penghormatan untuk chin peng

"Kita perlu masukkan topik perjuangan komunis membantu kemerdekaan negara kita, kerana itu fakta sejarah. Pelajar-pelajar serta generasi muda berhak belajar sejarah secara holistik untuk mereka mampu membuat keputusan sendiri. Siapalah kita nak menafikan peluang untuk pelajar belajar dan pilih sendiri kebenaran mana yang mereka mahu pegang sebagai hujah?"

Begitulah kesimpulan yang penulis dapat apabila melihat rakaman langsung forum 'Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?' yang dianjurkan pada 29 Julai 2018 bertempat di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Bila anda baca hujah yang dipegang panel-panel, bunyinya kelihatan enak serta sedap didengar. Pada dasarnya hujah ini dilihat seakan mahu menegakkan perbincangan ilmu di kalangan orang ramai supaya kita semua boleh berfikir dan menilai sendiri secara terbuka.

Pro sejarah ilmiah atau pro komunis?

kesan serangan komunis

Walau demikian, kedangkalan hujah ini adalah bila barisan panel yang jelas berat sebelah, kerap kali menekankan kepentingan supaya pelajar diberikan pilihan untuk membuat keputusan sebagai satu insentif kita perlu letakkan sejarah perjuangan komunis menuntut kemerdekaan secara rasmi, dalam lipatan sejarah kita.

Penulis kurang jelas, pelajar mana dimaksudkan yang mewakilkan barisan panel untuk mewakili kelompok pelajar? Siapa pelajar itu? Benarkah ada permintaan daripada pelajar atau semua itu hanyalah hujah untuk panel melindungi agenda mereka?

Daripada hujah yang tampak mereka pegang rapat, sangat jelas gerakan pro-sejarah komunis ini kurang yakin pelajar negara kita ada kebolehan dan kemampuan sendiri untuk belajar atas daya usaha sendiri, tentang perspektif komunis dalam perjuangan kemerdekaan negara kita.

Apakah yang sedang diperjuangkan panel dalam forum 'Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?' - hak pelajar untuk belajar, hak pelajar untuk bebas belajar apa yang panel nak mereka pelajari atau hak panel untuk mengajar pelajar?

Forum tidak bersifat neutral

komunis berarak

Jika kita pandang daripada sudut ilmu akademik sejarah, perbincangan seperti itu sepatutnya dilakukan secara neutral, di mana dua atau lebih perspektif sejarah dibawakan panel-panel yang kurang dipengaruhi ideologi topik perbincangan, supaya orang dapat menilai tanpa berlaku sesi dialog berkiblatkan satu pandangan semata-mata.

Perbicangan ala-ala pseudo ilmiah, pseudo akademik seperti ini, kerap kali dilihat membawa agenda lain disebalik topeng perbincangan ilmu. Aktivis dilantik diangkat seolah seorang panel akademik berkelayakan yang membawa maklumat, tetapi tampak sekali hujah yang dibawa tidak berjaya membawa kepada perbincangan. Pekung sebenar pula sekiranya diteliti lebih kepada membawa cadangan dan idea; atau lebih keras - tekanan dan desakan.

Seorang pelajar yang berkemahiran tidak sepatutnya perlu disuapkan dalam membantu dia membuat congakan atau penilaian.

Seandainya dia pelajar yang baik dan boleh berfikir, tak perlu ada panel penganjuran forum untuk memberitahu dia ada sejarah kemerdekaan komunis yang perlu dibaca agar dia dapat buat penilaian kritis. Dia pasti akan cari rujukan kemudian dia akan membuat penilaian sendiri bila mindanya terdetik untuk mencari.

Bagaimana kita mahu pelajar berfikir sedangkan kita diperlukan untuk suruh dia berfikir?

Bahan-bahan rujukan pro-gerakan komunis walaupun kurang, tetap di jual secara terbuka di pasaran kecuali beberapa judul yang dianggap kontroversi. Apa yang penting bukanlah kita mengarahkan pelajar smembaca apa yang kita nak mereka baca, tetapi memperbanyakkan lagi bahan bacaan yang membawa mesej yang kita percaya - supaya mereka ada tarikan untuk membaca.

Sejarah ditulis oleh orang yang menang

chin peng komunis malaya

Ada pepatah menyebut - "sejarah ditulis oleh orang yang menang." Penulis bersetuju dengan pepatah itu kerana setiap manusia mempunyai perspektif yang berbeza-beza mengikut persepsi mereka. Menulis artikel sebegini pun akan mewujudkan pelbagai reaksi yang penulis pasti berbeza-beza.

Tetapi tanggapan aktivis-aktivis ni supaya kita boleh sama-sama berusaha mewujudkan utopia di mana pemerintah akan setuju untuk masukkan elemen yang tak kena dengan citarasa pemerintah dalam buku teks dan buku sejarah, adalah sesuatu yang agak menggelikan hati.

Ini kerana kita semua manusia. Takkan ada orang yang mampu bersifat neutral sebegitu rupa termasuklah penulis sendiri, aktivis pro komunis, anti komunis dan panel pro sejarah komunis, apakan lagi pemerintah.

Kita haruslah berpijak di bumi yang nyata apabila membincangkan sesuatu yang kita katakan ilmiah, takut-takut nanti kita dicop hanya pandai menimbulkan sensasi tanpa membawa sebarang perubahan positif kepada semua dalam masyarakat.

Memandaikan pelajar atau mengelirukan mereka?

forum perlukah kita menulis semula buku sejarah

Penulis memohon agar panel serta aktivis yang terlibat untuk berhenti berlindung di sebalik hujah nak memandaikan pelajar dengan fakta sejarah sebenar yang dipaparkan secara lebih holistik.

Biarlah masyarakat, khasnya pelajar menilai dan mencari sendiri ideologi serta corak pemikiran yang akan mereka bawa. Dalam sebuah negara seperti kita khasnya, perlu ada satu ideologi yang jelas untuk menggariskan semua orang agar kita berkongsi pandangan sehala dalam perkara-perkara kesatuan.

Penganjuran forum-forum seperti ini didokong aktivis yang jelas condong ke satu bahagian, sangat jelas tidak bertujuan untuk memandaikan pelajar tetapi lebih kepada cubaan menimbulkan idea kepada pelajar-pelajar agar elemen percambahan, percanggahan serta perawakan dimasukkan ke dalam pemikiran mereka.

Sekiranya kita rasa kita punya pemikiran yang benar, suarakan sajalah dalam bentuk tulisan atau dalam forum perbincangan, tetapi akuilah itu suara anda dan permintaan anda.

Usah diguna alasan nak memandaikan pelajar sebagai perisai anda, takut-takut pelajar yang ingin dipandaikan pun memandang barisan panel dengan kehairanan - tidak memahami siapa sebenarnya yang perlu dipandaikan?


tags : , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)