Kenaikan kos mengerjakan haji bukanlah sesuatu yang ada dalam kawalan kita, kerana ketetapan perbelanjaan yang diperlukan ditentukan kerajaan Arab Saudi.
Bagi tahun 2022, diramalkan peningkatan kos yang besar akan berlaku seiring dengan pengumuman kerajaan Arab Saudi memperkenalkan perubahan rosedur operasi standard dalam semua urusan jemaah haji. Majoriti kenaikan dikatakan berpunca daripada cukai nilai tambah (VAT) yang kini ditetapkan pada kadar 15 peratus.
BESARKAN TEKS A- A+
Kos mengerjakan haji memang satu isu besar di kebanyakan negara seperti kita, India Indonesia dan negara-negara yang memiliki kumpulan masyarakat Muslim yang besar.
Persoalannya - di manakah paling rendah beban kewangan untuk mengerjakan haji?
Negara paling rendah kos mengerjakan haji
Jika anda ingin tahu negara paling rendah kos mengerjakan ibadah haji, jawapannya sudah pastilah Arab Saudi sendiri. Mestilah kan! Namun jangan ingat tak ada kos dikenakan pula.
Kos paling bajet untuk mengerjakan haji bagi orang tempatan di sana adalah di antara RM3,375 (SAR3,000) dan RM5,625 (SAR5,000). Harga ini adalah berpandukan kepada pakej 'haji bajet' yang perlu disediakan kesemua agensi pengurusan jemaah tempatan di sana.
Bagaimanapun bagi yang mengambil pakej ini, mereka masih perlu membayar beberapa kos tambahan seperti tiket keretapi dan beberapa tambahan lain. Dengan bayaran itu, semua jemaah tempatan disediakan makanan 3 kali sehari, minuman tanpa had, kemudahan perubatan, sekuriti dan juga penyeliaan fasiliti.
Bagi golongan warga tempatan yang berkemampuan, ada tiga pakej lebih lengkap disediakan kepada mereka. Pakej pertama bermula pada harga RM13,635, yang kedua berharga RM16,185 dan yang paling mahal dikenakan kos RM18,639.
Walaupun tak perlu terbang ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji, kos untuk warga tempatan masih layak dikira tinggi kan?
Negara mana mensubsidikan kos haji?
Kita di Malaysia mungkin sudah biasa dengan sistem subsidi yang diaplikasi bagi merendahkan kos ibadah haji jemaah setiap tahun.
Selain kita beberapa negara lain seperti Indonesia dan juga India turut mempunyai sistem pensubsidian membolehkan masyarakat Muslim yang menetap di sana, perlu membayar amaun lebih rendah berbanding sepatutnya.
Namun India telah mula menamatkan pemberian subsidi ini secara berperingkat, bermula pada tahun 2012 secara berperingkat, dengan pemansuhan penuh bagi kesemua jemaah ternoktah dalam tahun 2018.
Program pemberian subsidi di India sudah dimulakan sejak tahun 1954 melalui subsidi tiket kapal terbang. sebelum diperluaskan merangkumi skop lebih besar.
Sebelum pemansuhan, kerajaan India menanggung sekitar RM7,665 untuk seorang jemaah haji. Pemansuhan Ini dilakukan selaras dengan dasar kerajaan India yang mahu merasionalisasikan peruntukan, untuk kegunaan lebih luas dalam membantu kumpulan minoriti di India.
Bagi Indonesia, sistem subsidi untuk jemaah haji mereka dikelolakan oleh Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) yang bertanggungjawab mengendalikan wang simpanan jemaah, di mana keuntungan pelaburannya akan digunakan untuk menjana subsidi yang bakal diagihkan.
BPKH sebelum ini dilaporkan menanggung kira-kira 35% daripada kos keseluruhan sepatutnya yang perlu dibayar jemaah, tetapi baru saja mengumumkan pengurangan subsidi yang bakal menyebabkan bayaran mengerjakan haji meningkat.
Kos sebenar jemaah haji Indonesia ketika ini adalah kira-kira RM20,565 (70 juta rupiah) dan jemaah akan perlu membayar anggaran separuh, iaitu RM10,285 atau 35 juta rupiah.
Indonesia atau Malaysia lebih murah?
Sekiranya kita membandingkan kos purata bayaran mengerjakan ibadah haji di antara negara Asia Tenggara yang mempunyai kepadatan peratusan masyarakat Islam di dalamnya, empat negara boleh dijadikan perbandingan iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan SIngapura.
Kos jemaah haji dari Malaysia dan Indonesia merupakan dua yang termurah walaupun secara atas kertas Indonesia adalah yang paling rendah.
Seperti yang kami katakan, kos sebenar seorang jemaah haji Indonesia adalah RM20,565 dan bagi Malaysia anggaran yang terbaru dianggarkan akan naik sekitar RM25,000.
Subsidi menjadikan kos jemaah Indonesia turun kepada RM10,285 belum mengambil kira wang sejumlah RM1688 yang akan dipulangkan kepada jemaah di Arab Saudi, sebagai bantuan perbelanjaan.
Sementara itu kos bagi jemaah Malaysia adalah sekitar RM9,980 mengikut kadar lama.
Bagaimanapun wujud beberapa kelebihan yang ada dalam pakej haji bagi rakyat Malaysia yang memberikan jemaah kita lebih kemudahan berbanding jemaah Indonesia, khasnya apabila melibatkan penginapan dan kemudahan yang disediakan selain jumlah hari yang lebih lama di tanah suci Mekah.
Dua negara lebih kecil iaitu Singapura dan Brunei pula masing-masing secara puratanya mempunyai kos mengerjakan haji lebih tinggi, dengan Brunei mempunyai kos tertinggi. Rakyat Singapura dengan kuota jemaah sekitar 800 orang perlu mengeluarkan sekitar RM22,471 minima untuk perbelanjaan jemaah haji tanpa subsidi.
Manakala Brunei mempunyai purata RM37,950 perlu dibelanjakan untuk ke tanah suci Mekah dalam musim haji dengan kuota sekitar 320 ke 400 orang jemaah.
Berdasarkan kiraan, kos terbesar yang perlu ditanggung melibatkan seorang jemaah haji adalah kos penerbangan yang merangkumi hampir 40% daripada kos keseluruhan dan penginapan sekitar 30%.
Harus diingatkan kita dan Indonesia menggunakan sistem subsidi yang menurunkan kosnya. Persoalannya - sekiranya sistem subsidi ini dimansuhkan seperti apa yang telah berlaku di India, apa reaksi anda?