Oleh pada 28 Jan 2019 kategori

Nama Michael Jordan mungkin begitu popular dalam kalangan peminat sukan bola keranjang. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengiktiraf beliau sebagai pemain bola keranjang terhebat sepanjang zaman.

Malah, beliau pernah terlibat dalam filem Space Jam, satu filem animasi komedi yang popular pada tahun 1996. Dalam filem animasi ini, Michael Jordan telah digandingkan dengan watak-watak kartun Loonie Tones.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Michael Jordan juga berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila pihak Nike telah bersetuju untuk mencipta kasut khas bola keranjang buatnya yang digelar Jordan Air. Kehebatannya dan rekabentuk kasut ini yang unik menjadikannya begitu popular dan menenggelamkan populariti kasut Converse dan Adidas pada ketika itu.

Disisihkan kerana dianggap terlalu pendek

michael jordan remaja 349

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Michael Jordan bukanlah pemain yang sudah hebat sewaktu beliau di peringkat sekolah lagi. Malah, beliau juga pernah disisihkan daripada pasukan bola keranjang sekolah menengahnya dengan alasan beliau tidak cukup tinggi.

Walaupun tidak terpilih mewakili pasukan bola keranjang sekolahnya, beliau tidak mengaku kalah dan terus memperhebatkan latihannya. Beliau juga mempunyai cita-cita mendapat tajaan daripada pengeluar kasut terkenal.

Pada awalnya, beliau ingin mencuba nasib berasama Adidas. Malangnya, syarikat Adidas telah menolak untuk menandatanganinya dengan alasan beliau terlalu pendek. Pada ketika itu ketinggiannya adalah sekitar 6 kaki dan 6 inci atau bersamaaan 198sm.

Bagi kebanyakan orang, ketinggian tersebut mungkin sudah cukup tinggi. Namun bagi pemain bola keranjang Amerika Syarikat, ketinggian tersebut belum cukup tinggi sehingga menyebabkan ramai pihak tidak menyangka Michael Jordan boleh menjadi seorang pemain bintang apabila besar kelak.

Menolak tawaran daripada Converse

michael jordan converse

Walaupun syarikat Adidas tidak mahu menandatanganinya, beliau tidak berputus asa. Kemudian, syarikat kasut Converse telah menawarkan tajaan kepadanya berjumlah $100,000. Namun, pihak Converse juga menyatakan beliau akan dilayan sama seperti pemain lain yang ditaja Converse dan bukanlah dilayan sebagai pemain bintang.

Michael Jordan tidak bersetuju. Beliau tidak mahu hanya menjadi pemain biasa sebaliknya mahu menjadi pemain bintang. Mungkin kelihatan sombong namun bagi Michael Jordan, beliau percaya mampu mendapat lebih daripada itu dan beliau percaya bahawa dirinya lebih bernilai.

Cabaran daripada Nike

michael jordan 296

Selain Adidas dan Converse, syarikat Nike juga merupakan antara penaja kasut popular pada ketika itu. Syarikat Nike pada ketika itu sedang mengalami zaman kesukaran untuk terus bersaing dalam pasaran. Mereka memerlukan seorang pemain hebat yang mampu menaikkan kembali jenama mereka.

Michael Jordan pada mulanya tidak begitu yakin untuk bertemu pihak Nike. Beliau masih kecewa apabila ditolak oleh Adidas atas alasan beliau terlalu pendek. Beliau menyangka Nike mungkin tidak akan bersetuju untuk menajanya atas alasan yang sama.

Namun, nasihat daripada bapanya mengubah segala-galanya. Antara nasihat bapanya yang memberi keyakinan kepadanya untuk terus berjaya adalah "You can be as tall as you want in your thinking".

michael jordan yao ming 1 570x354

Pihak Nike akhirnya bersetuju untuk menandatanganinya dengan memberikan tawaran berjumlah $500,000. Mereka yakin dengan bakat Michael Jordan bermain bola keranjang. Jumlah tersebut tersangatlah lumayan tetapi ia bukanlah diberi percuma.

Untuk memastikan kontraknya disambung, pihak Nike telah menetapkan sasaran dan mencabar Michael Jordan untuk mencapai 1 daripada 3 syarat berikut dalam masa 3 tahun:

  1. Gelaran "Rookie of the Year"
  2. Menjadi pemain "Allstar"
  3. Mendapatkan 20 mata jaringan dalam setiap perlawanan

Michael Jordan akhirnya bersetuju dengan syarat tersebut. Baginya, beliau boleh menerima kegagalan kerana setiap manusia pernah gagal dalam sesuatu perkara. Namun, beliau tidak boleh menerima alasan tidak mahu mencuba.

Kehebatan Michael Jordan dan kasut Air Jordan

air jordan

Pihak Nike telah mencipta kasut khas Air Jordans untuk oleh Michael Jordan. Walau bagaimanapun, kerana rekaannya yang unik dan sangat lain dengan rekaan kasut bola keranjang pada ketika itu, pihak NBL telah melarang beliau memakai kasut tersebut di atas gelanggang.

Pihak Nike walau bagaimanapun setuju untuk membayar denda berjumlah $5000 membolehkan Michael Jordan terus memakai kasut tersebut dalam setiap perlawanan. Pihak Nike percaya Michael Jordan sangat komited untuk menjadi seorang pemain bintang.

Daripada 3 syarat yang ditetapkan oleh pihak NIke, Michael Jordan bukan hanya mencapai 1 daripadanya malah ketiga-tiga syarat yang ditetapkan. Kehebatannya di atas gelanggang terus menaikkan populariti kasut Air Jordan dan jenama Nike sendiri.

Kasut Air Jordan mula diminati ramai malah jualan kasut tersebut dikatakan mencecah $100 juta dalam setahun. Jenama Nike semakin diminati ramai dan syarikat ini menjadi syarikat pembekal pakaian sukan dan kasut sukan terbesar dunia.

Kisah kejayaan Michael Jordan ini seharusnya menjadi inspirasi kepada kita semua. Bagi beliau, kita mestilah tahu nilai dan potensi diri kita. Jangan terlalu percayakan kata-kata negatif daripada orang ramai kerana ianya akan menjadi penghalang pada diri kita.

Kredit:

  1. Biography
  2. Investopedia
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)