrique, iaitu seorang profesor dari University of Valladolid. Selepas majlis perbandaran tempatan menerima dan meluluskan ideanya serta mengeluarkan dana, Villa del Libro mula menjadi destinasi pilihan ulat buku dari seluruh dunia.

kedai buku cantik uruena sepanyol

Kedai-kedai buku di sini banyak menjual buku terpakai yang sukar ditemui. Misalnya di kedai buku El 7, anda boleh menemui koleksi terbesar buku-buku berkaitan sukan laga lembu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)