Pada 26 haribulan Mei ini Pesta Buku Serigala kembali lagi dengan gimik jualan bufet buku sekotak RM70 dan RM100. Saya tukarkan nama sebenar kepada Pesta Buku Serigala kerana ini bukan untuk tujuan promosi, cuma berkongsi sedikit pandangan. Saya namakan pesta buku Serigala sebagai PBS.

Saya memang suka ke PBS. Agak mudah dapat buku murah khasnya novel yang saya gemari di situ tetapi ada sesuatu yang selalu mengganggu saya bila saya ke situ.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Saya memang boleh nampak PBS adalah satu acara yang penyertaannya melibatkan semua kelompok golongan. Dibandingkan dengan Pesta Buku Antarabangsa KL (PBAKL) yang baru saja tamat, nampak dominan pengunjung berbangsa Melayu di PBAKL.

"Adakah PBS lebih mencerminkan suasana Malaysia berbanding PBAKL?" fikir saya setiap kali. "Kenapa PBAKL tidak dapat sambutan dari pelbagai kaum?"

PBS adalah pesta buku yang majoritinya buku overstock penerbit antarabangsa yang dicetak melebihi permintaan. Buku-buku yang anda beli di PBS adalah lambakan stok berlebihan, oleh sebab itulah buku di situ mampu dijual pada harga tidak masuk akal.

iluminasi budaya membaca2

Sementara itu, majoriti buku di PBAKL pula walaupun nama rasminya terkandung perkataan "antarabangsa" sebenarnya lebih ke arah pasaran lokal dari penerbit tempatan berbahasa Melayu. Satu masa dulu memang banyak penerbit luar negara menyertai PBAKL tetapi akibat kesan kekurangan jualan serta respon pelanggan kita yang kurang membeli, penerbit luar akhirnya boleh dikatakan pupus dalam aturcara PBAKL.

Walau bagaimanapun, itu bukan isu yang saya ingin hujahkan.

Saya cuma risau melihat seolah wujud sempadan perbezaan bahasa yang agak ketara di situ. Maksud saya, pengunjung PBS kelihatan lebih harmoni dari segi komposisi kaum kerana penjualannya lebih fokus kepada penjualan buku berbahasa Inggeris.

PBAKL pula lebih fokus kepada pasaran untuk orang Melayu, apatah lagi kerap dibuat di bangunan PWTC. Persoalan saya setiap kali adalah - mengapa kurangnya minat orang bukan Melayu dalam membeli naskah terbitan Bahasa Malaysia?

Jika anda penggemar buku, adakah PBS sebenarnya mencerminkan keseimbangan kaum yang lebih bersifat neutral? Adakah PBS lebih bersifat "Malaysia" berbanding PBAKL yang didominasi penerbitan Melayu?

Sebagai pelanggan, apa pula pandangan anda jika pihak yang bermotifkan perniagaan dan keuntungan seperti PBS dibenarkan menyertai PBAKL? Adakah itu sesuatu yang perlu dipandang sisi positif atau negatif?

Bercakap dari perspektif sebagai seorang pengguna, pasti amat berbeza penerimaan kita bila kita mampu beli sekotak buku pada harga RM70 sedangkan di PBAKL kebanyakan penerbit perlu menjual buku pada kadar 3 buah dengan harga RM50.

iluminasi budaya membaca3

Dari perspektif penerbit pula, mampukah peniaga dan penerbit buku kita yang menggunakan medium Bahasa Malaysia bersaing dengan penerbitan luar dalam pasaran yang lebih terbuka atau penerbit tempatan masih lagi perlu PBAKL dikekalkan dalam format sedia ada untuk membantu mereka dari segi jualan dan penghasilan karya?

Ini soalan besar saya kali ini; perlukah satu acara yang lebih mirip kepada gabungan 'PBAKL + PBS' diwujudkan untuk menggantikan format PBAKL sedia ada dalam membantu menggalakkan penyertaan semua kaum ke PBAKL serta menambah minat masyarakat untuk membaca?

Akhir sekali, bagaimana pula jika ada pihak lain yang merasakan PBAKL patut terus kekal dengan agenda sedia ada? Terus membantu mengangkat penerbitan dan karya orang Melayu, kerana tanpa usaha membantu memasarkan karya-karya tempatan, memang amat mudah karya orang tempatan kita ditelan arus globalisasi bahan bacaan.

Perlukah PBAKL terus kekal fokus mempromosikan karya Bahasa Malaysia kerana bahasa rasmi negara kita Bahasa Malaysia? Tepuk dada, tanya poket.




Hakcipta iluminasi.com (2017)