pontevedra sepanyol

Orang ramai jarang perlu meninggikan suara di Pontevedra. Tidak ada bunyi enjin atau bunyi hon, deruan motorsikal atau jeritan pemandu yang marah di situ.

Apa yang boleh didengari adalah kicauan burung yang hinggap di pokok, sudu yang berlaga dengan cawan berisi kopi dan juga suara orang ramai berbual sesama mereka. Guru juga tidak mengalami kesukaran membawa kelasnya melintas trafik seperti di bandar-bandar lain.

bandar tenang tanpa kenderaan diharamkan

Miguel Anxo Fernandez Lores merupakan datuk bandar kepada bandar tersebut sejak tahun 1999 dan falsafah yang dipegangnya mudah - memiliki kereta tidak bermakna anda berhak menggunakan ruangan awam, seperti yang berlaku di majoriti bandar-bandar lain di seluruh dunia.

Hampir 14,000 buah kereta akan melalui dan menggunakan jalan di sekitar Pontevedra sebelum Lores naik menjadi datuk bandar - jauh melebihi jumlah populasi penduduk bandar tersebut.

Bandar tanpa kereta

cesar mosquera datuk bandar

Cesar Mosquera, pengerusi pembangunan infrastruktur Pontevedra turut mempersoalkan mengapa harta persendirian seperti kereta perlu mendapat keistimewaan yang terlalu besar, sehingga dibenarkan memenuhi dan mengambil alih ruangan yang sepatutnya dikhaskan untuk kegunaan penduduk.

Kerjasama mereka berdua membuahkan hasil. Sebulan selepas mengambil alih jawatan datuk bandar, ruangan pejalan kaki seluas 300,000 meter persegi disediakan di kawasan tumpuan orang ramai dengan batu-batu granit dipasang bagi memudahkan orang ramai.

Pada ketika itu bandar Pontevedra seakan mati. Jenayah berleluasa. Kemalangan berlaku di mana-mana. Penduduk Pontevedra ramai yang memilih untuk keluar meninggalkannya. Perancangan awal pemulihan bandar tersebut bermula dengan pelan menambahbaik keadaan laluan trafik di sekitar Pontevedra, namun tidak ditemui solusi kepada masalah itu.

Jadi Lores mengambil langkah berani; mengambil semula ruangan awam untuk digunakan penduduk dengan memperkenalkan larangan penggunaan kereta di Pontevedra di majoriti tempat tumpuan ramai.

Suasana hidup yang jauh lebih berkualiti

pontevedra no cars city

Kenderaan mula dilarang daripada masuk untuk parkir di tepi-tepi jalan, kerana kesesakan di Pontevedra berpunca daripada masalah itu. Kesemua kawasan parkir kereta ditutup dan beberapa kawasan parkir bawah tanah dibuka di kawasan sekitar Pontevedra, dengan 1,686 tempat parkir percuma disediakan.

Selepas fasa pertama selesai, larangan kenderaan diperluaskan lagi agar merangkumi lebih banyak kawasan, semua lampu isyarat ditukar kepada bulatan jalan dan mana-mana kawasan yang dibenarkan memandu - dikenakan had laju 30 km/j bagi mengurangkan risiko.

Faedahnya dapat dilihat tahun ke tahun. Jalan utama di mana kerap berlakunya kematian akibat kemalangan, tidak lagi dilaporkan berlaku kes serupa. Tahap karbon dioksida dibandar tersebut turutn 70 peratus. Penduduk Pontevedra sudah biasa berjalan atau berbasikal ke mana sahaja dan yang lebih membanggakan jumlah populasi Pontevedra yang sebelum ini menurun, meningkat dengan kedatangan 12,000 orang penduduk baru.

Lores juga bertindak nekad menghalang pembukaan kompleks beli belah besar di Pontevedra bagi memastikan perniagaan orang tempatan berskala kecil dapat terus beroperasi, apatah lagi ketika Sepanyol sedang mengalami krisis ekonomi.

Masalah-masalah kecil yang timbul

warga pontovedra tenang

Walaupun kelihatan mudah untuk diperkenalkan, realitinya Lores tetap perlu berhadapan kesukaran pada peringkat awalnya dalam memperkenalkan syarat ini. Ada penduduk membantah semasa pengenalan peraturan ini, kerana mereka merasakan memandu adalah hak mereka sebagai penduduk.

Lores memperkenalkan beberapa pindaan kecil, menjadikan syarat itu lebih longgar. Bagi mereka yang melangsungkan perkahwinan atau menguruskan kematian, mereka dibenarkan memandu masuk.

Selain itu kesesakan mula timbul di sekitar kawasan di mana parkir di bina, yang terletak di kawasan pinggiran bandar tersebut. Jumlah parkir yang disediakan juga dikritik tidak mencukupi. Selain itu, tidak ada perkhidmatan pengangkutan awam disediakan bagi mereka yang sudah meletakkan kereta untuk ke pusat bandar - memerlukan seseorang berjalan masuk.

Rungutan-rungutan itu akan sentiasa kedengaran namun yang jelas, majoriti penduduk merasakan faedah yang diperolehi jauh lebih baik berbanding masalah yang timbul. Seseorang boleh menyeberangi keseluruhan bandar tersebut dalam masa tempoh 25 minit berjalan kaki.

Lama-kelamaan mereka yang sudah biasa akan mula sedar kebaikannya duduk dalam bandar tanpa kereta, berjalan kaki ke mana saja tanpa perlu rasa risau dengan trafik yang semakin menggila di tempat lain, seluruh dunia.


Artikel ini adalah olahan semula artikel asal 'For me, this is paradise': life in the Spanish city that banned cars yang diterbitkan pada 18 September 2018.



Hakcipta iluminasi.com (2017)