Ekonomi berorientasikan masyarakat Islam merupakan sesuatu yang biasa bagi kita di Malaysia namun situasi sama tidak kelihatan bagi majoriti negara dunia lain.

Dalam aspek ekonomi dunia, masyarakat Islam sebagai pengguna, pengeluar serta peniaga masih pengaruhnya, sehingga mengakibatkan pecahan ekonomi yang dikuasai orang Islam masih layak rendah walaupun sedang meningkat naik. Tahukah anda negara manakah paling terkedepan dalam pembangunan ekonomi berorientasikan Muslim di seluruh dunia?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima negara paling maju merangkumi 6 sektor iaitu kewangan Islam, industri halal, fesyen, pelancongan, perubatan dan kosmetik dan media apabila diukur tahap kemajuan 81 negara diselidik.

5. Turki

turki pendahulu industri tekstil

Turki merupakan antara negara majoriti Islam paling seimbang pembangunan ekonominya.

Ini dapat dibuktikan apabila Turki duduk dalam kedudukan 10 teratas dalam kesemua sektor yang diukur, kecuali sistem kewangan Islam di mana pencapaian Turki masih jauh di belakang kebanyakan negara pendahulu.

Walaupun demikian kedudukan Turki sebagai tulang belakang ekonomi masyarakat Islam dunia tidak boleh dicabar, menjadi antara negara pengeksport dan pengimport terbesar di dunia bukan hanya setakat di kalangan negara Islam semata-mata.

Turki duduk dalam tangga ke 3 sektor industri halal dan sektor pelancongan, tangga ke 7 dalam sektor perubatan dan kosmetik dan kelima dalam sektor media pada tangga ke 5. Sektor industri fesyen menjadi kekuatan utama ekonomi Turki sehingga layak duduk di tangga ke 2 dalam senarai, menjadi antara pengeksport terbesar dunia bahan tekstil, fabrik dan tenunan.

Atas perkembangan baik ini, Turki melonjak 7 anak tangga ke tangga ke 5 bagi tahun 2022 jika dibandingkan dengan 81 ekonomi Islam di seluruh dunia.

4. Indonesia

industri halal indonesia

Berdasarkan kajian yang dijalankan, jelasIndonesia ketika ini sudah mula menampakkan indikator bahawa negara itu sedang bangkit dalam ekonomi berorientasi Muslim, dipacu oleh jumlah populasi masyarakat Islam terbesar yang mereka ada.

Ekonomi Islam di Indonesia  tidak meletakkan negara republik itu sebagai pendahulu dalam mana-mana sektor, tetapi mempunyai kadar purata yang cukup cantik; didokong kuat oleh kedudukan mereka sebagai negara kedua terpenting dalam sektor makanan halal.

Indonesia menjadi antara pengeksport utama produk makanan halal ke negara-negara Kesatuan Islam Sedunia (OIC), dengan kadar 16% daripada jumlah keseluruhan setiap tahun dan angka ini sedang konsisten meningkat.

Sistem kewangan Islam di Indonesia juga menampakkan peningkatan ketara di mana mereka menduduki tangga ke 6 berbanding 81 buah negara lain. Sektor fesyen sederhana mesra Muslim juga menjadi tunjang ekonomi Islam Indonesia di mana mereka duduk di tangga ke 3.

3. Emiriyah Arab Bersatu

inovasi teknologi tunjang uae

Kekuatan utama ekonomi Islam di Emiriyah Arab Bersatu datang daripada industri fesyen dan pakaian mereka, yang jauh mendahului negara-negara lain.

Selain itu Emiriyah Arab Bersatu juga tidak ketinggalan mengalami perkembangan menggalakkan dalam sektor media, ekoran daripada penglibatan masyarakat tempatan dalam penghasilan kandungan-kandungan media yang berpandukan garis panduan Islam meletakkan mereka di tangga ke 3.

Dalam aspek inovasi yang tidak diambil kira dalam indikator keseluruhan, Emiriyah Arab Bersatu diletak sebagai pendahulu menerusi pendekatan mesra teknologi baru yang diamalkan kerajaan di sana.

Sistem kewangan Islam digital, sistem perladangan pintar dan penerapan matawang kripto serta blok rantaian berorientasikan Islamik, menjadi antara teknologi baru yang telah berjaya bertapak di sana.

2. Arab Saudi

kewangan islam arab saudi

Arab Saudi duduk di tangga ke 6 dalam kedudukan perbandingan nilai KDNK daripada kesemua 81 negara yang dinilai. Namun kekuatan ekonomi mereka yang didokong oleh jumlah populasi mirip dengan kita tak kurang hebatnya.

Negara ini tidak mendahului dalam mana-mana sektor yang dinilai, tetapi secara puratanya mempunyai perkembangan ekonomi yang cukup cerah.

Kekuatan Arab Saudi terletak dalam pembangunan sistem kewangan Islam, layak duduk ditempat kedua jauh mendahului negara-negara di belakangnya yang banyak membantu kedudukan Arab Saudi secara keseluruhan dalam senarai.

Bagi sektor lain, Arab Saudi duduk di tangga ke-8 dalam industri makanan halal dan ke 7 dalam pelancongan tetapi tidak disenaraikan dalam 10 kedudukan terbaik bagi sektor fesyen, perubatan dan kosmetik serta media.

1. Malaysia

malaysia ekonomi islam

Sedarkah anda untuk 9 tahun berturut-turut negara kita sebenarnya telah dinobatkan juara pembangunan ekonomi berteraskan Islam, mendahului majoriti negara Islam lain?

Pencapaian itu manis kerana dari segi saiz ekonomi, kita hanya menduduki tangga ke 8 dalam nilai KDNK berbanding negara Islam lain.

Tetapi itu tidak menghalang Malaysia mendahului 81 negara dalam 4 sektor utama yang menjadi kekuatan kita iaitu sistem kewangan Islamik, industri halal, pelancongan dan media.

Apa yang sangat membanggakan adalah perkembangan masyarakat kita terhadap sistem kewangan Islam.

Peningkatan aset kewangan bersifat Islamik negara kita meningkat 9% dalam tahun 2021 dan dana berorientasikan Islamik juga naik 20%, walaupun masih banyak komen negatif masyarakat kita dapat didengari setiap hari tentang topik ini.

Dalam aspek media, usaha anak tempatan kita menerbitkan rancangan berorientasikan Islamik dan keagamaan dipuji, meletakkan kita jauh meninggalkan negara lain khasnya pengaruh siri animasi Islamik seperti 'Omar dan Hana.'

Dua sektor yang kita agak ketinggalan adalah industri fesyen di mana Malaysia hanya menduduki tangga ke 9. Manakala bagi industri farmasi dan perubatan, kita agak terkebelakang berbanding pendahulu iaitu Kuwait.

Rujukan

State of the Global Islamic Economy 2022 (produced by Dinar Standard)




Hakcipta iluminasi.com (2017)