Oleh pada 29 Oct 2019 kategori

Sebut pasal 'manga', istilah ini sudah tidak asing lagi serta senang untuk difahami oleh banyak pihak masyarakat, di seluruh dunia.

Datang daripada istilah Jepun 'manga' yang membawa makna 'komik', penggunaan istilah itu juga digunakan sebagai satu kebiasaan sehingga kita sendiri tidak kekok untuk merujuknya dalam perbualan.

Bercakap pasal manga, pasti kita akan terbayang siri-siri manga yang popular dan menjadi sebutan ramai. Sejak bilakah budaya 'manga' ini bermula dan apakah signifikannya tradisi ini bagi masyarakat Jepun?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Asal-usul manga

asal usul sejarah komik majalah manga jepun

Penggunaan istilah manga pada awalnya digunakan bagi mewakili penerbitan-penerbitan karya kartun atau komik, termasuklah lukisan-lukisan berbentuk satira satu petak. Ini bermakna pada awalnya, manga bukan sekadar merujuk kepada buku komik tetapi turut sama merujuk kepada apa saja bentuk pengkaryaan berbentuk kartun yang dilakukan pelukis Jepun.

Lukisan-lukisan yang memaparkan latar belakang pemandangan disertakan sekali dengan watak berbentuk kartun dikatakan menjadi versi terawal manga Jepun, dimulakan sekitar abad ke 10. Daripada versi terawal itu, lukisan-lukisan yang memaparkan makhluk-makhluk ghaib serta haiwan mula menghiasai dinding-dinding kuil di Jepun menggunakan corak lukisan mirip dengan apa yang dapat kita lihat dalam manga moden.

Tradisi lukisan ini diteruskan sehingga beratus tahun lamanya, menjadi sangat popular pada abad ke 16 semasa zaman pemerintahan Edo di Jepun. Lukisan berformat satu petak memaparkan watak kartun mula dicetak dengan menggunakan sistem cetakan blok kayu di atas kertas untuk jualan. Pada ketika ini, masyarakat Jepun menamakan karya-karya yang terhasil sebagai 'ukiyo-e' atau 'lukisan yang memaparkan dunia terbuka.'

Ayah kepada manga moden

karya tradisional lukisan jepun

Proses pemodenan manga bermula pada zaman Edo melalui penerbitan bacaan popular masyarakat yang dijual, dinamakan sebagai 'kuzasoshi.' Kuzasoshi merupakan buku-buku fiksyen yang diterbitkan berdasarkan kepada genre tertentu; antaranya kisah seram, kisah lucu atau kisah satira.

Setiap satu genre kebiasaannya akan diberikan judul-judul berbeza mengikut kisahnya, namun wujud format yang ditetapkan bagi pemilihan warna kulitnya. Buku berwarna kuning dikhaskan kepada kisah seram (kibyoshi), merah untuk cerita kanak-kanak (akahon), buku dewasa berwarna biru (aahon) dan persembahan semula jalan cerita pementasan Kabuki Jepun diberikan warna hitam (kurohon).

Pada ketika inilah formula penghasilan komik Jepun benar-benar ditemui. Penerbitan pada zaman tersebut gemar cuba mengeluarkan penerbitan bergenre baru, dengan imej menjadi penggerak utama jalan cerita dan teks cuba dipaparkan dalam bentuk minima. Corak lukisan yang digunakan pengkarya zaman 'kazusoshi' banyak mempengaruhi artis-artis manga Jepun yang ada sekarang.

Setiap unit kazusoshi dicetak dengan menggunakan blok bongkah kayu, menghasilkan garisan dakwat yang yang tajam dan kemas mampu menghasilkan susun warna atur hitam putih yang dinamik. Sehingga kini formula sama dikekalkan bagi memastikan identiti manga Jepun kekal seperti sejak mulanya.

Percampuran identiti barat ke dalam manga

strok lukisan manga

Selepas bermulanya zaman pemerintahan Tokugawa di Jepun pada pertengahan abad ke 17, kerajaan Jepun memperkenalkan perintah yang dinamakan sebagai 'kaikin', sebuah polisi yang menghalang dan mengasingkan masyarakat Jepun daripada pengaruh-pengaruh negara luar dalam segala aspek termasuklah perdagangan dan hubungan diplomatik kecuali dengan beberapa negara tertentu.

Hanya pada tahun 1853, pada detik-detik akhir pemerintahan Tokugawa barulah peristiwa bakumatsu atau 'pengakhiran era' bermula, menamatkan polisi pengasingan yang dijalankan kerajaan. Serentak dengan penamatan ini, hubungan perdagangan dan diplomatik kembali dibuka membolehkan elemen-elemen masyarakat luar mula kembali masuk ke Jepun.

Berikutan pembangunan teknologi di barat, sistem percetakan lebih moden mula diperkenalkan di Jepun menggantikan sistem cetakan blok kayu. Teknik percetakan blog gangsa dan litografi mula digunakan penerbitan di Jepun bagi mencetak komik. Pengkarya juga mula menerima kemasukan komik barat yang banyak mengubah cara dan tradisi komik Jepun dipersembahkan.

Kerjasama antara pengkarya Jepun dan penerbitan barat berjaya menghasilkan majalah komik pertama Jepun, diberi judul 'The Japan Punch.' Sebuah lagi majalah komik berjudul Eshinbun Nipponchi diterbitkan pada tahun 1874 dan pada tahun 1887, kerjasama pengkarya Jepun dengan penerbitan Perancis melahirkan majalah 'Tobae.'

Kesemua majalah yang terbit pada zaman ini mula menampakkan elemen artistik barat dalam penghasilan karya, walaupun latar belakang penceritaannya masih lagi condong ke arah kisah-kisah kemasyarakatan masyarakat Jepun.

Osamu Tezuka - bapa manga moden dunia

osamu tezuka astro boy

Semasa era perang dunia kedua, pengkarya di Jepun berdepan kesukaran akibat daripada pelbagai bentuk kekangan dalam berkarya - khasnya melibatkan isu-isu satira politik yang sebelum itu kerap kali dijadikan topik utama penerbitan mereka. Berikutan kekangan yang ada, penerbitan manga menjadi sangat perlahan walaupun ada usaha untuk menerbitkan majalah komik bagi memastikan tradisi manga kekal terjaga.

Pada tahun 1945, hanya ada sebuah saja penerbitan komik bernama 'The New Cartooning Association' kekal aktif di Jepun, dengan penerbitan mereka yang diberikan judul ringkas 'Manga.' Dua tahun berikutnya pada tahun 1947, seorang pemuda berusia 19 tahun bernama Osamu Tezuka mengeluarkan siri komik berjudul ' Shintakarajima' atau 'Pulau Harta Karun Terbaru.'

Membesar dengan dipengaruhi karyawan barat seperti Walt Disney dan Max Fleischer, Tezuka mula melukis sejak usia muda dan mempelajari bagaimana mahu mengadunkan apa yang baik dalam usaha-usaha barat yang lebih sinematik - kepada manga tradisional Jepun yang lebih statik rekaannya.

'Shintakarajima' memperkenalkan kepada pembaca Jepun pelbagai perubahan baru, dengan unsur-unsur rekaan susun atur yang lebih mirip filem menjadi penanda aras baru pengkaryaan komik Jepun. Sekiranya anda bingung kenapa manga Jepun mampu menggunakan banyak muka surat hanya untuk satu aksi semata-mata; di sinilah bermulanya tradisi itu.

Tezuka memperkenalkan kepada pengkarya Jepun cara baru penghasilan manga yang lebih dinamik dan bertenaga, dengan penggunaan pemetakan mirip bagaimana kamera melihat adegan yang berlangsung. Kesan khas serta penggunaan susun atur pelbagai sudut memberikan perspektif berbeza, mula menggantikan format tradisional Jepun yang pada ketika itu masih kekal dengan format empat petak satu muka.

Pada tahun 1952, Osamu Tezuka memulakan siri baru dinamakan sebagai 'Astro Boy' yang akhirnya dianggap sebagai salah satu karya yang benar-benar memberikan impak besar pada dunia dan sejak itu, tradisi manga mula terkenal sehinggakan barat yang sebelum itu ditiru - mula menjadikan komik Jepun sebagai acuan mereka pula.




Hakcipta iluminasi.com (2017)