kasut converse high cut

Converse merupakan sebuah jenama kasut antarabangsa yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Walau jenama ini tidaklah sepopular Adidas dan Nike, jenaman Converse ini masih mempunyai peminat fanatiknya yang tersendiri.

Jenama ini juga kaya dengan sejarah. Pihak Iluminasi telah diberi peluang untuk mengulangsiar artikel di bawah ini yang ditulis oleh Festive Bundle Asia. Sesetengah bahagian daripada artikel ini telah diubah (tanpa mengubah maksud asal ayat) bagi memudahkan ianya difahami dan dibaca. Sekiranya anda merupakan seorang peminat barangan bundle dan vintage, bolehlah berhubung dengan beliau.

1908 (Bermulanya Converse)

kasut vintage converse

Setelah puas bekerja dengan sebuah syarikat kasut, seorang lelaki berusia 47 tahun berhenti kerja dan memulakan bisnes sendiri. Marquis Mill Converse meletak jawatannya sebagai pengurus yang disegani dan membuka satu lagi syarikat kasut kecil kecilan di Malden, Massachusettes. Bermula pada tahun 1908, Converse Rubber Shoe Company cuma berniaga runci runcit dengan membuat kasut getah kepada semua golongan untuk berkebun, bersiar siar, pergi pasar, menyapu sampah, pergi mengaji atau bermain baruh. Setelah tujuh tahun, tahun 1915 barulah Converse berjinak jinak ke industri sukan dengan buat kasut tenis.

Dua tahun membuat kasut tenis dan nampak peluang yang ada, pada tahun 1917 Converse cuba pula untuk masuk ke industri bola keranjang dan memperkenalkan All Star. Rekaannya ringkas sahaja. Tapak diperbuat dengan getah, dan fabrik kanvas digunakan untuk bahagian atas sampai ke betis. Jika tanya Encik Marquis sendiri, dia pun tidak sangka design yang ringkas ini mampu mengubah Amerika.

1921-1932 (Era permulaan sebuah lagenda)

converse all star

Ia bermula pada tahun 1921 bila seorang pemain bola keranjang datang bertemu dengannya dan mengadu sakit kaki. Sebagai seorang pemain bola keranjang, Charles ‘Chuck’ Taylor cadangkan supaya logo Converse ditampal pada bahagian dalam kasut untuk lindungi buku lali. Converse nampak cadangan itu cun lalu meraikan cadangan tersebut dengan logo Converse huruf C dan bintang diletakkan pada bahagian dalam kasut. Sebagai membalas budi pula, Chuck diberi peluang jadi ejen jurujual Converse dan jadi duta untuk memperkenalkan Converse ini kepada kawan-kawan bola keranjangnya. 

Tapi berkat kesungguhan Chuck mempromosi Converse, jenama kasut sukan itu makin popular dan menjadi pilihan pemain pemain bola keranjang ketika itu. Tuah ayam nampak di kaki, manakala tuah Chuck juga nampak di kaki apabila pada tahun 1932 Converse mengambil tandatangan ‘Chuck Taylor’ untuk ditambah pada logo Converse All Star sebagai menghargai jasa jasa Charles ‘Chuck’ Taylor. Dan Chuck terus mengabadikan keringatnya kepada syarikat ini sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1969.

1941 (Perang Dunia ke-2)

converse askar amerika 830

Tidak cukup dengan bola keranjang, mungkin kerana kualiti yang ada pada sepasang All Star, Converse diberi pula kontrak untuk membuat kelengkapan berasaskan getah seperti kasut untuk askar Amerika membuat latihan sempena Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.

Tak sangka juga, sebuah syarikat kasut sukan yang meraikan kedamaian diberi kontrak untuk membantu askar membunuh pula.

1950-1970 (Era kegemilangan)

converse limited edition

Setelah perang tamat, Converse pula menjajah pemikiran kanak kanak dan remaja Amerika dengan menerbitkan buku tahunan (Converse Year Book) dengan memaparkan pada kulit buku tersebut kanak-kanak dan remaja memakai kasut Converse All Star. Hasilnya, pada 1950an hingga 1960an Converse menjadi kegilaan remaja remaja sekolah dan kolej di Amerika terutamanya pelajar atlit. Sehinggakan 500 juta pasang kasut All Star telah terjual seterusnya menguasai 80% pasaran kasut berjalan. 

Dalam dunia bola keranjang pula Converse semakin memonopoli sukan tersebut. Pada tahun 1960, 90% pemain bola keranjang memilih Converse All Star sebagai kasut kesayangan mereka. Lebih lebih lagi, Converse menaja pula sebuah pasukan kulit hitam professional pertama Amerika, New York Renaisance. Sehinggakan Converse dinobatkan sebagai kasut rasmi Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA).

1970 an (Bermulanya era kejatuhan)

kasut bola keranjang converse

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Setelah Converse berasa lega memasang impian untuk menakluki Amerika Syarikat, muncul pula jenama jenama dari luar Amerika Syarikat seperti Adidas, Puma dan Onitsuka Tigers selain dari jenama tempatan seperti Nike yang mula memberi saingan kepada Converse.

Converse makin cemas apabila pemain pemain bola keranjang sudah mula meninggalkan Converse dan memilih jenama jenama baru yang lebih sporty dan moden rekaannya. Selepas itu, Converse tidak lagi mampu untuk menjadi pemain utama dalam industri ini. Lagi parah, gelaran "Kasut Rasmi NBA" telah dilucut daripada Converse.

Converse sedaya upaya mengikut arus semasa yang ada dengan meningkatkan design kasut bola keranjangnya, namun rezeki tetap tak menyebelahi syarikat yang suatu ketika dulu sangat hebat ini.

1980an (Meningalkan Bola Keranjang)

kasut converse

Selepas tidak lagi menjadi pemain utama industri bola keranjang, Converse mula merajuk dan menumpukan jualannya terhadap orang orang kebanyakan yang tidak bermain bola keranjang, tetapi pakai kasut Converse secara kasual. Terutamanya golongan remaja. Sama ada untuk pergi mengorat, pergi perpustakaan, pergi Astaka atau bermain snuker di Arked MARA.

Walaupun Converse punyai tempat dalam segelintir remaja, namun koleksi design yang terhad menyebabkan Converse juga tewas dalam pasaran tempatan. 

2000 (Matinya sebuah kebanggaan)

nike beli converse

Sejak masuk tahun 90an, ekonomi Amerika Syarikat makin merosot. Converse juga tak boleh lari daripada terkena kesannya. Hutang hutang makin bertambah. Lebih teruk lagi, kerana tingginya persaingan, permintaan terhadap kasut kasut buatan Converse menjadi semakin kurang. Converse makin jatuh dan jatuh. Tidak mampu melawan syarikat-syarikat lain. 

Kemuncaknya, pada tahun 2001 Converse diisyiharkan bankrap (muflis). Setelah itu, jenama Converse ini dibeli oleh sebuah syarikat bernama Footwear Acquisition.

Waktu ini adalah antara detik-detik sedih bagi peminat Converse dan rakyat Amerika kerana satu satunya jenama kebanggaan mereka yang masih setia dengan label "Made In USA" akhirnya diubah pembuatannya di negara yang lebih murah modalnya seperti Indonesia. Mungkin sebab itu satu satu pasang Converse made in USA harganya lebih mahal. Sesuai dengan nilai sentimentalnya.

Pada tahun 2003, sekali lagi Converse bertukar tangan. Nike telah membeli jenama Converse dan pelbagaikan produk mereka sepeti baju, seluar, topi, key chain dan sebagainya. Nike sekali lagi menaikkan semula jenama Converse ke seluruh dunia seperti hari ini. Tapi sekali kali ia masih tak mampu untuk melawan nilai yang ada pada sepasang Converse Made in USA.

Selamanya (Converse dan Rock and Roll)

sejarah converse

Jika anda seorang yang mengaku rock, anda patut tahu tentang kasut rasmi para rockers ini. Bukan sedikit budak-budak rock yang pakai Converse. Walaupun segelintir rockstar lebih memilih kasut Dr Martens atau Adidas sebagai kasut mereka, tetapi masih lagi tidak mampu melawan pengaruh Converse All Star.

Walaupun kasut ini nampak ringkas, ia sebenarnya tahan lama, fleksibel, dan paling penting kasut ini lebih murah harganya. Converse selalu dikaitkan dengan kumpulan muzik Grunge seperti Nirvana. Ini kerana, arwah Kurt Cobain selalu pakai kasut murah ini sehinggakan ketika dia mati pun, dia masih memakai sepasang kasut Converse All Star.

Selain Nirvana, ramai lagi rockers yang memilih Converse sebagai kasut rasmi mereka. Mungkin Converse tidak lagi diminati pemain bola keranjang, tetapi ia akan selamanya di hati peminat peminat rock!


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)