Oleh pada 31 May 2021 kategori

Kewujudan sebagai bahasa dalam sesebuah masyarakat memerlukan sesebuah negara atau kerajaan mengisytiharkan satu atau lebih jenis bahasa, sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi kegunaan penduduk setempat dan bahasa rasmi untuk urusan formal.

Negara kita menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi, turut mengiktiraf penggunaan bahasa Inggeris dalam kegunaan bersifat antarabangsa serta menerima bahasa-bahasa kaum minoriti sebagai alat tutur harian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Disebabkan pelbagai faktor seperti sejarah serta pecahan, ada negara memilih untuk tidak menamakan sebarang pilihan tertentu sebagai bahasa rasmi mereka. Berikut adalah lima negara itu.

1. Luxembourg

luxembourg bahasa rasmi

Negara kecil di Eropah ini sangat unik ekoran kedudukan geografinya yang terletak sebagai titik pertemuan tiga negara iaitu Belgium, Perancis dan Jerman.

Disebabkan itu, majoriti masyarakat Luxembourg sendiri mengamalkan penggunaan lebih dari satu bahasa dalam aspek urusan rasmi, media dan media cetak ekoran 'pertembungan' tiga bahasa itu.

Secara teknikal, bahasa pertuturan harian orang Luxembourg adalah bahasa yang dikenali sebagai bahasa Luxembourgish. Namun dari segi kajian linguistik, bahasa ini tidak diiktiraf sebagai satu cabang bahasa berbeza disebabkan oleh persamaan yang terlalu besar dengan bahasa Jerman.

Bahasa Perancis menjadi bahasa pilihan di agensi dan jabatan kerajaan. Pengamal media di Luxembourg pula lebih gemar menggunakan bahasa Jerman. Sementara sekolah di negara ini dijalankan menggunakan ketiga-tiga bahasa.

2. Mexico

bahasa mexico

Mexico merupakan antara bekas jajahan Sepanyol, yang meninggalkan impak sangat besar pada masyarakat mereka yang terbentuk daripada bermacam jenis etnik. Etnik ini pula setiap satunya mempunyai bahasa mereka sendiri.

Walaupun penggunaan bahasa bekas penjajah iaitu bahasa Sepanyol menguasai kemampuan vokabulari lebih 90% penduduk Mexico, bahasa itu turut sama dilihat sebagai ancaman kepada lebih 62 jenis bahasa peribumi mengakibatkan ketiadaan bahasa rasmi diisytihar - sebagai simbol penghormatan kepada tradisi asal.

Apa yang unik mengenai Mexico, walaupun bahasa Sepanyol bukan merupakan bahasa asal mereka, Mexico mempunyai bilangan penutur bahasa tersebut paling ramai di dunia jauh melebihi negara Sepanyol sendiri. Begitulah hebatnya impak penjajahan kepada sesebuah masyarakat.

3. Australia

australia majmuk bahasa

Sama seperti Mexico, kehadiran pendatang luar yang akhirnya menguasai sesebuah kawasan menyebabkan timbul konflik dari aspek bahasa, di kalangan pendatang dan masyarakat peribumi.

Dari segi perlembagaan, bahasa Inggeris bukanlah bahasa rasmi Australia sebaliknya diterima untuk digunapakai bagi semua urusan dalam negara. Perkembangan bahasa Inggeris di kalangan penutur di sini menyebabkan wujud cabang keluarga bahasa yang dilabelkan sebagai 'Inggeris Australia'.

'Inggeris Australia' berbeza dengan bahasa Inggeris standard lain dari segi sebutan, ejaan, fonetik hasil percampuran istilah dan dialek penduduk asal dengan kumpulan kolonis.

73% penduduk Australia menggunakan Inggeris Australia, 12% kekal menggunakan bahasa etnik peribumi sementara selebihnya gabungan Mandarin, Arab, Kantonis, Vietnam, Itali dan beberapa bahasa lain.

4. Amerika Syarikat

founding fathers amerika syarikat pengasas

Sedar tak anda Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang bahasa rasmi dalam perlembagaan negara mereka? Walaupun majoriti penduduk di sana melebihi 70% menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka, bahasa Inggeris bukanlah bahasa rasmi negara itu.

Kisah kenapa situasi ini kekal sehingga sekarang adalah disebabkan oleh pengaruh tokoh-tokoh zaman tersebut yang merasakan tiada keperluan untuk mereka menamakan satu bahasa sebagai bahasa rasmi, disebabkan oleh pengaruh bahasa-bahasa lain seperti Jerman di kalangan masyarakat mereka zaman tersebut.

Pembentukan Amerika Syarikat berlaku tanpa pengisytiharan bahasa rasmi, namun negeri-negeri di dalamnya boleh menamakan bahasa rasmi mereka sendiri bermula pada tahun 1981, selepas gerakan mendesak bahasa Inggeris perlu diletak sebagai bahasa rasmi dimulakan kumpulan aktivis.

5. United Kingdom

bahasa rasmi united kingdom

Sementara majoriti negara dunia menamakan bahasa Inggeris United Kingdom sebagai bahasa rasmi, realitinya United Kingdom sendiri tidak menamakan bahasa mereka dalam perundangan mereka.

Dari segi etimologinya, 'English' merujuk kepada bahasa rasmi orang Inggeris/England namun disebabkan oleh perubahan jajahan takluk England yang turut sama (pernah) merangkumi Wales, Scotland, Ireland dan beberapa buah jajahan lain - setiap negara/tempat itu mempunyai kaedah berkomunikasi mereka sendiri.

Oleh sebab itu tiada perletakan bahasa rasmi untuk United Kingdom walaupun kini bahasa Inggeris digunapakai lebih 98% penduduk mereka, dengan kumpulan selebihnya menggunakan bahasa Scotland, Wales dan beberapa bahasa lain yang semakin kurang diamal pertuturannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)