Mutakhir ini, negara sedang hangat membicarakan tentang isu ekzos bising. Ini disebabkan pihak kerajaan mengenakan tindakan lebih berat terhadap pemilik kenderaan bermotor yang melakukan ubah suai paip ekzos sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi.

Pemilik motosikal atau kereta yang mengubah suai kenderaan mereka menggunakan ekzos bising boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959), setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan baik.

Datuk Azisman juga berkata, mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan daripada kesalahan berulang.

Sehingga hari ini, pihak berkuasa telah mengeluarkan beribu-ribu saman terhadap pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal atas kesalahan menggunakan ekzos bising sejak ia mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 2021.

ujian bunyi ekzos

Walaupun tindakan ini wajar bagi membendung masalah pencemaran bunyi, kebanyakan penunggang motosikal menyatakan kekesalan mereka terhadap segelintir pemandu yang gemarkan bunyi ekzos bising ini. Tambahan pula, bilangan pengguna motosikal di Malaysia agak tinggi.

Negara lain yang turut mengharamkan ekzos bising

Selain Malaysia, terdapat juga beberapa negara lain yang turut mengambil tindakan keras terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan ekzos bising.

Kebanyakan penunggang motosikal menyukai bunyi ekzos yang baik sehingga sanggup menghabiskan masa dan wang mengubah suai ekzos mereka. Selain memberikan prestasi yang baik, ada yang percaya bunyi ekzos kuat ini mampu "menyelamatkan nyawa".

Namun, tidak semua bersetuju atau berkongsi pendapat yang sama. Ini termasuklah beberapa negara luar terutamanya di Eropah yang memulakan "perang" terhadap bunyi ekzos bising ini.

Kesatuan Eropah sentiasa memainkan peranan besar dalam menetapkan agenda global mengenai isu-isu alam sekitar sebelum ia diterapkan di negara-negara lain. Beberapa tahun kebelakangan ini, Kesatuan Eropah bertindak lebih ekstrem terhadap isu kebisingan kenderaan bermotor.

ubah suai ekzos

Banyak negara terutamanya di Eropah telah memperkenalkan undang-undang anti-bising ini seperti:

  • England - Kamera pengesan bunyi telah dipasang dan dalam tempoh percubaan di England. Taman Kebangsaan Yorkshire Dale sedang mempertimbangkan untuk membuat larangan kenderaan akibat bunyi bising motosikal.
  • Perancis - Kamera pengesan bunyi telah dipasang dan sedang dalam tempoh percubaan.
  • Belgium - Kerajaan sedang mempertimbangkan pengharaman motosikal di beberapa kawasan di Brussels atas alasan "mengurangkan pencemaran".
  • Austria - Kerajaan negeri mengeluarkan arahan mengharamkan motosikal yang menghasilkan bunyi melebihi 95dB.
  • Switzerland - Ahli majlis Parti Sosial Demokrat mengemukakan keputusan untuk melarang motosikal yang mengeluarkan bunyi melebihi 95dB.
  • Jerman - Kamera pengesan bunyi akan dipasang dan pegawai polis diberi kuasa untuk menyaman atau menyita kenderaan dengan ekzos bising. Motosikal juga mungkin akan diharamkan di kawasan-kawasan tertentu pada hari Ahad (peraturan ini sudah dikenakan terhadap trak di Jerman). Kerajaan juga akan mengurangkan tahap bunyi semua motosikal kepada 80dB di mana peraturan ini akan mempengaruhi semua motosikal buatan Jerman di seluruh dunia.

Peraturan akan diikuti seluruh dunia

operasi motosikal

Pengalaman lalu menunjukkan bahawa setiap undang-undang dan peraturan alam sekitar yang diluluskan di Eropah akan diguna pakai di kebanyakan negara lain selepas itu.

Kebanyakan pengeluar kenderaan di Eropah akan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Apabila mereka menghasilkan kenderaan yang mematuhi had bunyi dan dijual di seluruh dunia, negara lain secara automatik akan mengikut piawaian ini dan mula menyesuaikan bunyi kenderaan masing-masing.

Walau bagaimanapun, peratuan baru ini juga akan menimbulkan beberapa masalah. Terdapat beberapa piawaian yang kompleks dengan tahap kebisingan berbeza antara negara. Bagaimana seorang penunggang motosikal itu dapat memastikan bunyi ekzosnya tidak melanggar peraturan?

Ketiadaan kemudahan rasmi untuk menguji tahap bunyi juga menyukarkan pengguna. Penunggang motosikal mungkin tidak menyedari bahawa sistem ekzos mereka terlalu kuat walaupun ingin mengikut peraturan.

Di Australia pula, pihak polis mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis atau menahan pemandu ekzos bising hanya berdasarkan firasat mereka. Jabatan Alam Sekitar kemudian akan mengeluarkan Notis Pemeriksaan Kenderaan untuk kenderaan diuji. Malah, orang awam juga boleh melaporkan sebarang kenderaan yang mengeluarkan bunyi kuat.

ubah suai jpj

credit : sinarharian

Walaupun tahap bunyi kebisingan ekzos motosikal dapat diukur, ia sebenarnya sangat subjektif. Bunyi ekzos mungkin kedengaran "sedap" bagi sesetengah orang tetapi "menyakitkan" bagi sebahagian yang lain. 

Sebenarnya, bukan hanya negara-negara yang disebut di atas sahaja yang mempunyai peraturan terhadap bunyi bising ekzos. Hampir kebanyakan negara maju mempunyai peraturan khas tentang tahap bunyi yang dibenarkan tetapi kebanyakannya sukar atau tidak dikuatkuasakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)