Oleh pada 30 Jul 2018 kategori

komunisme vs sosialisme vs kapitalisme apa kaitan dan perbezaannya

Anda pasti pernah mendengar tentang fahaman atau ideologi komunisme, sosialisme dan kapitalisme, namun apakah maksudnya yang sebenar? Apakah yang membuatkan sesebuah negara itu menjadi komunis atau sosialis? Dan apakah kaitan antara kedua-dua ideologi ini? Teruskan membaca untuk memahami sedikit sebanyak tentang fahaman-fahaman ini. 

Komunisme vs. Sosialisme Dan Kaitannya

perbezaan komunisme dan socialisme 714

Mungkin ini suatu yang mengejutkan, namun dalam sejarah dunia moden, tidak pernah wujud walau sebuah pun negara komunis. Walaupun beberapa negara menggelar mereka adalah komunis, seperti China dan Korea Utara, namun dari segi definisi, tidak pernah ada sebuah negara komunis yang sebenar. Jadi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan komunisme, dan bagaimana ianya berkait rapat dengan sosialisme?

Mungkin lebih mudah untuk memahami melalui penerangan persamaan keduanya. Kedua-dua ideologi ini mempunyai motif yang sama, iaitu keinginan untuk mengehadkan eksploitasi pekerja, dan mengurangkan atau menghapuskan pengaruh kelas ekonomi dalam masyarakat.

Terdapat banyak variasi antara komunisme dan sosialisme, berdasarkan perbezaan dari segi kedua-dua ideologi ini dilaksanakan di negara yang berbeza. Antara contoh variasi adalah Stalinisme, Leninisme, Trotskyisme, Maoisme, dan beberapa lagi yang pada asasnya kesemuanya merupakan versi Marxisme, yang masing-masing dipengaruhi oleh gaya revolusi masing-masing.  

Karl Marx Cuba Memperbetulkan Ketidaksamarataan Kapitalisme

karl marx ahli falsafah jerman

Karl Marx adalah seorang ahli ekonomi dan ahli falsafah yang bertanggungjawab menulis bersama manifesto komunis, termasuklah beberapa buku asas tentang komunisme. Secara ringkas, teori beliau berkisar tentang idea di mana pada ketika Eropah beralih daripada sistem monarki berpusat kepada ekonomi kapitalis kuasi-demokratik, para pekerja telah dilihat dieksploitasi oleh mereka yang memiliki atau mengawal sesuatu pengeluaran (pemilik perniagaan). 

Pemilik kilang atau ladang selalunya akan mendapat hasil keuntungan yang lebih berbanding para pekerjanya yang lebih bekerja keras, dan keadaan ini mewujudkan ketidaksamarataan, menurut pandangan Marx. Ini memberikan pemilik tersebut, yang Marx gelarkan sebagai Bourgeoisie, lebih penguasaan ke atas pekerjanya yang dipanggil sebagai Proletariat. 

Dalam Marxism, bagi memperbetulkan ketidaksamarataan ini, masyarakat mesti beralih ke arah sebuah model, di mana Proletariat yang sebaliknya mempunyai kuasa, dengan secara kolektif mengawal pengeluaran. Pada saat inilah sosialisme dan komunisme mempunyai peranannya. Menurut Marx, sosialisme adalah pencetus kepada komunisme, dan langkah logik seterusnya selepas kapitalisme. 

Komunisme vs. Sosialisme vs. Kapitalisme

fahami kapitalisme

Dalam sosialisme, sesebuah kerajaan demokratik akan mengawal pengeluaran sesuatu produk, dan bukannya syarikat swasta. Berbanding bersaing antara satu sama lain seperti di dalam masyarakat kapitalis, sosialisme mempunyai para pekerja yang akan menyumbang sebanyak mungkin untuk kebaikan bersama, dan mereka akan berkongsi secara sama rata akan hasilnya. 

Variasi kepada idea ini sudah menjadi sangat popular dalam masyarakat kapitalis dalam bentuk sistem kesihatan, atau servis sosial seperti jabatan bomba dan sekolah yang menerima dana daripada sistem percukaian. Sementara penggunaan servis ini adalah tidak sama rata, setiap orang mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menyumbang kepadanya, bergantung kepada kemampuan dari segi pendapatan. Inilah yang dipanggil sosialisme. 

fahami sosialisme

Apabila sesebuah kerajaan mengawal segala bentuk pengeluaran, ianya dipanggil sebagai pemilikan penuh. Bukan dari segi pengeluaran sahaja, namun segala aspek masyarakat dan ekonomi, termasuklah pemilikan peribadi. Niat untuk menghapuskan pemilikan peribadi adalah berutujuan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang tidak berkelas, yakni sama rata dari segala segi, di mana semua orang akan bekerja ke arah matlamat yang sama untuk menjadi sihat, bahagia dan bebas. 

Setiap orang akan menyumbang mengikut kemampuan mereka, dan mengambil hasilnya sekadar memenuhi keperluan. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, negara komunis tidak pernah wujud. Setiap negara yang 'digelar' sebagai komunis sebenarnya adalah negara sosialis, dengan kerajaan mengawal pekerjaan dan ekonomi pada tahap tertentu. Soviet Union yang dahulunya sangat dikenali sebagai sebuah negara komunis pun sebenarnya adalah sosialis, dengan nama Union of Soviet Socialist Republics (USSR). 

Kesimpulan

kapitalisme sosialisme komunisme

Secara ringkas, sosialisme dan komunisme bukanlah berbeza kesemuanya, masih ada persamaan antara keduanya. Sebaliknya, banyak sekolah ekonomi menganggap sosialisme sebagai pencetus kepada komunisme apabila kerajaannya mempunyai kuasa ke atas masyarakat dan ekonomi. Namun penguasaan penuh ini menjadi sebab utama negara-negara sosialis bergelut untuk mencapai masyarakat dan ekonomi yang ideal. 

Gejala rasuah menjadi berleluasa di negara-negara seperti USSR, Venezuela, Vietnam dan Korea Utara, sebahagian besarnya berpunca daripada salah guna kuasa oleh pemimpin atasan, yang sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk membantu masyarakat yang mereka sendiri kawal. Apabila gagal, mereka juga enggan melepaskan kuasa tersebut kepada rakyat. 

Namun begitu, ideal sosialis telah dilihat berjaya mencapai kejayaan apabila ianya digabungkan dengan kapitalisme, seperti yang dipraktikkan oleh negara-negara seperti Sweden dan Kanada. Ketamakan dan gila kuasa yang berpunca daripada manusia sendiri sebenarnya menjadi sebab mengapa dunia tidak pernah menyaksikan walaupun sebuah negara yang benar-benar komunis. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. differencebetween.net
  2. huffingtonpost.com
  3. diffen.com

tags : , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)