isytihar perang

Menjelang 1890-an, Amerika Syarikat mula menjadi negara dengan ekonomi paling produktif di dunia. Industri Amerika telah menghasilkan dua kali ganda lebih banyak berbanding pesaing terdekatnya iaitu Britain. Akan tetapi, Amerika Syarikat bukanlah sebagai salah satu kuasa ketenteraan atau diplomatik yang hebat.

Hanya ketika Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat mula menjadi kuasa besar dunia dalam bidang ketenteraan. Amerika juga terlibat dengan banyak campur tangan perihal negara lain dan menganggap diri mereka sebagai "Polis Dunia".

Sudah tentu hal ini akan menimbulkan pelbagai perasaan kurang senang dari beberapa kerajaan di dunia. Berikut adalah beberapa buah negara yang pernah mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat.

1801 - Negeri-negeri Barbary

perang barbary

Negeri-negeri Barbary adalah terma yang digunakan oleh Eropah untuk menggelar empat negara Islam yang membentuk Pantai Barbary (sekarang Maghribi, Algeria, Tunisia dan Libya). Mereka berperang dengan Amerika sejurus sahaja Thomas Jefferson memenangi pilihan raya.

Konflik itu berlaku selepas Jefferson mengarahkan enam kapal perang Amerika berada di Perairan Barbary bagi melindungi kapal pedagang dan persediaan sekiranya berlaku perang. Pemimpin Tripoli (Libya) ketika itu menuntut USD 250,000 daripada pemerintahan Jefferson dan apabila ditolak, Tripoli mengumumkan perang ke atas Amerika Syarikat.

Perperangan itu tidak diisytihar melalui dokumen bertulis sebaliknya mengikut ada Barbary dengan memotong bendera kedutaan Amerika. Tanpa menyedari bahawa perang telah diisytiharkan, Jefferson menghantar beberapa kapal ke Tripoli beserta surat dan hadiah, dengan harapan untuk berdamai.

Setelah mengetahui perang diisytiharkan, Jefferson mengarahkan semua kapal-kapal mereka untuk bertahan dan menyerang balas. Akibat tekanan dan kemaraan tentera Amerika, akhirnya pemimpin Tripoli iaitu Yusuf Karamanli telah menandatangani perjanjian damai pada 1805, mengakhiri perperangan selama empat tahun itu.

1856 - China, Dinasti Qing

dinasti qing

Pada pertengahan abad ke-19, England dan Perancis terlibat dalam beberapa konflik Perang Candu Kedua terutamanya Pertempuran Kubu Taku di Taku, China. Dinasti Qing telah mengisytiharkan perang ke atas England dan Perancis kerana mungkir janji untuk menjadi berkecuali apabila campur tangan dalam perang itu.

Ketika British dalam perjalanan ke Tientsin melalui Sungai Pei-ho, mereka mendapati sekatan China telah menghalang laluan mereka. Mereka menghantar surat kepada komander Qing untuk mengalihkan sekatan itu, namun ia tidak berlaku.

British kemudian memusnahkan satu pertiga halangan itu namun dibaiki semula oleh tentera China. British cuba menyerang tentera China pada keesokan harinya namun dengan keadaan sungai itu yang sempit, mereka terkejut dengan kehebatan tembakan tentera China.

Ketika itu, sebuah kapal Amerika iaitu Toey-Wan juga menghampiri sungai itu. Kaptennya Commodore Tattnall memberi bantuan kepada tentera British walaupun tidak mempercayai mereka. Namun, mereka hanya mampu mengumpulkan mayat tentera British yang banyak dibunuh.

Walaupun ramai yang mati, senjata tentera British masih lagi banyak dan tentera Amerika mula menggunakannya untuk menyerang China. Akibat peristiwa itu, China yang diperintah Dinasti Qing telah mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat juga.

1941 - Jepun, Jerman, Itali dan Croatia

kuasa axis

Perang Dunia Kedua diperjuangkan oleh dua kumpulan negara, yang kebanyakannya mengisytiharkan perang secara individu terhadap Amerika Syarikat terutamanya Jepun dan Jerman. Jerman mengistiharkan perang ke atas Amerika sejurus selepas Kerajaan Amerika telah mengisytiharkan perang terhadap Jepun apabila Pearl Harbor dibom.

Empat hari selepas Pearl Harbor dibom, diktator Itali iaitu Benito Mussolini pula mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat dari balkoni Roman Piazza Venezia di Rom. Dia memberitahu rakyat Itali bahawa ia adalah keputusan yang penuh bersejarah. Dia juga menyeru seluruh Itali agar menjadi berani seperti Jepun yang menyerang salah satu pangkalan tentera Amerika.

Croatia yang dipengaruhi oleh Nazisme Jerman juga mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat. Pergerakan Ustaše di Croatia menyasarkan kaum Serbia untuk mengubah mereka menjadi penganut Katolik Roman.

Pergerakan itu telah melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap kaum Serbia, Yahudi dan juga Romania. Kira-kira sebanyan 300,000 hingga 500,000 orang telah dibunuh dan sekurang-kurangnya sebanyak 100,000 dibunuh di kem tahanan.

Seorang menteri Croatia iaitu Milovan Žanić berkata bahawa negara itu adalah hak milik orang-orang Croatia sahaja dan mereka tidak teragak-agak untuk membersihkan kaum Serbia dan ancaman lain yang telah menekan mereka selama ratusan tahun.

Perang Dunia Kedua telah berakhir pada tahun 1945, selepas Amerika Syarikat menjatuhkan dua bom atom di Nagasaki dan Hiroshima, memaksa negara-negara kuasa paksi yang lain menyerah kalah.

1942 - Thailand

perdana menteri thailand phibun

Ketika tercetusnya Perang Dunia Kedua, Thailand ketika itu berada dalam liga yang sama dengan Jepun. Di bawah pimpinan Perdana Menteri Plaek Pibulsonggram atau Phibun yang pro-Jepun, Thailand telah mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat.

Pada hari yang sama pengisytiharan itu dibuat, Afrika selatan dan New Zealand pula mengisytiharkan perang ke atas Thailand dan diikuti oleh Australia tidak lama selepas itu.

Konflik pertama Thailand dengan kuasa Sekutu bermula selepas kejatuhan Perancis pada tahun 1940. Thailand melihat ini sebagai peluang untuk menyusun semula sempadan Indochina Perancis. Ketika itu juga pihak Jepun telah membantu Thailand untuk memerangi tentera Perancis dan memaksa Perancis menyerahkan 21,000 batu persegi tanah jajahan kepada Thailand.

Pergerakan pro-Sekutu dan gerila Thai yang berjumlah 90,000 orang kemudian telah menentang rejim Perdana Menteri Phibun dan pihak Jepun. Mereka menjadi pengintip kepada kuasa tentera Sekutu dan melakukan beberapa sabotaj untuk membantu kejatuhan Phibun pada tahun 1944.

Kerajaan Amerika Syarikat ketika itu melihat Thailand menjadi boneka kepada Jepun dan enggan mengisytiharkan perang terhadap Thailand. Setelah kuasa paksi kalah dalam Perang Dunia Kedua, Amerika telah menyekat usaha British untuk berdamai dengan Thailand.

1989 - Panama

amerika serang panama

Butiran pengisytiharan perang secara rasmi oleh Panama ke atas Amerika Syarikat masih lagi samar. Presiden George Bush pula menyatakan bahawa diktator Jeneral Manuel Antonio Noriega telah membuat kenyataan perang, walaupun sebenarnya ia tidak pernah dilakukan secara rasmi. Bush menggunakan alasan itu untuk membenarkan serangan yang dilakukan ke atas Panama.

Hubungan dengan Jeneral Noriega sentiasa goyah walaupun sebelum ini Noriega pernah menjadi pemberi maklumat CIA ketika Bush menjawat jawatan sebagai ketua CIA. Noriega juga pernah menjadi agen DEA dan berpihak kepada Amerika namun akhirnya terlibat dengan perniagaan dadah itu sendiri.

Apa yang membuatkan pihak Amerika menjadi lebih marah ialah kerana Noriega berpaling tadah dan membantu Kesatuan Soviet. Beberapa desakan untuk menangkapnya telah dibuat pada pertengahan 1980-an tetapi ditolak oleh Presiden Reagan. Noriega pula dalam masa yang sama telah menggagalkan beberapa percubaan rampasan kuasa yang dilakukan terhadapnya.

Akhirnya, ketika Bush menjadi Presiden Amerika Syarikat, dia telah memerintahkan pelan serangan pencerobohan Panama dengan menggunakan alasan bahawa Noriega telah mengisytiharkan perang terhadap mereka terlebih dahulu.

Noriega yang berjaya mengelak daripada ditangkap selama beberapa hari ketika pencerobohan Panama oleh tentera Amerika berlaku, akhirnya menyerah diri akibat tekanan psikologi dari tentera Amerika.



Hakcipta iluminasi.com (2017)