Oleh pada 13 Jan 2018 kategori

salah satu aksi dalam iklan komersial oleh pepsi

Ramai orang gemar memperkatakan tentang sesuatu yang suatu ketika dahulu adalah lebih menarik, terutamanya dalam sukan bola sepak.

Banyak nostalgia yang mengisahkan bagaimana dahulu ia adalah lebih sukar, peminat yang membanjiri stadium juga lebih fanatik, dan segalanya adalah lebih baik.

Walaupun tidak semuanya benar, tetapi satu perkara yang mungkin semua peminat bersetuju adalah iklan yang mempromosikan bola sepak suatu masa dahulu adalah lebih baik berbanding apa yang dihasilkan pada masa kini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Era 90-an dan juga awal 2000 menyaksikan kebanjiran iklan bola sepak yang kreatif, yang dikuasai oleh Nike, Pepsi dan lain-lain penaja sukan yang utama, yang sukar ditandingi oleh iklan-iklan yang ada pada hari ini dari segi kualitinya.

Jadi untuk mengimbau semula zaman yang kegemilangan tersebut, mari kita saksikan 10 iklan bola sepak paling menarik dan terbaik yang pernah dihasilkan.

10. Nike: Ole Football Euro 2004

Luis Figo, Ronaldo, Ronaldinho dan banyak lagi bintang bola sepak lain menampilkan aksi penuh dengan 'skil' yang menarik dalam usaha mereka memenangi bola walaupun perlawanan sebenarnya belum bermula. Paling menarik dan juga melucukan adalah penamatnya, yang pasti langsung tidak dijangka oleh sesiapa sahaja. 

9. Pepsi: Manchester United vs Real Madrid

Pertembungan epik antara dua kuasa besar bola sepak ini ditonjolkan dengan cara yang sangat menarik. Berlatar belakangkan zaman 'cowboy', 'cameo' dari Rivaldo, dan juga kemunculan saat akhir oleh Roberto Carlos menambahkan lagi keunikan hasil kerja Pepsi ini.

8. Nike: Brazil Airport

Pada tahun 1996, Nike telah membayar sejumlah wang yang besar untuk menjadi penaja kepada pasukan kebangsaan Brazil. Kemudian mereka dengan segera menghasilkan satu iklan mengenai bola sepak Samba yang begitu sinonim dengan negara tersebut. Mereka berjaya menggarapkan segalanya yang unik tentang bola sepak Brazil dalam rakaman ini untuk tontonan peminat dari seluruh dunia.

7. Nike: Good vs Evil

Penjahat, api, lagenda, dan Colloseum? Usaha yang klasik oleh Nike ini mengisahkan bagaimana bola sepak cuba diselamatkan dari kuasa jahat. Ia memiliki segalanya yang ingin kita lihat dalam iklan bola sepak.

6. Pepsi: The football warriors

Sebelum Cristiano Ronaldo, sebelum Lionel Messi - malah sebelum Ronaldinho, bola sepak memiliki David Beckham. Wajah yang sangat terkenal dalam pengiklanan untuk mempromosikan bola sepak ini dipilih bersama beberapa lagi pemain yang seangkatan dengannya untuk membintangi pengembaraan epik hasil buah tangan Pepsi.

5. Nike: Write The Future

Tiada yang lebih mengagumkan kita selain dari menentukan nasib kita sendiri, dan itulah yang cuba disampaikan oleh Nike dalam iklan 'Write The Future' sempena Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Mereka menggunakan kebijaksanaan dari pemenang anugerah Oscar iaitu Alejandro González Iñárritu dan juga menampilkan tetamu istimewa seperti Kobe Bryant dan Homer Simpson. 

4. Adidas: José +10

Adidas bersiap sedia untuk Piala Dunia 2006 di Jerman dengan 'menghidupkan' semula lagenda-lagenda bola sepak. Bahagian yang paling menarik mungkin adalah di samping nama-nama besar seperti Franz Beckenbauer dan Michael Platini, Adidas turut menyenaraikan Jermain Defoe dan Damien Duff dalam klip video ini.

3. Nike: The Next Level

Sebelum 'meriahnya' media sosial dan 'Career Mode' dalam permainan FIFA yang seakan realistik, Nike membawa kita ke dalam pengembaraan seorang bakat yang tidak dikenali kepada seorang bintang global dalam bola sepak melalui 'The Next Level.' Anda boleh meneka usia iklan ini kerana Arsene Wenger masih lagi pengurus yang menjadi pilihan, dan Belanda masih lagi kuasa besar bola sepak.

2. Nike: The Joy

Tidak pernah ada dan mungkin tiada lagi kempen yang lebih menarik berbanding siri Joga Bonito oleh Nike menjelang Piala Dunia 2006 yang dohiskan oleh Eric Cantona. Dan yang paling menarik antara semua siri yang ada ialah episod ini yang menampilkan keaslian, keseronokan yang tidak terbatas dalam bola sepak melalui kaca mata Ronaldinho yang masih muda.

1. Nike: Secret Tournament

Segalanya tentang 'Secret Tournament' oleh Nike adalah sempurna. Muzik latar yang diinspirasikan dari Elvis Presley, lokasi kapal yang dirahsiakan, aksi hos dengan tongkatnya dan juga penuh dengan skil-skil yang mengujakan. Dikomersialkan pada tahun 2002, ia benar-benar menampilkan zaman kegemilangan pengiklanan bola sepak dan mungkin tiada lagi yang setanding dengannya di masa akan datang.

Rujukan: 1. www.onefootball.com

             2. You Tube




Hakcipta iluminasi.com (2017)