pasport pelik weird

Pasport merupakan kunci kepada pintu yang membolehkan seseorang mengembara ke seluruh dunia (tertakluk kepada kuasa pasport kewarganegaraan seseorang). Walau bagaimanapun, tahukah anda, evolusi pasport bukanlah sesuatu yang mudah?

Pasport yang kita kenali pada hari ini sebenarnya agak baru diperkenalkan. Walaupun sejarah awal dokumen pengenalan diri mirip pasport telah dapat dikesan sejak Tahun 450 Sebelum Masihi dan Raja Henry Kelima yang mula menghasilkan dokumen perjalanan kepada rakyatnya pada kurun ke-15, reka bentuk standard buku pasport bersaiz sebesar tapak tangan kini hanya bermula pada awal abad ke-20.

Kami kongsikan beberapa fakta menarik mengenai pasport:

1. Pasport Mumia

pasport mumia ramesses kedua firaun

Semasa zaman Mesir Purba, tiada rekod yang diketahui atau ditemui berkaitan sebarang dokumen perjalanan. Namun begitu, pada tahun 1974, mumia Ramses Kedua (yang telah mati pada tahun 1213 Sebelum Masihi) terpaksa diterbangkan ke Paris untuk kerja-kerja pemulihan. Mumia itu diberikan sebuah pasport Mesir yang sah termasuklah sekeping gambar pasport yang memaparkan wajah firaun yang diawetkan itu. Pekerjaannya disenaraikan sebagai "Raja (mangkat)."

2. Pasport Diraja

pasport diraja british

Sekiranya pasport telah diperkenalkan pada zaman Ramses Kedua, dia mungkin tidak memerlukan sebarang dokumen perjalanan. Ini disebabkan kebanyakan Raja dan Permaisuri yang masih hidup tidak memerlukan pasport. Laman web rasmi Keluarga Diraja British menjelaskan yang "setiap pasport British dikeluarkan atas nama Baginda Tuanku Permaisuri, maka Ratu Elizabeth tidak perlu memilikinya."

maharaja jepun tidak memerlukan pasport untuk pergi ke negara lain

Begitu juga di Jepun, kerajaan memutuskan bahawa ia adalah "tidak sesuai" untuk mengeluarkan pasport negara tersebut kepada Maharaja Jepun. Ini disebabkan ia mempunyai cop mohor diraja dengan lambang bunga kekwa yang dipanggil "kikumon" dan mengandungi klausa berbunyi "menteri luar negeri memohon supaya pemegang pasport ini dibiarkan berjalan tanpa kesulitan." Adapun begitu, apabila Maharaja Akihito turun takhta pada bulan April 2019, beliau akhirnya akan mempunyai pasport antarabangsa seperti keluarga diraja yang lain.

3. Pasport Penerbangan Falcon

Walaupun persempadanan negara sering dikaitkan dengan manusia, mumia dari zaman purba bukanlah satu-satunya entiti ganjil yang memerlukan pasport. Nama burung peregrine falcon mungkin membawa makna "pengembara" namun di Emiriah Arab Bersatu (UAE), burung spesies ini tidak boleh mengembara dan terbang terlalu jauh tanpa pasport.

Burung falko, khususnya dari keluarga saker dan peregrine falcons mempunyai nilai yang amat tinggi di UAE di mana aktiviti membela dan memburu menggunakan burung ini merupakan salah satu sukan tradisi yang menjadi kebanggaan masyarakat Badwi di sana.

pasport burung falko falkon uae

Malangnya, disebabkan status dan nilai berharga burung-burung ini, ia terdedah kepada aktiviti penyeludupan haram. Disebabkan itu, setiap burung falko di negara ini memiliki pasport hijau UAE untuk mengelilingi dunia dan menghadiri festival atau pertandingan burung falko. Setiap pasport mempunyai nombor pengenalan unik yang sama dengan nombor yang terukir di cincin yang terdapat pada kaki burung.

Sama seperti warganegara UAE lain, perjalanan burung-burung ini perlu melalui pemeriksaan oleh pegawai kastam dan imigresen yang perlu disahkan, ditandatangani berserta tarikh untuk mengawal pergerakan burung ini dari sebuah negara ke negara lain.

4. Pasport Haiwan Peliharaan

Anda mesti tidak menyangka, sebenarnya pasport antarabangsa bagi haiwan juga adalah suatu perkara yang biasa. Haiwan peliharaan di Amerika Syarikat, misalnya, dengan mudah boleh mendapatkan kelulusan perjalanan untuk melepasi sempadan. Namun, bagi haiwan peliharaan di negara-negara Kesatuan Eropah, mereka boleh memiliki sendiri 'buku biru' yang lengkap dengan gambar pasport.

pasport haiwan peliharaan kesatuan eropah

Negara Kesatuan Eropah membenarkan perjalanan haiwan-haiwan peliharaan tanpa kuarantin antara negara anggota. Peraturan ini amat disukai ramai sehinggakan ratusan anjing (berserta tuan mereka) mengadakan satu protes di London pada bulan Oktober 2018 yang dipanggil "wooferendum" untuk membantah Brexit yang mengancam kedudukan istimewa ini.

pasport kuda british

Kuda-kuda British sebaliknya, diwajibkan memiliki pasport kuda walaupun mereka tidak pernah keluar dari ladang sendiri. Peraturan ini diadakan untuk memastikan kuda yang pernah diberikan dadah yang berbahaya untuk manusia tidak akan dihantar ke rumah sembelihan dan memasuki pasaran makanan.

5. Pasport Menaiki Pesawat Negeri

Di Amerika Syarikat, sesetengah pengembara juga bakal memiliki pasport walaupun tidak pernah meninggalkan negara itu. Akta "Real ID" 2005 menghendaki setiap pengenalan diri mengikut negeri perlu mematuhi keperluan keselamatan yang telah diperketatkan sekiranya pemegang dibenarkan menaiki penerbangan domestik.

akta real id amerika syarikat memperketatkan kad pengenalan

Kebanyakan jabatan negeri telah memenuhi peraturan ini namun masih ada beberapa negeri yang meminta lanjutan tempoh. California dan Massachusetts misalnya diberikan masa sehingga 10 Januari 2019 untuk mengeluarkan kad pengenalan baru. Jika mereka gagal, penduduk negeri itu perlu mempunyai pasport untuk menaiki kapal terbang - walaupun untuk penerbangan domestik.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)