Oleh pada 24 Feb 2018 kategori

Sumber foto: mStar Online

Laporan Indeks Pasport 2018 yang dikeluarkan oleh firma perundingan kewangan global, Arton Capital yang berpusat di Montreal, Kanada me­nunjukkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berada pada kedudukan keenam paling berkuasa di dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memberitahu, Indeks Pasport itu adalah rujukan tentang keseluruhan pasport yang diberikan penarafan berdasarkan jumlah negara boleh dikunjungi dan dilawati bagi rakyat sesebuah negara tanpa visa atau memerlukannya sebaik sahaja tiba di negara terbabit berdasarkan peraturan visa yang berkuatkuasa.

“Pengiktirafan ini adalah sesuatu yang dijangka memandangkan pasport Malaysia memenuhi garis panduan ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan boleh digunakan di 157 negara tanpa visa,” ujarnya menerusi sebuah kenyataan di Putrajaya semalam. 

Tambah beliau, sejarah menunjukkan pasport Malaysia adalah pasport pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri keselamatan biometrik menggunakan cip sejak tahun 1998.

Selain itu, ciri-ciri pasport negara terus ditambahbaik dengan ciri keselamatan tambahan untuk memenuhi piawaian Document 9303 ICAO pada tahun 2013 dan lokasi cip dimasukkan ke dalam halaman muka surat biodata pada tahun 2016.

“Terkini PMA versi baharu ditambahbaik dengan mempunyai 50 ciri keselamatan tambahan dan rekabentuk yang lebih unik dengan memaparkan mercu tanda negara Malaysia serta flora dan fauna tempatan dengan menerapkan falsafah 5 prinsip rukun negara,” ujarnya.

Jelas beliau, antara ciri-ciri keselamatan tambahan itu telah menambah kebolehpercayaan rakyat dan pihak berkuasa luar bagi mengukuhkan penggunaan pasport Malaysia di luar negara.

“Selain daripada ciri-ciri keselamatan, permohonan pembaharuan PMA boleh dibuat secara dalam talian dan perkhidmatan pasport juga bertaraf dunia di mana pasport disiapkan dalam tempoh satu jam selepas bayaran, mendahului negara-negara maju di dunia,” ujarnya.

Sumber berita: Kosmo Online & Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)