zabol paling teruk pencemaran di dunia

Jika selama ini gelaran bandar paling tercemar di dunia di pegang oleh beberapa bandar di India, kini gelaran ini sudah pun bertukar tangan.

Mempunyai satu kitaran cuaca yang menyukarkan kehidupan penduduk di sana yang dinamakan 'angin 120 hari', bandar Zabul di Iran adalah bandar paling tercemar di dunia dengan kadar indeks pencemaran 217 berbanding pencabar terdekatnya yang 'hanya' mempunyai kadar 176.

Kajian World Health Organizations dalam indeks udara mendapati udara di Zabul mempunyai kadar partikel dan zarah halus sebesar 2.5 mikron paling banyak dalam udara akibat fenomena 'angin 120 hari' yang akan menjejaskan tahap kesihatan penduduk di sana pada tahap yang kritikal.

BANDAR ZABUL

kawasan paling teruk pencemaran

Zabul yang terletak bersebelahan dengan sempadan Afghanistan, mempunyai kepadatan penduduk seramai 130 ribu orang. Pada mulanya, bandar tersebut dinamakan Sistan namun ditukar semasa era pemerintahan Reza Shah Pahlavi.

Percayakah anda Zabul adalah tempat yang dipercayai animasi pertama di dunia dilukis, apabila pengkaji menjumpai perlatan-peralatan seperti mangkuk yang berusia lebih 5000 tahun yang memaparkan seekor kambing sedang berjalan?

Mempunyai suhu yang mampu mencapai 40 darjah celcius, bandar Zabul mula ditinggalkan selepas salah satu kawasan takungan airnya, Tasik Hamoun mula kering. Tasik Hamoun pada awalnya menjadi pusat aktiviti penduduk sebagai sumber air tetapi lama kelamaan, airnya mulai surut sehinggakan luas tasik itu semakin mengecil.

Pasir-pasir daripada kawasan tasik itu yang telah kering mula diterbangkan ke udara sehingga mengganggu rutin harian orang ramai.

Sekolah pejabat kerajaan terpaksa ditutup, topeng-topeng percuma terpaksa diedarkan kepada orang ramai bagi melindungi pernafasan. Bagaimanapun, itu tidak banyak membantu.

500 orang dilaporkan menghidap tuberculosis setiap tahun akibat pencemaran. Jumlah penduduk Zabul juga semakin lama semakin berkurangan. 700 ribu peluang pekerjaan terpaksa ditutup dengan 300 kampung yang ada di sana, mengalami migrasi penduduk ke daerah lain.

RIBUT PASIR 120 HARI

zabol iran debu

Ribut yang melanda Zabul dan sebahagian daripada Afghanistan ini memang dahsyat kesannya hidupan manusia. Berlangsung selama 4 bulan tanpa henti daripada bulan Mei sehinggalah pertengahan September, daripada selatan Khorasan sehinggalah ke arah Sistan.

Ribut ini mempunyai pergerakan yang sama sepanjang ia berlangsung dan mampu mencapai kelajuan biasa 30-40km/j. Bagaimanapun, ada ketikanya ribut tersebut mampu mencapai kelajuan lebih daripada 100km/j.

Bersama dengan ribut ini diterbangkan sekali partikel-partikel halus yang mempunyai sifat menghakis sehingga mampu merosakkan bangunan dan kediaman, sedikit demi sedikit serta mampu merosakkan saluran air bersih.

Bagi membantu penduduk, semua bangunan yang dibina disitu pada bahagian dinding yang akan mengadap angin tidak akan dipasangkan tingkap atau pintu bagi mengukuhkan strukturnya.

FAKTOR PENYEBAB PENCEMARAN

zabol iran

Banyak pendapat mengatakan kurangnya perhatian dalam pembangunan banyak menyebabkan kerosakan pada muka bumi Iran sehinggakan masalah pencemaran di Iran berada pada tahap yang agak kritikal.

Secara purata menurut data rasmi negara Iran, seorang rakyat mereka meninggal setiap 2 jam akibat pencemaran di Tehran, ibu negara Iran. Peningkatan jumlah kenderaan yang mendadak akibat import masuk serta industri kenderaan tempatan menyumbang kepada kadar pencemaran teruk di Iran, sehinggakan banyak bandar Iran tersenarai sebagai bandar paling teruk pencemarannya.

Perkara ini bukanlah kali pertama berlaku di Iran. Ahvaz, bandar yang dinobatkan paling teruk pencemarannya pada tahun 2015 oleh WHO mengalami banyak masalah berkenaan pencemaran yang turut sama berpunca daripada perancangan pembangunan yang tidak mengambil peduli tentang kesannya pada alam sekitar.

Pembinaan empangan yang membuatkan banyak kawasan-kawasan tadahan air kering serta pembinaan kilang-kilang petrokimia di Ahvaz, menyebabkan angin dengan mudah menerbangkan habuk-habuk yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar yang sebelum ini ditapis oleh kawasan tadahan air. Apabila habuk-habuk ini berkumpul pada satu tempat dan kawasan tersebut mengalami hujan pula, proses itu akan menukarkan pasir dan habuk tadi menjadi lumpur yang mampu merosakkan pelbagai sistem sedia ada.

TANAH KERING BERTUKAR MENJADI GURUN

tasik hamu

Peristiwa sama yang turut sama berlaku di Zabul dan Ahvaz ini turut sama berlaku di beberapa daerah lain, diburukkan lagi dengan fenomena-fenomena semulajadi seperti angin 120 hari ini.

Pengkritik mempersoalkan rancangan kerajaan Iran yang dilihat terlalu cepat mahu membangunkan sesuatu infrastruktur tanpa melakukan kajian terhadap kesan buruknya terlebih dahulu.

Kini banyak kawasan di Iran mengalami masalah pencemaran udara, ribut pasir, tanah mendap serta tasik dan sungai yang semakin mengering, yang membawa Iran kepada satu fenomena yang dinamakan 'desertification', di mana kawasan mula hilang sumber air, bertukar menjadi kering dengan hidupan di sekelilingnya juga mengalami kepupusan.

Pada 2016, pihak UNESCO menamakan Tasik Hamoun yang berkeluasan 4000km persegi merentasi negara Iran dan Afghanistan, sebagai salah satu kawasan simpanan biosfera. Itu adalah langkah awal bagi melindungi tasik tersebut daripada terus diabaikan, ekoran kepentingannya kepada penduduk setempat dua negara tersebut.

Harapan kami agar pengiktirafan itu sedikit sebanyak dapat membantu memperbaiki kualiti hidup penduduk Zabul yang pasti sukar hidup dalam suasanan udara yang disedut, mampu meragut nyawa.


tags : , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)