Sejak China membuka peluang pelaburan asing pada akhir 1970-an, beberapa syarikat Amerika Syarikat yang paling kuat telah masuk ke Republik Rakyat China dengan begitu yakin.
Dan beberapa tahun kemudian, mereka terhuyung-huyung, "dibelasah" dan akhirnya tumpas.
Ia bukanlah kerana perniagaan-perniagaan ini tidak cekap, kerana banyak kegagalan terbesar berlaku kepada syarikat dalam Fortune 500, termasuklah Mattel, eBay, Google, Home Depot.
BESARKAN TEKS A- A+
Semua syarikat ini berkembang pesat di pasaran di seluruh dunia, tetapi tidak di China.
Mengapa dan bagaimana ini boleh berlaku? Ada yang menderita akibat kekurangan fleksibiliti, atau kegagalan untuk menyetempatkan perniagaan mereka.
Yang lain pula jatuh kerana masa yang tidak sesuai atau disaingi perniagaan tempatan yang unggul.
Walaupun punca-puncanya berbeza-beza sebagaimana industri itu sendiri, satu corak boleh dilihat di antara kegagalan terbesar di China iaitu disebabkan oleh ketidakupayaan untuk memahami betapa berbeza dan sengitnya pasaran di China.
Menurut Shawn Mahoney, pengarah urusan kumpulan perunding EP China, kurangnya pemahaman undang-undang dan budaya persekitaran adalah penyebab kepada kebanyakan kegagalan.
"Satu-satunya perbezaan antara kejayaan dan kegagalan menurut pengalaman saya adalah bahawa orang yang berjaya lebih bersedia untuk bercakap dan belajar tentang bagaimana keadaan bekerja di lokasi," kata Shawn Mahoney.
iluminasi.com kongsikan bagaimana 4 syarikat gergasi Amerika Syarikat terkandas di China.
1. Home Depot - China bukan tanah untuk DIY
Kawasan pinggir bandar di Amerika dipenuhi dengan mereka yang mempunyai hobi dalam menambahbaik rumah mereka dan Home Depot wujud untuk menyediakan segala keperluan.
Dengan pelbagai alatan dijual seperti alat kuasa, bahan binaan dan bekalan perkakasan, kedai besar ini merupakan bukti kepada etika DIY pemilik rumah di Amerika Syarikat.
Sekali pandang, ia kelihatan seperti apa yang berlaku di China. Negara ini mempunyai kelas pertengahan yang semakin meningkat, berjuta-juta pemilik rumah baru dan budaya kebijaksanaan dan penjimatan setiap hari.
Dengan ini, bukankah sangat sesuai dan sempurna untuk dibuka di China? Itu adalah apa yang mereka rasakan apabila memasuki pasaran China pada tahun 2006.
Syarikat yang berpangkalan di Atlanta ini membeli sebuah firma tempatan, membuka 12 kedai mereka dan menunggu wang untuk masuk ke dalam poket mereka.
Namun, tanggapan mereka salah. Selepas bergelut selama 6 tahun, Home Depot menutup 7 baki kedai mereka dan memecat 850 pekerja di China.
Terdapat beberapa faktor di sebalik kegagalan ini. Pertama adalah sesuatu yang ringkas, iaitu masa. Home Depot datang ke China terlalu lewat, selepas pesaingnya sudah bertapak.
Ketika mereka sampai, pertumbuhan China semakin perlahan. Kedua adalah sifat pasaran perumahan di China. Ramai orang membeli rumah untuk pelaburan dan hartanah, bukan untuk ditambahbaik.
Ketiga ialah format kedai Home Depot. Seperti yang diketahui oleh syarikat seperti Best Buy dan peruncit Amerika yang lain, para pengguna China tidak suka kedai berkonsepkan gudang besar yang terletak jauh dari pusat bandar.
Keempat dan yang paling teruk, Home Depot cuba membawa masuk konsep DIY Amerika ke pasaran di mana tenaga buruh begitu murah sehinggakan kebanyakan orang hanya mengupah seorang tukang, dan tidak menambaik sendiri.
Home Depot datang dan cuba menjual visi Amerika, beranggapan bahawa orang mahu membelinya. Dan ternyata, itu bukanlah apa yang rakyat China mahu.
Syarikat itu sendiri mengakui hal ini apabila meninggalkan China. "China adalah pasaran do-it-for-me, dan bukannya pasaran do-it-yourself, jadi kita perlu menyesuaikan diri," kata jurucakap Home Depot.
2. Mattel - Terlalu mahal untuk pengguna China
Ironi kegagalan Barbie di China adalah anak patung sebenarnya agak popular. Masalahnya adalah, jenama Barbie tidak popular di China.
Barbie merupakan jenama miliki Mattel, sebuah syarikat pengeluar mainan multinasional Amerika yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan ibu pejabat di El Segundo, California.
Pelancaran Mattel bermula pada tahun 2009, apabila ia membuka "Rumah Barbie" terbesar di dunia di lokasi utama di Shanghai.
Syarikat ini membelanjakan RM120 juta untuk menjadikan kedai 6 tingkat mereka sebagai pusat segala-galanya untuk Barbie.
Ia termasuklah restoran, salon rambut dan kuku, bar koktel dan juga spa. Malah, untuk menarik pelanggan China dengan lebih dekat, Mattel melancarkan anak patung versi tempatan, diberi nama Ling.
Jadi, apa yang tak kena dengan perniagaan mereka? Sebahagiannya disebabkan oleh kegagalan dalam merancang. Kedai tersebut terlalu besar dan terlalu mahal.
Malah, ia terlalu mengelirukan kerana mencampurkan bahagian keseronokan dewasa seperti Barbie martini (minuman alkohol) dan rawatan menegangkan payudara, dengan mainan kanak-kanak.
(House of Barbie di Shanghai, China)
Secara asasnya, Mattel nampaknya telah tersalah membaca pasaran.
Daripada memberi tumpuan kepada anak patung kanak-kanak, Mattel beranggapan bahawa pengguna China mahukan pelbagai pakaian, makanan, dan barangan bertemakan Barbie yang mahal.
Dan disebabkan oleh Barbie bukanlah ikon budaya di China seperti mana ia di Amerika Syarikat, maka pengguna China langsung tak kisah tentang produk Barbie yang mahal.
Ketika mana Mattel menyedari kesilapan mereka, kedai mereka mengalami kerugian teruk. Dan pada tahun 2011, 2 tahun selepas dibuka, kedai House of Barbie itu ditutup.
Pengajaran dalam kisah Mattel ini adalah, sebelum melakukan perniagaan besar-besaran di China, lakukan penyelidikan terlebih dahulu.
Syarikat-syarikat perlu fleksibel, boleh menyesuaikan diri dan bertindak balas dengan positif terhadap citarasa China. Ini bermaksud Mattel perlu membuat eksperimen terlebih dahulu sebelum membuka kedai mega bernilai RM120 juta.
3. eBay - Jangan abaikan "guanxi"
Jika anda pernah sampai ke China, anda mungkin menyedari akan kuasa "guanxi", atau hubungan sosial.
Guanxi memacu urusan perniagaan dan kontrak kerajaan. Ia adalah gam halimunn yang mengikat orang ramai bersama.
Ia adalah hubungan dan kewajiban bersama yang sangat berharga kepada masyarakat Cina dalam hubungan peribadi.
Dan bagi syarikat yang sangat berjaya dan berpengaruh, ini mungkin kedengaran seperti perkara yang sangat remeh. Ternyata apa yang dianggap oleh eBay adalah salah.
Pada tahun 2004, gergasi lelongan dalam talian dari San Jose ini memutuskan untuk memasuki pasaran China.
eBay membeli sebuah syarikat tempatan, Eachnet, menukarkannya ke platform eBay dan menjangkakan dapat menguasai China dalam tempoh yang singkat.
Lagipun, mereka telah menguasai pasaran negara-negara lain, kenapa tidak China, kan? 2 tahun kemudian, eBay menutup portal mereka dan meninggalkan pasaran lelongan Cina.
Pesaing tempatan iaitu Taobao, terus mengambil alih 95%daripada bahagian pasaran tempatan.
Masalah yang berlaku dalam ke ini adalah eBay tidak mempunyai mekanisme untuk guanxi.
Menurut satu kajian yang dijalankan oleh para penyelidik di Amerika Syarikat dan Hong Kong, ini adalah kesilapan yang sangat besar.
Ketika Taobao membenarkan pembeli dan penjual untuk bersembang menerusi mesej sekaligus memberi mereka peluang untuk membina hubungan peribadi, ia tidak dilakukan oleh eBay.
Paul A. Pavlou, seorang profesor di Temple University Fox School of Business berkata bahawa para pembeli benar-benar mahu mengenali dari siapa mereka beli.
Di China, perniagaan bukan hanya sekadar perniagaan, tetapi hal sosial. Hari ini, eBay berkata mereka telah belajar daripada pengalaman.
Syarikat itu telah menumpukan semula dari pasaran domestik, ke arah membantu penjual Cina memasarkan terus kepada pengguna di luar negara.
4. Google - Perbalahan dengan kerajaan
Kekalahan dan kegagalan Google di China adalah salah satu yang paling dramatik dan yang paling kompleks.
Konteks ini sangat terkenal di mana pada tahun 2010, Google mengumumkan bahawa ia telah digodam dan tidak akan lagi menapis dengan perintah kerajaan.
Ia memindahkan server nya ke Hong Kong dan pasaran sahamnya merudum dari 30% kepada 3% pada tahun 2013.
Apa sebenarnya yang berlaku?
Walaupun keputusan yang lemah oleh pihak Google sendiri memainkan peranan dalam kegagalan ini, namun politik adalah apa yang membunuh Google di China.
Usaha perniagaan Google di China telah dimusnahkan sejak awal lagi mereka bertapak. Dilancarkan pada tahun 2006, Google.cn adalah enjin carian asas, tanpa Gmail, perisian blog, atau YouTube.
Ini kerana syarikat itu enggan menyimpan servernya di China, kerana takut terpaksa menyerahkan data pengguna kepada kerajaan.
Pada tahun 2008, China menuntut agar Google menapis cadangan pencarian automatiknya secara lebih teliti.
Dan pada tahun 2009, Google berjaya mengesan perncerobohan servernya yang mana didakwa dilakukan di China.
Penyerang tersebut bukan hanya mencuri rahsia korporat, tetapi juga menyusup masuk ke dalam akaun-akaun peribadi pihak pembangkang dan aktivis yang berkaitan dengan China dan Tibet.
Menjelang tahun 2010, pihak-pihak atasan Google tidak lagi boleh berdiam diri dan mereka memutuskan untuk tidak lagi akan mematuhi permintaan China.
Pengajaran dari kekacauan Google di China adalah sukar untuk diterima, tetapi ia sangat penting.
Akhirnya, syarikat asing yang ingin berkembang maju di China harus mematuhi peraturan-peraturan pemerintah yang menindas.
Ini bermakna sama ada anda mahu bertolak ansur dengan dasar yang anda tak gemar, ataupun cari jalan keluar.
Rujukan:
1. CNBC
3. Biz Journals