Saya tahu pada ketika ini, mengutuk Fattah Amin adalah sesuatu yang ramai lakukan. Apatah lagi beberapa hari lagi, akan berlangsungnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 dan Fattah Amin adalah antara artis paling banyak pencalonan.

Jika kita fikirkan sebetulnya dengan hati yang ikhlas nak berfikir tanpa berat sebelah, Fattah Amin bukan masalah sebenarnya. Apabila kita buka Facebook, setiap hari kita boleh nampak kawan-kawan kita kongsikan pelbagai kisah. Apa yang anda selalu nampak kawan-kawan anda kongsikan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah anda nampak sebuah portal kongsikan kisah "suami tangkap isteri curang dengan kawan baik" yang membuatkan anda tertarik untuk baca sampai habis?

Selesai membaca, anda layari lagi Facebook ternampak berita "lelaki menyamar jadi perempuan untuk tangkap gambar wanita tengah tukar baju di Mid Valley." Anda rasa anda perlu baca, jadi anda pun baca.

Habis baca artikel itu, nampak pula ada perkongsian di laman portal itu yang tajuknya "lelaki Melayu ini tunjuk kekayaan sebenar selepas dikecewakan teman wanita yang mata duitan." Anda buka baca dan anda seronok tengok teman wanita dia dikenakan.

Kemudian, selepas 3 artikel berat, anda rasa mahu baca benda ilmiah. Anda pun jumpa perkongsian artikel rakan anda - "Kajian membuktikan mereka yang mejanya bersepah lebih kreatif."

Anda pun buka baca, tanpa menyemak dari mana datangnya bukti kajian itu atau hanya sekadar satu kesimpulan yang dibuat oleh jurnalis.

Adakah ini tabiat kita dalam internet?

iluminasi fattah amin neelofa qalifmoden artis popular2

Bolehkah saya katakan, secara majoriti kita sendiri sebagai satu masyarakat pun suka baca benda mengarut dalam tabiat seharian kita? Oleh kerana kita suka, jadi banyaklah pihak yang gemar mengambil peluang untuk menghidangkan artikel-artikel sebegitu kepada kita, kerana permintaannya bukan sekadar ada, malah banyak.

Jika kita cuba senaraikan kebanyakan portal popular di kalangan rakyat kita, kebanyakannya lebih kepada memaparkan kandungan berbentuk hiburan ringan.

Mengapa tidak ramai yang mempersoalkan kandungan dan isi yang dipaparkan dalam portal atau laman web sebegitu? Jika ada yang mempersoalkan pun, besar kemungkinan kerana puncanya dari kes curi artikel atau status Facebook orang lain tanpa kebenaran tuan punya badan.

Kita mampu terhibur membaca apa saja yang mereka kongsikan, waima video orang bergaduh kerana kes potong queue traffic jam sekalipun atau video gadis sekolah bergaduh berebut teman lelaki, semuanya mampu kita habiskan masa kita menonton atau membacanya.

Jika difikirkan, apa yang kita perolehi?

Apa faedah yang kita dapat melihat orang lain terbuka aibnya, orang lain diperburukkan atau bersorak kegembiraan kita melihat orang lain bergaduh dalam internet?

Rasanya, kita semua sedari yang itu semua pengisian masa tanpa faedah tetapi tidak banyak suara kedengaran membantahnya. Takkanlah kita perlu anugerah pada mereka ini baru kita hendak nampak yang isi kandungan sesetengah pihak ini sepatutnya dipersoalkan?

iluminasi fattah amin neelofa qalifmoden artis popular3

Tidak mengapa sebenarnya hendak 'buang masa' dengan membaca artikel-artikel karut tanpa manfaat ini, tetapi jangan lah sampai kita hanya menjadikan itu sahaja bahan bacaan kita. Seeloknya kita kurangkan membaca benda tidak berfaedah serta mengurangkan masa kita menonton video-video viral yang selalunya lebih banyak menimbulkan isu buruk berbanding positif.

Sebagai satu masyarakat, menyalahkan Fattah Amin adalah tindakan mudah dan senang yang boleh kita ambil, untuk mengelakkan kita mendepani masalah kita yang sebenar: adakah benar kita meluangkan masa kita membaca bahan-bahan yang berfaedah di internet atau sebenarnya, kita hanya akan mempersoalkan sesuatu selagi apa yang kita suka tidak terganggu?Yang lebih penting, adakah apa yang kita baca hari-hari itu, sebenarnya kurang faedahnya berbanding apa yang 'ditulis' Fattah Amin dalam buku popularnya?

Anda saja tahu, jadi nilaikanlah sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)