Oleh pada 02 Dec 2022 kategori

Pengumpulan data sudah menjadi satu cabang wajib ada dalam setiap bidang, dengan penggunaan mikrocip yang merekodkan maklumat menjadi kebiasaan dalam memudahkan proses kompilasi informasi berlaku.

Dua ke tiga dekad ke belakang, pasti orang ramai tidak mampu membayangkan bagaimana teknologi sebegini mampu dimanfaatkan dalam sebiji bola; inilah yang berjaya diperkenalkan dengan berjaya sekali menerusi penganjuran Piala Dunia 2018 Russia dan sinambungannya Piala Dunia 2022 di Qatar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bola rasmi kejohanan keluaran gergasi peralatan sukan Adidas dari Jerman, mampu menggunakan kemampuan pengkomputeran dalam membantu menganalisis perlawanan. Persoalannya, bagaimana Adidas melakukannya?

Penyatuan teknologi komputer ke dalam bola yang disepak terajang

keratan rentas bola adidas

Usaha untuk memasang mikrocip ke dalam bola bukanlah satu usaha yang baru saja dimulakan. Idea ini telah cuba diperhalusi berdekad-dekad lamanya.

Penambahbaikan yang telah berjaya dicapai dalam tempoh sedekad lalu, memungkinkan teknologi mikrocip dan rekaan bola disatukan dengan berkesan dan perkembangan fungsinya diperluaskan.

Bermula tahun 2005, kejohanan Piala Dunia Belia bawah 17 tahun menjadi medan eksperimen pertama penggunaan bola dengan mikrocip, membantu pengadil mengesan sama ada bola telah pun melepasi garisan gol ketika jaringan dilakukan.

Bola yang dinamakan sebagai 'Smartball' dibangunkan Adidas dengan kerjasama FIFA, dicetuskan pembangunannya selepas satu insiden melibatkan perlawanan Liga Perdana Inggeris, di antara kelab Tottenham Hotspurs menentang Manchester United.

Satu jaringan Spurs yang sepatutnya sahih kerana bola telah melepasi garisan dibatalkan, hanya kerana pengadil tidak menyaksikan insiden itu dengan mata.

Adidas mula membangunkan teknologi ringkas pengesan yang mampu berhubung dengan peranti berbentuk jam dipakai pengadil, menerima isyarat setiap kali bola melepasi garisan yang ditetapkan. Fungsi asas ini membolehkan ralat pengadil diminimakan dalam menentukan kesahihan jaringan.

Cubaan memperkenalkan teknologi sama ke kejohanan Piala Dunia 2006 bagimanapun tidak kesampaian, ekoran beberapa kelemahan yang ada. Walaupun demikiran idea 'mikrocip dalam bola' mula mendapat perhatian sukan-sukan lain sehingga mewujudkan perdebatan tentang keperluannya diteruskan.

Ada pihak merasakan 'kesilapan teknikal' yang boleh berlaku sepatutnya dibiar kerana telah menjadi adat resam permainan sekian lama.

Namun bagi pihak yang mempunyai pendapat berlawanan, mereka melihat penggunaan teknologi bagi mengurang atau menghapuskan terus sebarang kesilapan pengadilan mampu memastikan keputusan permainan seiring dengan realiti sebenar perlawanan.

Pendapat ini lebih diterima penganjur pelbagai acara sukan di seluruh dunia bukan sahaja dalam bola sepak tetapi turut melibatkan sukan lain seperti ragbi, membolehkan pembangunan teknologi mikrocip untuk dipasang dalam bola diperluaskan.

Percubaan pertama di Piala Dunia 2014 

jam diguna pengadil

Berdasarkan kepada kematangan teknologi yang telah berjaya dicapai, FIFA akhirnya memperkenalkan sistem bola berpasang mikrocip dalam kejohanan Piala Dunia 2014 di Brazil, yang mampu mengesan kedudukan bola di atas garisan gol.

Pengenalan ini dibuat berdasarkan kepada kejayaan eksperimentasi teknologi sama, semasa penganjuran kejohanan lebih kecil iaitu Piala Konfederasi FIFA.

Hasil keputusan ujian sistem yang dinamakan sebagai 'GoalControl' memenuhi piawaian ditetapkan FIFA dan Brazil menjadi tuan rumah pertama Piala Dunia memanfaatkan teknologi pemprosesan maklumat dalam bola sepenuhnya.

Lebih menarik, Adidas turut membangunkan teknologi bola pintar yang dinamakan sebagai Adidas miCoach Smart Ball, sejenis bola yang dihubungkan terus dengan peranti telefon melalui sambungan Bluetooth; mampu membaca dan merekod pergerakan bola yang ditendang secara ringkas.

miCoach Smart Ball yang diperkenalkan bukan saja disediakan untuk keguaan latihan pasukan-pasukan kebangsaan, bahkan turut dijual secara komersial kepada individu yang mahu memperbaiki teknik sepakan mereka. 

Kemuncak kepada teknologi yang dibangunkan Adidas era tersebut membolehkan FIFA merasa yakin memperkenalkan bola berteknologi tinggi Telstar 18 dalam edisi Piala Dunia 2018 di Russia.

Telstar 18 mengintegrasikan semua teknologi terkini ketika itu, dipasangkan dengan cip-cip sensor pelbagai fungsi yang bukan saja merekod secara langsung pergerakan bola dan ketentuan lintasan garisan gol, bahkan turut mampu membaca impak tekanan yang tercetus pada permukaan bola.

bola piala dunia 2018

Lucunya, dalam fasa awal pembangunan bola tersebut - Adidas memasang beberapa buah kamera di dalamnya bagi menguji adakah wujud manfaat fungsi rakaman video dalam sebiji bola.

Malangnya menurut Adidas, kebanyakan video yang direkodkan terlalu pantas untuk dilihat dengan mata kasar, jadi eksperimen ini tidak diterjemahkan ke dalam bola Telstar 18 versi akhir.

Bagi bola Telstar 18 edisi komersial yang dijual kepada orang ramai, beberapa varian berspesifikasi tinggi bola tersebut dipasangkan dengan cip NFC (near field communication) dan sambungan WiFi, bagi membolehkan pengguna memuat turun informasi dan data termasuklah maklumat pengiklanan dengan mudah terus ke telefon bimbit.

Kemuncak teknologi mikrocip dalam bola di Piala Dunia 2022

al rihla bola adidas

Perkembangan teknologi bola yang dipasang mikrocip hasil pembangunan Adidas telah mencapai satu tahap yang jauh berbeza dalam tempoh 4 tahun, selepas berakhirnya Piala Dunia 2018 di Russia.

'Al Rihla' atau 'Perjalanan' dibangunkan Adidas sebagai bola rasmi Piala Dunia 2022 di Qatar, memampatkan pelbagai jenis teknologi mikrocip pengesan di dalamnya yang membolehkan lebih banyak kategori data dibaca baik secara langsung atau tidak langsung.

Dua teknologi utama yang dibangunkan oleh Adidas dalam setiap unit Al Rihla dinamakan sebagai Connected Ball dan Suspension System.

'Connected Ball' adalah teknologi pengesan yang digunakan bagi menghubungkan bola yang dimainkan, terus dengan pengimbas di sekitar stadium yang akan merekodkan titik pergerakan bola 500 kali setiap satu saat.

Keupayaan ini membolehkan penganalisis data membaca kedudukan bola dengan tepat bagi membantu pengadil serta pengadil bantuan video membuat keputusan yang betul dan tidak diragui.

Sebuah pengesan berfrekuensi tinggi yang dipasang betul-betul ditengah badan bola dengan sokongan pemegang unik, diberi nama jolokan 'Suspension System' bertanggungjawab merekodkan semua impak, sentuhan dan perubahan pada bentuk bola semasa perlawanan.

Setiap sentuhan permukaan bola dengan mana-mana bahagian tubuh pemain mampu dikenalpasti dengan ketepatan tinggi.

Data daripada sistem inilah yang digunapakai untuk mengenalpasti penjaring sebenar gol semasa perlawanan Portugal menentang Uruguay, di mana penyerang handalan Cristiano Ronaldo dilihat seakan sempat menanduk bola hasil hantaran rakannya Bruno Fernandes sebelum menerjah ke gawang.

Data yang direkodkan bola membuktikan hantaran Fernandes terus menerjah ke gawang lawan tanpa ada sentuhan dan impak pemain lain.

bola piala dunia caj kabel

Bagaimanapun, cip yang dipasang bagi menjalankan fungsi ini masih bergantung kepada bateri yang perlu dicas semula.

Jadi setiap kali perlawanan berlangsung, pegawai pertandingan perlu mengecas dahulu bola bagi memastikan bateri yang ada penuh dan bola mampu berfungsi dengan baik.

Dengan semua teknologi yang ada janganlah hairan pula kalau satu hari nanti, perlawanan bola sepak terpaksa ditangguhkan sebentar hanya kerana bola kehabisan bateri. Harap pengadil bawa power bank siap-siap.




Hakcipta iluminasi.com (2017)