Apakah yang akan anda lakukan apabila meteor terhempas ke Bumi dan meninggalkan kesan kawah selebar 25km? Bagi salah satu kawah ini, mereka telah membina sebuah bandar di dalamnya.

Selamat datang ke Nordlingen, Jerman. Bandar yang terletak dalam tapak kawah yang terhasil daripada hentaman meteor ini mula diduduki pada tahun 838 M. Dengan hentaman itu jugalah, kawah ini dipenuhi dengan batu yang dipanggil "suevite".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Suevite adalah batu berbintik dengan pecahan kaca, kristal dan berlian yang berkilau-kilauan. Penduduk di sini telah menggunakan batu suevite ini untuk membina tembok bandar, gereja dan rumah mereka. Gereja St. Georg di bandar ini dikatakan mengandungi 5,000 karat berlian.

batu suevite

Batu suevite

Bahan-bahan yang terkandung dalam batu suevite ini mungkin mengapa tembok di Nordlingen ini masih lagi utuh walaupun setelah mengharungi "Perang 30 Tahun" pada abad ke-17.

Hanya beberapa buah bandar di Jerman sahaja yang masih mempunyai tembok zaman pertengahan sehingga hari ini seperti tembok yang popular di Rothenberg. Namun, dinding di bandar Nordlingen ini benar-benar utuh dan masih lagi berdiri sepanjang 3km.

Di samping itu, tangga menuju puncak menara gereja St. Goerg yang dilaporkan memberikan sudut pandangan terbaik untuk melihat bandar itu juga diperbuat daripada batu suevite ini dan kadang-kala memberi pantulan cahaya yang terang.

nordlingen 2

Bandar-bandar lain seperti Rothenberg telah menggunakan batu suevite ini sebagai bahan biaan tetapi tidak sampai ke tahap Nordlingen menggunakannya. Kawah di Nordlingen dianggarkan mengandungi 72,000 tan berlian. 

Namun, berlian di situ semuanya mikroskopik dan bersaiz kurang daripada 2mm lebar. Ia tidak boleh dilombong atau dijual begitu sahaja. Ia hanya berfungsi menambah kualiti yang kuat dan berkilat pada batu yang mengelilinginya.

Sepanjang sejarah bandar itu, penduduknya tidak mengendahkan batu yang berkilauan itu dan tidak tahu bahawa ia terbentuk melalui hentaman meteor sehinggalah pada pertengahan tahun 1960-an.

eugene shoemaker dan isterinya

Eugene Shoemaker dan isterinya

Sebelum itu, mereka percaya bahawa kawah yang mereka duduki itu adalah disebabkan oleh gunung berapi. Kebenaranhya diketahui setelah kawah itu dikaji oleh ahli geologi bernama Eugene Shoemaker dan Edward Chao. Eugene Shoemaker dikenali kerana menemui Komet Shoemaker-Levy 9 bersama isterinya Carolyn S. Shoemaker dan David H. Levy.

Sejak itu, bandar Nordlingen menjadi tumpuan NASA dan angkasawan daripada Agensi Angkasa Lepas Eropah. Semasa mereka membuat persiapan untuk misi Apollo 14 dan 16, para angkawasan melawat Nordlingen untuk mengkaji batu suevite agar memahami dengan lebih baik apa yang mungkin mereka hadapi di bulan.

Sebagai balasan, mereka membawa balik sampel batu bulan kepada penduduk di bandar itu. Kini, batu itu dipamerkan di Muzium Nordlingen. Pengkaji juga dapat memahami dengan lebih banyak tentang meteor yang pernah menghentam tapak bandar Nordlingen.

nordlingen 3 823

Meteor itu dianggarkan selebar 1km dan mempunyai berat sekitar 3 billion tan. Ketika jatuh, ia bergerak selaju 25km sesaat. Walaupun sebesar 1km lebar tetapi impaknya menghasilkan kawah selebar 25km. Haba dan kekuatan yang terhasil daripada hentaman itu telah menukar gelembung karbon kepada bentuk berlian kecil.

Hentaman meteor juga menyebabkan terbentuknya tasik garam purba, di mana tanahnya kaya dengan nutrien. Sejak dari dahulu lagi kawasan itu menjadi tapak kuari dan perlombongan kerana kehadiran batu suevite.

Disebabkan itu juga Nordlingen terkenal sejak dahulu dan mempunyai sejarah yang lama. Bandar itu terletak bersebelahan penempatan Rom purba dan pernah dikenali sebagai "Bandar Bebas" yang sibuk dengan perdagangan.

tengkorak gua ofnet

Tengkorak purba Gua Ofnet berhampiran Nordlingen

Pesta yang diadakan di Nordlingen pada zaman dahulu adalah antara pesta yang terkenal di kawasan itu. Salah satunya ialah pertandingan menunggang kuda "Scharlachrennen" yang diadakan di bandar itu dengan rekod terawal pada tahun 1463.

Namun, tamadun purba di kawasan itu telah hadir lebih awal lagi. Pada tahun 1908, sebuah sistem gua ditemui di luar Nordlingen dan di dalamnya terdapat 33 tengkorak manusia yang disusun dalam bulatan, menghadap matahari terbenam dan dicatkan dengan warna merah bunga.

pelakon willy wonka and the chocolate factory

Pelakon Willy Wonka and the Chocolate Factory

Tengkorak itu dianggarkan berusia 8,000 tahun. Persoalannya ialah, apa yang mereka buat di kawasan itu. Mungkin manusia zaman purba juga percaya bahawa batu bersalut berlian di situ mempunyai kuasa ajaib untuk tujuan pemujaan.

Antara fakta lain yang menarik tentang bandar Nordlingen ialah, ia pernah digunakan sebagai latar belakang dalam pembikinan filem Willy Wonka and the Chocolate Factory. 

Rujukan:

1. Smithsonian Magazine

2. BBC

3. Interesting Engineering




Hakcipta iluminasi.com (2017)