rancangan china bina kereta api berkelajuan tinggi bawah laut ke amerika syarikat 2

China mahu membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi dasar laut yang akan menghubungkan tanah besr China dengan Amerika Syarikat dengan anggaran kos RM800 bilion.

Ia kelihatan seperti sebuah projek yang agak tidak masuk akal namun memandangkan betapa pantasnya China memperluaskan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi nya dalam dekad yang lalu, ia adalah tidak mustahil.

Projek rangkaian kereta api yang luar biasa ini sudah tentunya akan menjadi projek mega termahal dalam sejarah.

Idea kereta api dasar laut ke AS ini pertama kalinya dilancarkan oleh China pada tahun 2014. Ia merupakan sebuah projek yang sangat menakutkan dan memerlukan kepakaran kejuruteraan yang tersangat dahsyat.

Landasan kereta api yang dicadangkan ini adalah sejauh 12,874 kilometer yang akan menghubungkan 4 buah negara iaitu China, Rusia, Kanada dan AS, yang diberi nama Rangkaian China-Rusia-Kanada-Amerika Syarikat.

kereta api trans siberian

Untuk memudahkan gambaran, rangkaian kereta api terpanjang di dunia ketika ini iaitu Kereta Api Trans-Siberian adalah sepanjang 9,298 kilometer sahaja.

Kereta api dari China ke AS ini sudah tentunya membuatkan Kereta Api Trans-Siberian sangat kerdil dan pengalaman menaiki kereta api China ini sudah tentunya akan lebih pantas serta selesa.

Bayangkan perjalanan menaiki kereta api peluru dari timur laut China hingga ke Siberia. Dari situ, kereta api berkelajuan tinggi ini akan bergerak menuju ke Selat Bering yang memisahkan Rusia dan AS alu menuju ke Alaska.

Bahagian projek ini yang menelan kos paling tinggi sudah tentunya terowong bawah laut yang menghubungkan Rusia dengan Alaska, yang mana menelan kos RM215.5 bilion.

Kos ini adalah 4 kali ganda kos pembinaan terowong yang menghubungkan United Kingdom dengan Perancis.

Selepas keluar dari terowong di Selat Bering, kereta api ini akan memasuki wilayah Yukon di Kanada menghala ke British Columbia dan akhirnya sampai ke Washington di AS.

rancangan china bina kereta api berkelajuan tinggi bawah laut ke amerika syarikat

Dan ini hanyalah permulaan, di mana kereta api ini kemudiannya mungkin akan diperluaskan sehingga ke setiap penjuru AS, dari California hingga ke Florida dan ke New York.

Jika kita melihat kepada skop projek ini, tidak hairanlah ia akan menelan kos lebih RM800 bilion, dan ini hanyalah anggaran terendah.

Melihatkan kepada jarak yang bakal dilalui, pastinya anda beranggapan bahawa ia akan mengambil masa yang agak lama, namun kereta api berkelajuan tinggi ciptaan China adalah tersangat canggih.

China baru-baru ini mendedahkan bahawa kereta api peluru maglev berkelajuan tinggi baharu ciptaan mereka mampu mencapai kelajuan tertinggi 619 kilometer sejam.

Ini membuatkan perjalanan dari China ke AS menaiki Kereta Api China-Rusia-Kanada-Amerika Syarikat hanya mengambil masa 2 hari sahaja. Ini adalah sangat menakjubkan memandangkan penerbangan dari Shanghai ke Los Angeles mengambil masa 14 jam.

Ketika ini, China berada dalam posisi di mana ia hampir mengatasi AS untuk menjadi ekonomi terbesar di dunia.

kereta api berkelajuan tinggi china

Pencakar langit muncul di negara ini hampir setiap hari dan China telah membangunkan sistem kereta api berkelajuan tinggi yang mengagumkan yang mana menyaingi sistem kereta api berkelajuan tinggi di Eropah dan Jepun.

Lebih dahsyat, AS langsung tidak mempunyai sistem kereta api berkelajuan tinggi, namun negara ini sedang merancang untuk membina rangkaian kereta api laju dengan kos RM320 bilion yang akan menghubungkan San Francisco dengan Los Angeles yang berjarak 614 kilometer.

Jika dilihatkan, rangkaian kereta api berkelajuan tinggi China masih agak baru, di mana syarikat milik kerajaan iaitu China Railway mula merancang sistem kereta api berkelajuan tinggi di negara ini pada tahun 1990.

Ini dianggap sangat lewat memandangkan ia berlaku hampir 30 tahun setelah Shinkansen pertama di Jepun dilancarkan.

projek gila china bina kereta api laju bawah laut ke amerika syarikat 323

Walaupun permulaan yang agak lambat, sistem kereta api berkelajuan tinggi China adalah sama maju dan canggih dengan Jepun.

Malah, China berjaya menewaskan Jepun dalam mendapatkan hak untuk membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di Indonesia.

Pada tahun 1999, China memulakan pembinaan bahagian pertama rangkaian kereta api berkelajuan tinggi mereka dan landasan kereta api bernilai RM7.87 bilion itu mula beroperasi pada tahun 2003.

Kini, kereta api peluru ini mencapai kelajuan tertinggi 257 kilometer sejam. Kemudian, pembinaan di China meningkat dengan begitu pantas.

Pada tahun 2012, China membuka landasan kereta api berkelajuan tinggi Beijing-Guangzhou sepanjang 689 kilometer dan menjadi landasan kereta api berkelajuan tinggi terpanjang di dunia yang telah mengurangkan masa perjalanan antara Beijing dan Guangzhou kepada hanya 8 jam.

beijing guangzhou kereta api laju china

Jadi, bagaimana China mampu mengejar Eropah dan Jepun dengan begitu pantas? Semua ini melibatkan kos pembinaan. 

Jaringan kereta api berkelajuan tinggi China setakat ini menelan belanja antara RM70 juta hingga RM87 juta per kilometer.

Ini mungkin kelihatan sangat mahal, namun ia adalah sangat murah berbanding bahagian dunia yang lain.

Di Eropah, kos pembinaan dengan jarak yang sama mencecah RM103.6 juta hingga RM161 juta per kilometer, manakala sistem kereta api berkelajuan tinggi California akan menelan belanja sekitar RM232 juta per kilometer, lebih 2 kali ganda kos oleh China.

Kos buruh yang murah dan peraturan yang kurang membolehkan China mengurangkan kos pembinaan dengan begitu ketara sekali.

Selain itu, China sentiasa membina kereta api peluru yang lebih baik dan laju.

Kereta Api CR400AF-G boleh beroperasi dengan kelajuan hingga 349 kilometer sejam dan suhu serendah -40°C akan bergerak dari Shenyang ke Harbin dan berhenti di bandar-bandar utara lain di China.

Kereta api peluru yang dapat menahan suhu sejuk yang melampau adalah perlu sekiranya China mahu membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi ke AS.

kos buruh rendah di china

Suhu di Siberia, Alaska dan kawasan tundra di Kanada boleh menurun serendah -40°C. Walaupun suhu -60°C adalah jarang, namun ia masih berlaku.

Terdapat cara lain China mempersiapkan diri mereka untuk membina rangkaian keretapi peluru dasar laut ke AS.

China Railway ingin membina keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan tanah besar China dengan Taiwan.

Projek terowong lurus ke Taiwan ini boleh menelan kos sebanyak RM120 bilion dan ini akan menjadi ujian terbaik sebelum membina projek yang lebih besar.

Wang bukanlah penghalang apabila melibatkan pengembangan rangkaian keretapi laju China. Negara ini telah membelanjakan sekitar RM484 bilion ke atas projek-projek keretapi pada tahun 2018 sahaja.

Wang sebanyak itu digunakan dengan baik kerana China Railway membina landasan sepanjang 4,683 kilometer, yang mana 4,102 kilometer atau 87.6% daripadanya adalah untuk kereta api berkelajuan tinggi.

landasan kereta api bawah laut china dari ningbo ke zhoushan

Kereta api bawah laut dari China ke AS masih jauh untuk kita fikirkan dan ada yang beranggapan bahawa projek ini adalah mustahil.

Namun, China telah menunjukkan kepada dunia bahawa mereka mampu melakukan lebih dari itu.

Pada tahun 2020, China memulakan pembinaan Kereta Api Ningbo-Zhoushan bernilai RM14.9 bilion, yang bakal menjadi landasan kereta api berkelajuan tinggi bawah laut pertama di negara ini.

Ini akan menjadi cubaan yang paling hampir kepada projek kereta api yang menghubungkan China dan AS.

Kereta Api Ningbo-Zhoushan akan menghubungkan Ningbo, sebuah bandar pelabuhan di selatan Shanghai dengan Zhoushan, sebuah kepulauan di luar pantai timur China.

Projek bercita-cita tinggi itu akan merangkumi terowong bawah laut sejauh 16 kilometer dan dijangka siap pada awal tahun 2022.

Kereta api peluru yang bergerak di sepanjang landasan ini dapat mencapai kelajuan maksimum 249 kilometer sejam dan terapung di atas landasan magnet.

landasan kereta api bawah laut china dari ningbo ke zhoushan 2

laluan kereta api china russia ke amerika

Gambaran laluan China-Russia plus America line

Terowong bawah laut ini bakal terdiri daripada tiga tingkat, iaitu bahagian penyelenggaraan di atas, bahagian terowong utama di tengah dan landasan kecemasan di bawah.

Halangan membina kereta api peluru dasar laut ke AS

Sekalipun China mampu membina rangkaian kereta api peluru bawah laut ini, persoalannya adalah bolehkah mereka melakukannya? Memang benar wang bukanlah penghalang kepada China, namun AS dan Kanada mungkin tidak berminat.

Membina sebahagian rangkaian kereta api ini di China dan Rusia adalah sesuatu yang mudah memandangkan kedua-dua negara ini mempunyai hubungan baik, namun hubungan China dengan AS ketika ini adalah yang terburuk dalam beberapa dekad.

Hubungan diplomatik antara negara-negara terlibat perlu diperbaiki untuk projek mega ini dapat menjadi realiti.

xi jinping dan joe biden

Bukan itu sahaja, terdapat halangan lain yang perlu difikirkan. Sekalipun hubungan antara China dan AS semakin baik, pembinaan landasan kereta api ini akan berhadapan dengan masalah melalui Alaska dan Kanada.

Ini kerana sebahagian besar pantai barat Amerika Utara terdiri dari taman negara dan wilayah, di mana pembinaan landasan kereta api ini akan menimbulkan risiko serius bagi haiwan yang terancam.

Untuk memboleh projek ini dibina, ia harus dilakukan dengan tidak melewati kawasan ini dan ini sekaligus akan meningkatkan kos dengan begitu ketara.

Adakah anda rasa projek ini mampu dilakukan, atau mustahil? 

Wallahualam.

Rujukan:

1. In Habitat

2. Richest

3. Washington Post



Hakcipta iluminasi.com (2017)