Seandainya kita rujuk apakah nama ibu negara Mexico ketika ini, pasti ramai yang mengetahui tentang bandar Mexico City - bandar dengan populasi terbesar di benua Amerika Utara.

Asal-usul bandar tersebut sebenarnya sangat panjang, sudah bermula sejak era Empayar Aztec pada abad ke 14 dengan nama Tenochtitlan. Dipilih sebagai pusat kerajaan orang Aztec, Tenochtitlan berkembang dengan pesat selama hampir 200 tahun sebelum kedatangan penjajah Sepanyol pada tahun 1521.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sesuatu fakta yang sangat mengagumkan tentang bandar Tenochtitlan ini adalah berkait tentang teknologi yang digunakan orang Aztec dalam membina asas bandar tersebut. Ini kerana Tenochtitlan merupakan sebuah bandar yang didirikan di atas sebuah pulau kecil yang terletak di tengah sebuah tasik - menyebabkan keseluruhan penduduk bandar tersebut hidup dalam cara yang berbeza berbanding biasa.

Sejarah awal Tenochtitlan

culhuacan king obviously the culhuacan king was furious and expelled the mexica tenochca out of culhuacan territory

Tarikh sebenarnya pembukaan bandar tersebut tidak diketahui, namun tarikh 13 Mac 1325 dipilih sebagai tarikh rasmi pembukaannya. Kisah berkenaan bagaimana bandar ini dibuka bermula lebih 1,000 tahun dahulu apabila orang-orang Aztec daripada suku Mexica terpaksa meninggalkan penempatan mereka iaitu Aztlan, sebuah bandar yang sehingga kini tidak diketahui lokasinya atau kesahihannya.

Berdasarkan kepada hikayat-hikayat yang diperturunkan ini, orang Mexica terpaksa berpecah membawa haluan masing-masing selepas diusir keluar oleh Raja Culhuacan yang murka dengan kumpulan tersebut. Ini kerana orang Mexica dikatakan mahu mengorbankan anak kepada Raja Culhuacan sebagai penyembahan kepada Tuhan mereka iaitu Huitzilopochtli.

Diusir keluar, orang Mexica melakukan penyembahan kepada Huitzilopochtli dan menerima petunjuk - agar mereka mencari sebuah tasik yang berpulau, untuk didirikan tempat pemujaan Tuhan tersebut. Sebuah kawasan paya kini dikenali dengan nama Tasik Texcoco yang mempunyai pulau ditengahnya dipilih, walaupun mereka sudah pastilah akan berdepan kesukaran dalam mendirikan penempatan mereka.

gambaran bandar tenochtitlan tamadun mexica

Pada zaman awal pembukaan Tenochtitlan, masyarakat di situ terpaksa tinggal di dalam pondol dan tempat pemujaan mereka yang terletak di tengah-tengah pulau itu juga berada dalam keadaan yang sangat daif. Selain itu, mereka juga berhadapan dengan ancaman sebuah penempatan berdekatan bernama Azcapotzalco yang jauh lebih besar, memerlukan pemimpin Tenochtitlan menghantar sumbangan sebagai tanda persahabatan.

Ketika era pemerintahan Tenochtitlan oleh Raja Itzcoatl yang berlaku pada tahun 1428 hingga 1440, kedudukan Azcapotzalco goyah akibat krisis dalaman dan Tenochtitlan mengambil alih peranan sebagai bandar utama, menerima kemasukan ramai penduduk baru dan mampu menguasai penempatan-penempatan lebih kecil berhampiran mereka.

Teknologi bandar Tenochtitlan

bandar tenochtitlan aztec tamadun moden

Rekod terawal berkenaan teknologi yang dibangunkan penduduk Tenochtitlan berkaitan dengan sistem akueduk, diwujudkan agar mampu menyalirkan bekalan air bersih ke kawasan istana dan kediaman-kediaman penduduk di situ. Bangunan pemujaan mereka yang dikenali dengan nama Hueyi Teocalli tersergam megah di tengah-tengah pulau, sebuah bangunan berbentuk piramid besar dua puncak setinggi 27 meter - menjadi pusat penyembahan Tuhan Huitzilopochtli dan Tlaloc.

Berikutan kedudukan mereka yang terletak dalam kawasan berair, perahu berbentuk kanu dicipta oleh penduduk Tenochtitlan bagi memudahkan pergerakan mereka. Semasa zaman kedatangan Sepanyol ke situ, direkodkan terdapat hampir 200,000 perahu kanu yang ada - hampir menyamai jumlah populasi bandar tersebut. Sistem terusan dibina bagi mencipta laluan air untuk kegunaan penduduk meliputi keseluruhan Tenochtitlan.

Daripada segi perancangan bandar, Tenochtitlan merupakan antara bandar terawal dunia di mana wujudnya sistem zon bagi mengklasifikasikan setiap kawasan. Tenochtitlan dibahagikan kepada empat zon atau 'camps' yang mempunyai 20 kawasan di dalamnya (digelarkan 'calpolli).

Setiap calpolli akan disediakan 3 laluan utama yang berhubung dengan tanah besar di pinggir bandar mereka dan yang uniknya - setiap zon mempunyai rekaan seni bina yang berlainan, memudahkan penduduk mengenali setiap satu zon hanya berdasarkan identitinya.

Bagi memudahkan akses penduduk yang perlu keluar masuk dari tanah besar ke Tenochtitlan atau sebaliknya, beberapa jambatan kayu disediakan dan jambatan ini akan dinaikkan setiap kali tibanya waktu malam.

Sistem pertanian moden yang di luar kotak pemikiran

chinampas sistem pertanian moden

Disekeliling calpolli, masyarakat Tenochtitlan membangunkan sistem 'chinampa,' sebuah sistem pertanian yang membolehkan mereka menanam sayur-sayuran di dasar permukaan tasik itu.

Dengan menganyam tikar-tikar besar menggunakan buluh mensiang, tikar-tikar ini akan diletakkan dipermukaan air dengan pagar-pagar didirikan di sekeliling tikar tadi. Lumpur, baja dan hampas sayur-sayuran memenuhi 'kotak tersebut sebagai tanah, membolehkan tumbuhan di tanam di situ.

Menggunakan teknik ini, masyarakat Tenochtitlan mampu menanam jagung, tomato, kentang, lada hitam dan labu. Apa yang menarik tentang teknik ini - mereka tidak lagi perlu menyiram pokok yang ditanam. Akar pokok yang membiak ke dalam air memainkan dua fungsi; sumber air kepada tanaman serta menjadi sauh kepada kotak-kotak chinampa yang ada - mengelakkannya dihanyutkan air.

Era kemuncak Tenochtitlan sebelum dimusnahkan Sepanyol

hernan cortes penjajah sepanyol

Pada zaman kegemilangan bandar tersebut, dikatakan keseluruhan bandar Tenochtitlan mempunyai keluasan lebih 8 kilometer persegi, dengan aktiviti ekonomi yang rancak kerap kali menghimpunkan 8 ribu orang serentak di pusat bandar mereka. Istana pemerintah Tenochtitlan terletak bersebelahan dengan Hueyi Teocalli merupakan binaan besar yang mempunyai hampir 50 buah bilik.

Digelarkan sebagai pusat utama Empayar Aztec, kedatangan penjajah Sepanyol yang diketuai oleh pengembara Hernan Cortes dengan bantuan beberapa musuh pemerintah Tenochtitlan, menjadi penyebab utama kejatuhan Empayar besar ini - seterusnya menenggelamkan legasi sebenar masyarakat Aztec yang cukup bijak daripada segi teknologi ketika itu.

Kerajaan Sepanyol menjadikan Mexico sebagai salah satu sasaran utama yang perlu mereka kuasai, bagi memudahkan akses kepada Lautan Pasifik yang bakal membuka laluan kepada mereka untuk menjajah negara di Asia pula. Dengan menggunakan pelbagai taktik licik, Hernan Cortes menggunakan kepintarannya menipu dan memanipulasi situasi, mengambil peluang terhadap serangan jangkitan cacar air - yang membunuh dan melemahkan penduduk Tenochtitlan.

Raja Tenochtitlan ketika itu, Cuauhtemoc ditangkap semasa cuba melarikan diri selepas peperangan melebihi 80 hari. Daripada tapak yang sama, Hernan Cortes membina pusat pemerintahan baru Sepanyol, dinamakan sebagai Mexico City dengan banyak binaan yang telah wujud dihapuskan termasuklah Hueyi Teocalli digantikan dengan gereja.

Semua legasi Aztec yang ada diarahkan untuk dibakar agar tradisi masyarakat Aztec dan Mexica yang mereka warisi, dapat diganti dengan apa yang cuba diperkenalkan orang Sepanyol.

Rujukan

Aztecs and Tenochtitlan




Hakcipta iluminasi.com (2017)