jurutera kertas buku pop up kartun illustrasi

Bestpopupbooks merupakan sebuah laman web yang mengarkibkan serta mengulas penerbitan-penerbitan satu genre buku yang lebih dikenali sebagai buku pop-up.

Buku pop-up adalah satu bentuk penerbitan yang boleh dikata sangat kreatif kerana untuk menerbitkan satu buku pop-up memerlukan rekaan dan kreativiti yang sangat tinggi. Buku pop-up walaupun harganya agak mahal kerana rekaan dan penerbitannya memerlukan banyak kerja tangan secara manual oleh orang yang mahir, namun berbaloi semua usaha jika karya yang terhasil mampu membuat pembaca, khasnya kanak-kanak teruja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 buku pop-up terbaik yang pernah dibincangkan melalui laman web Bestpopupbooks setakat ini. Jom kita cuci mata.

5. FROZEN : A POP UP ADVENTURE

Buku bertemakan filem animasi popular, Frozen ini mempunyai 20 muka surat yang mempunyai pop-up mengkagumkan yang diambil daripada filem tersebut direka oleh seorang Jurutera Kertas dan artis bernama Matthew Reinhart. Kejuruteraan kertas yang digunakan menghasilkan objek 3 dimensi yang apabila dilipat, menghasilkan lipatan yang kemas dan apabila dibuka, mempunyai visual yang cukup kompleks.

4. DISNEY PRINCESS : A MAGICAL POP UP WORLD

Dari rekaan luarnya yang cantik, menampilkan hampir kesemua puter-puteri Disney yang popular menerusi kartun animasi masing-masing, buku ini juga adalah ciptaan jurutera kertas Matthew Reinhart. Mempunyai 25 adegan pop up dalam keseluruhan buku, rekaan yang terhasil seolah hidup dengan perubahan Cinderella daripada gadis comot kepada Puteri jelita sebagai salah satu adegan terbaik buku ini. Tak lupa juga menara Repunzel yang apabila dibuka, tingginya betul-betul akan mengejutkan kita.

3. THE WALKING DEAD - A POP UP BOOK

Jika anda salah seorang peminat siri Walking Dead atau peminat buku pop-up yang lebih suka kepada elemen seram, buku ini khas untuk anda. Memaparkan ilustrasi menakutkan seperti yang terkandung dalam siri televisyen popular itu, buku ini adalah antara buku terbesar dalam koleksi Bestpopupbooks. Mempunyai banyak elemen kompleks hasil rekaan dua orang jurutera kertas bernama Becca Zerkin dan David Hawcock serta ilustrasi cantik (!!) oleh Sally Elizabeth Jackson, peminat genre seram perlu memiliki koleksi ini kerana persembahannya cukup menakutkan.

2. TRANSFORMERS - THE ULTIMATE POP UP UNIVERSE

Walaupun filem Transformers The Last Knight merupakan sebuah filem yang cukup mengecewakan, buku ini merupakan karya yang perlu dimiliki oleh semua peminat Transformers. Dengan lebih 35 adegan pop-up menampilkan watak-watak utama Transformers serta kualiti ilustrasi yang cukup halus, koleksi ini patut menjadi kebanggaan seorang pengumpul susah mati Transformers.

1. ALICE ADVENTURES IN WONDERLAND

Apa yang membuatkan buku ini dianggap sebagai buku terbaik bagi genre pop up ini, adalah kerana buku ini adalah sebuah buku cerita yang mengilustrasikan semula kisah klasik Alice in Wonderland dalam bentuk yang lebih segar. Kita sendiri sebagai pembaca dapat melihat betapa luasnya dunia yang Alice terokai dalam pengembaraannya. Ilustrasi dan kejuruteraan buku ini dihasilkan oleh seorang artis jurutera bernama Robert Sabuda dan dia mengekalkan penggunaan visual yang mirip dengan ilustrasi lama lukisan John Tenniel, yang terkenal sebagai illustrator pertama kisah tulisan Lewis Carroll ini.

RUJUKAN

Bestpopupbooks




Hakcipta iluminasi.com (2017)