Ketika Paris berkembang menjadi salah satu pusat perdagangan Eropah, bandar tersebut berdepan dengan satu masalah besar ketika abad ke 18.

Jumlah penduduk yang meninggal terlalu ramai sehinggakan ada ketikanya, berlaku kejadian badan yang sudah ditanam terkeluar semula ke permukaan. Bagi menyelesaikan masalah itu, pemerintah Paris ketika itu mengambil keputusan menempatkan semula kerangka-kerangka manusia dari dalam kubur, ke kawasan bawah tanah yang telah sedia ada di bawah kota Paris sekian lama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kawasan bawah tanah tersebut wujud sejak abad ke 13, merupakan jalinan terowong-terowong gelap yang sebenarnya adalah sumber dari mana batu kapur yang digunakan untuk membangunkan Paris datang.

Inilah kisah bandar bawah tanah Paris yang menempatkan 6 juta rangka manusia yang digelarkan 'Empayar Kematian' atau 'Empire of the Dead.'

Bandar Si Mati

paris catacombs pusara lama

Bagi masyarakat Paris abad ke 18 yang tinggal di sebuah kawasan bernama Les Innocents di Paris, penduduk di situ terpaksa duduk bersebelahan dengan kubur tertua dan terbesar di bandar mereka. Bau yang busuk mengganggu kehidupan penduduk daripada melakukan rutin harian.

Raja Louis XV, pemerintah Perancis pada tahun 1763, mengumumkan larangan mewujudkan kawasan kubur untuk pengebumian di Paris, namun rancangan untuk memindahkan kawasan kubur sedia ada ke luar Paris ditentang oleh pihak gereja. Pewaris beliau, Louis XVI juga gagal dalam usaha memindahkan kubur sedia ada ke kawasan lain.

Situasi ini kekal sehingga tahun 1780 apabila hujan yang berlaku agak panjang menyebabkan dinding-dinding di kawasan tersebut mula runtuh, menyebabkan mayat yang telah ditanam sekian lama terkeluar daripada tanah.

Oleh kerana masalah mayat ini mula menjadi semakin kronik, kerajaan Paris mengambil keputusan untuk memindahkan kesemua mayat yang ada ditanam di Perancis ke kawasan lain. Namun tidak ada banyak pilihan untuk mereka menanam semula mayat-mayat tersebut, melainkan di Paris sendiri.

Usaha untuk memindahkan kesemua mayat yang ada dilakukan dengan kawasan kuari batu kapur di bawah Paris menjadi pilihan mereka. Bermula pada tahun 1786, kubur-kubur di kawasan Les Innocents dipindahkan terlebih dahulu. Proses itu mengambil masa 12 tahun keseluruhannya dengan anggaran 6 ke 7 juta mayat telah dipindahkan satu persatu.

Menurut pendapat mereka yang terlibat, ada diantara mayat-mayat yang telah dialihkan berusia lebih 1,200 tahun ketika zaman pemerintahan Merovingian di Perancis.

The Catacombs of Paris hari ini

kubur bawah tanah di paris

Bermula daripada Revolusi Perancis, kesemua mereka yang mati akan terus ditanam di kawasan bawah tanah sebelum amalan tersebut dihentikan pada 1860. Kawasan pusara bawah tanah ini mula dibuka kepada orang ramai selepas tamat kerja ubah suai dan diberikan nama rasmi 'Denfert-Rochereau Ossuary', menjadi salah satu tarikan pelancong di Paris.

Hanya sebahagian kecil kawasan bawah tanah Paris dibuka kepada orang ramai yang mahu melawatnya, berbanding panjang sebenar lebih 315 km keseluruhan kawasan tersebut. Ini semua atas faktor keselamatan berikutan usia terowong yang tua.

tengkorak dan tulang disusun kemas

Bagi mereka yang mahu berkunjung, pintu masuk kepada bandar bawah tanah ini terletak di 1 Avenue du Colonel Henri Rol-Tanguy, Semenjak tahun 1980, satu kumpulan gerakan yang mahu mengkaji keseluruhan terowong yang ada ditubuhkan, walaupun terpaksa beroperasi secara haram berikutan larangan kemasukan yang ada.

Beberapa kes vandalisme serta kecurian tengkorak berlaku menyebabkan kawasan Denfert-Rochereau Ossuary pernah ditutup kepada orang ramai, sebelum dibuka semula.

Tulang-tulang milik lebih 6 juta orang individu yang telah meninggal dunia, disusun dengan kemas mengikut lokasi asal kubur yang ditanam, menjadi penghias koridor yang ada. Hanya mereka yang benar-benar berani, layak berkunjung melihat sendiri perspektif lain kota metropolitan Paris yang sukar digambarkan pengalamannya, diperkuatkan lagi dengan suhu di kawasan tersebut konsisten pada tahap 13 dajah celcius sepanjang masa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)