dora milaje dahomey amazon 885

Sekiranya anda pernah menonton filem Black Pamther keluaran Marvel tahun 2018, anda pastinya teruja dengan lakonan Chadwick Boseman dan Michael B Jordan yang mendapat pujian tinggi untuk peranan mereka dalam tersebut. 

Namun, pujian juga seharusnya diberikan kepada watak Dora Milaje, anggota unit pasukan khas kerajaan Wakanda yang hanya dianggotai pahlawan wanita. Mungkin ramai yang tidak tahu, inspirasi di sebalik watak pahlawan wanita ini sebenarnya datang daripada sejarah sebenar di Afrika Barat satu ketika dahulu.

Dahomey Amazon atau dikenali sebagai Mino (bermaksud "Emak kami" dalam bahasa bangsa Fon) merupakan sebuah unit ketenteraan yang dianggotai oleh wanita yang berperanan sebagai benteng pertahanan bagi Republik Benin yang pada waktu itu dikenal sebagai Kerajaan Dahomey.

Kerajaan ini sebagian besar terdiri dari orang-orang Fon dan wilayah pemerintahannya diapit oleh Togo di kiri dan Nigeria di sebelah kanan. Istilah 'Amazon' berasal dari pemerhati Barat kerana persamaannya dengan watak Amazon dalam mitologi Yunani.

Sejarah Dahomey Amazon

pahlawan benin

Dari abad ke-17 hingga 1904, Kerajaan Dahomey yang terletak di Afrika Barat memerintah wilayah luas yang sekarang dikenali sebagai Republik Benin.

Kerajaan ini mempunyai ekonomi yang sibuk yang dibangun berdasarkan kemenangan dalam perang, perhambaan dan perdagangan antarabangsa dengan orang Eropah. Ia juga diatur di sekitar sistem pemerintahan monarki berpusat, mempunyai sistem percukaian yang kompleks dan pasukan tentera yang besar.

Apabila penjajah Perancis cuba mengambil alih Kerajaan Dahomey di Afrika Barat pada akhir abad ke-19, mereka mendapat tentangan sengit dari Dahomey Amazons, pasukan yang terdiri daripada ribuan pejuang wanita yang berani dan tidak takut kepada pasukan penjajah ini.

Walaupun mereka berkahwin secara strategik dengan Raja mereka, wanita dari kumpulan Dahomey Amazon mengabdikan hidup mereka untuk bertempur dan berjanji tidak akan melahirkan anak. Di antara mereka adalah penembak dengan senapang dan pembunuh yang menyiat tubuh musuh mereka dengan pisau.

Mengapa wanita menjadi pillihan?

dahomey amazon

Seorang sarjana yang mengkaji mengenai kumpulan ini menemui asal-usul pahlawan elit sejak awal kerajaan Dahomey ketika Raja ketika itu merekrut pengawal dari isteri "kelas ketiga" atau wanita yang dianggapnya terlalu tidak menarik untuk menjalankan tugas rumah tangga.

Pengawal wanita ini mempunyai kelebihan berbanding tentera lelaki. Oleh karena mereka berkahwin dengan Raja, kesetiaan mereka dijamin. Mereka juga dapat meronda di kawasan perkarangan istana pada waktu malam ketika lelaki mengikut undang-undang tradisional dilarang masuk.

Dahomey Amazon tidak diizinkan memiliki anak atau mengambil bahagian dalam kehidupan berkeluarga apa pun, kerana mereka secara rasmi adalah milik Raja. Para wanita ini menikmati keistimewaan tertentu seperti stok tembakau dan alkohol yang banyak dan boleh tinggal di istana Raja setelah gelap, satu perkara yang tidak boleh dilakukan oleh lelaki.

mino 364

Wanita Dahomey Amazon merupakan satu kebanggaan pemerintah dan berjaya memungkinkan pengembangan empayar Dahomey di luar ibu kotanya Abomey. Mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh dan sering berlatih dengan bertempur antara satu sama lain. Disiplin sangat dititikberatkan ketika mereka mempelajari kemahiran bertahan.

Walaupun mereka dianggap sebagai pelindung bagi rakyat mereka sendiri, kehadiran mereka cukup menggerunkan bagi orang-orang Eropah. Wanita yang menganggotai Dahomey tidak secara automatik diterima masuk hanya dengan mengahwini Raja. Mereka juga harus lulus beberapa ujian yang menguji keberanian dan kecekalan mereka. 

Sebilangan besar rekrut tidak pernah membunuh sebelum menyertai tentera, jadi antara ujian yang perlu dilakukan adalah dikehendaki membunuh tahanan perang bagi membuktikan mereka benar-benar berani membunuh musuh. Ada yang diarah mencampak tahanan dari tebing tinggi dan ada yang diarahkan membunuh tahanan dengan pisau.

Pembubaran Dahomey Amazon 

pahlawan wanita dahomey amazon

Pada tahun 1862, Commodore Arthur Eardley Wilmot menyatakan bahawa jumlah populasi wanita melebihi bilangan lelaki di Dahomey. Hal ini mungkin disebabkan kerana perang yang berterusan atau perdagangan hamba. Pada masa yang sama, bilangan Dahomey Amazon meningkat sebanyak 10 kali ganda. 

Menjelang abad ke-19, mereka telah berkembang dari 600 pasukan wanita menjadi sekitar 6000. Dahomey Amazon secara rasminya terbubar apabila Raja BĂ©hanzin, Raja terakhir Dahomey telah digulingkan oleh Perancis dalam Perang Franco-Dahomean Kedua. Kerajaan Dahomey tewas kepada tentera Perancis yang lebih lengkap dengan senjata senapang.

Dalam satu pertempuran sengit dengan Perancis, lebih daripada 400 Dahomey Amazon mempertahankan negara mereka, tetapi hanya 17 yang terselamat. Walaupun setelah Dahomey jatuh tangan ke Perancis, pahlawan Dahomey terus bertempur. Mereka bersembunyi di antara wanita yang ditangkap oleh Perancis dan mengelar pegawai Perancis pada waktu malam.

Orang Perancis begitu takut terhadap pahlawan Dahomey Amazon sehingga mereka bertindak membubarkan unit mereka dan memutuskan bahawa wanita yang pernah menjadi pahlawan Dahomey Amazon tidak boleh  berkhidmat dalam tentera atau membawa senjata.

Namun begitu, Dahomey Amazon tidak lenyap sepenuhnya. Pahlawan Dahomey Amazon yang terakhir terus hidup sehinggalah kematiannya pada tahun 1979. Keberanian pahlawan Dahomey ini sememangnya diakui orang Barat dan turut dipaparkan dalam filem Black Panther melalui  Dora Milaje, tentera elit pahlawan wanita yang melindungi Raja negara mereka yang dikenali sebagai Wakanda.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. BBC News
  3. Smithsonian Magazine


Hakcipta iluminasi.com (2017)