Sekiranya anda tidak tahu, ada segelintir manusia yang hobinya membeli kasut-kasut edisi terhad dan menjualnya kembali pada harga yang lebih tinggi untuk menjana keuntungan. Mereka yang dianggap sebagai "reseller" ini juga dikenali sebagai "sneakerhead".

Bagi yang tidak tahu, dunia kasut kasual atau sneaker mempunyai peminatnya tersendiri di seluruh dunia. Malah, ada peminat yang sanggup menghabiskan berpuluh ribu ringgit bagi mendapatkan kasut tertentu yang diminati. Ianya lebih kepada minat dan kepuasan semata-mata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sesetengah jenama pembuat kasut seperti Nike, Adidas dan Vans kebiasaannya akan mengeluarkan kasut edisi terhad yang dihasilkan dengan kerjasama jenama atau artis lain seperti Off White, Kanye West dan lain-lain lagi. Kasut yang dijual juga sangat terhad kuantitinya sehingga dalam sesetengah jualan, bakal pembeli perlu membuat undian dan beratur berjam-jam lamanya.

Permintaan yang tinggi dalam dunia sneaker ini menjadikannya sebagai lubuk duit bagi sesiapa yang pandai mengambil peluang. Malas beratur berjam-jam semata-mata untuk membeli kasut edisi terhad? Mungkin ada sahaja orang yang mengambil upah untuk berdiri beratur berjam-jam lamanya untuk membelikan kasut bagi pihak anda!

Terdapat seorang lelaki bernama Jaysse Lopez yang menjadi jutawan hanya dengan menjadi reseller. Daripada seorang gelandangan, beliau sudahpun membina sebuah empayar perniagaan bernilai jutaan dollar dalam dunia ini. Berikut adalah kisah beliau yang boleh dijadikan sumber inspirasi, tidak kira dalam apa jua perniagaan yang anda lakukan.

Pernah menjadi gelandangan selama 6 bulan

gelandangan 70

Pada tahun 2000, Jaysse Lopez hanyalah seorang pemuda dari New Jersey yang mengambil keputusan drastik berhijrah ke Las Vegas untuk mengubah hidupnya. Walaupun Las Vegas terkenal sebagai pusat hiburan dan perjudian, beliau hanya menjual air di jalanan di sana.

Ketika disana, beliau menjadikan sebuah tapak rekreasi di Marylan dan Charleston sebagai rumahnya. Beliau hanya mengetahui dan didedahkan kepada dunia penjualan semula kasut-kasut edisi terhad ini apabila berjalan-jalan di pusat membeli-belah dan melihat begitu ramai orang sanggup beratur panjang beberapa hari sebelum sesuatu jualan kasut dibuka.

Pada peringkat awal, beliau hanya memerhatikan sahaja penjual (reseller) yang lebih berpengalaman ini dan mula belajar lebih mendalam mengenai peluang yang ada dalam industri ini. Pada awalnya, beliau telah mengambil upah daripada beberapa orang reseller ini untuk beratur panjang sebelum jualan kasut dibuka.

Permulaan sebagai seorang "reseller"

beratur panjang beli kasut 393

Tidak lama kemudian, duit hasil jualan air dan mengambil upah beratur untuk reseller dikumpul dan sedikit demi sedikit beliau dapat meningkatkan taraf hidupnya. Beliau juga telah ditawarkan bekerja dengan sebuah syarikat menjual telefon bimbit dan bertemu dengan teman wanitanya Joanie Barangan.

Walau bagaimanapun, minatnya terhadpnya dunia sneaker tidak pernah pudar. Duit daripada pekerjaannya pada ketika itu dikumpul untuk digunakan sebagai modal bagi membeli sneaker. Beliau mahu merasai sendiri pengalaman menjadi seorang reseller.

Pada tahun 2013, setelah melakukan kajian mendalam terhadap kasut yang berpotensi menjana keuntungan, beliau telah mengambil keputusan untuk membeli 18 pasang kasut Nike’s Barkley Posite Max Area 72. Daripada penjualan semula kesemua kasut ini, beliau berjaya memperoleh sekitar $200 keuntungan.

Mungkin sesetengah pihak berpendapat keuntungan tersebut tidak seberapa, namun beliau mengganggap ianya sebagai batu loncatan untuk terus maju dalam bidang ini. Kejayaan awalnya ini terus memberikan beliau motivasi untuk terus meneroka peluang lebih besar dalam dunia ini.

Membuka laman web tempahan

jaysse lopez

Jaysse Lopez tidak pandang ke belakang sebaliknya terus mengatur strateginya. Sekiranya sebelum ini beliau perlu membuat ramalan kasut apa yang bakal mendapat permintaan tinggi dan terpaksa mendahulukan duitnya sebagai modal membeli kasut. Kemudian, beliau mencuba kaedah lain dengan membuka sebuah laman web bagi menerima tempahan pula.

Laman web yang diberi nama Two Js Kicks dibuka hanya selepas 3 bulan beliau membuat jualannya yang pertama. Melalui laman ini, beliau telah menerima pra-tempahan daripada pembeli. Pada masa sama, beliau turut mula membina hubungan baik dengan beberapa orang pengurus kedai bagi membolehkan beliau mendapat akses awal terhadap kasut-kasut yang dijual.

Jatuh dan bangkit semula

lelongan kasut berjenama

Langit tidak selalunya cerah, sama jugalah dengan kehidupannya. 6 kemudian, beliau dan teman wanitanya terputus hubungan. Beliau mengalami tekanan sehingga mengganggu pekerjaanya. Kerana tiada tempat tinggal, beliau telah menumpang tidur di sofa rumah rakannya selama beberapa ketika.

Ketika itulah beliau telah mendapat satu ilham yang menarik. Beliau berjaya menghubungi dan memujuk segelintir daripada pembelinya sebelum itu untuk mendermakan atau menjualkan kepadanya semula pada harga rendah kasut-kasut terpakai kepadanya untuk dijual dalam sebuah acara lelongan.

Dalam acara ini, beliau berjaya menjual kira-kira 400 pasang kasut. Ketika inilah seorang wakil daripada pusat membeli belah tersebut (Boulevard Mall) telah berjumpa dengannya dan memujuknya untuk membuka sebuah kedai menjual kasut disitu.

Lelaki tersebut juga sanggup menawarkan satu lot kedai yang sudah 5 tahun tidak berpenghuni dan beliau juga dikecualikan daripada membayar sewa kedai tersebut selama beberapa bulan. Maka, secara rasminya kedai fizikalnya yang pertamanya telah dibuka pada September 2014.

Terus maju ke hadapan

urban necessities

Lama-kelamaan, perniagaanya terus maju. Malah, beliau dan teman wanitanya kembali bersama dan berkahwin. Jenama Two Js Kicks yang digunakan pada awalnya dahulu juga telah dijenamakan semula kepada Urban Necessities. Tahun demi tahun, Urban Necessities mencatatkan peningkatan dalam hasil jualan, daripada $4 juta pada tahun 2015 kepada $21 juta pada tahun 2019.

Kedua-dua pasangan ini kini merupakan pemilik bersama jenama ini dan mereka berharap untuk membina perniagaan ini sehingga mencapai jualan $500 juta. Selain sneaker, kedai mereka turut menjual barangan lain seperti pakaian dan aksesori yang dijual di 2 buah kedai fizikal dan kedai dalam talian.

Kredit:

  1. Business Insider
  2. HypeBeast



Hakcipta iluminasi.com (2017)