Negara-negara yang terbentuk dalam status 'de facto state' atau 'negara atas dasar fakta' mempunyai kedudukan yang unik, dalam arena politik antarabangsa. 

Berbeza dengan majoriti negara dunia yang bersifat 'de jure state' atau 'negara atas dasar undang-undang', situasi negara-negara 'de facto' ini boleh dikatakan kurang stabil, ada yang sentiasa bergolak dan sukar berkembang dalam pelbagai aspek. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun demikian sesetengah negara kuasa besar dunia khasnya, tetap mengiktiraf kewujudan negara-negara de facto ini disebabkan oleh kepentingan mereka. Kerajaan Russia misalnya menyokong sebuah kerajaan negara tidak rasmi digelarkan Abkhazia.

Abkhazia - pecahan Georgia yang pro-Russia

peta abkhazia

Kemelut perpecahan negara di bawah Kesatuan Soviet masih berterusan sehingga ke hari ini.

Salah satu konflik terbesar melibatkan Russia adalah persengketaan negara kuasa besar dunia itu dengan Georgia - yang mencetuskan peperangan di antara kedua-duanya, berlaku pada bulan Ogos 2008 menyebabkan perang itu dikenali sebagai Perang Ogos.

Perang yang memuncak hanya dalam masa singkat itu berlaku akibat rentetan kekeruhan hubungan di antara Russia dan Georgia, yang sebenarnya sudah bermula pada tahun 1991 selepas Republik Georgia mengisytiharkan kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet.

Kisahnya, ketika di bawah Soviet, Abkhazia merupakan salah sebuah wilayah yang mempunyai autonomi ke atas pentadbiran ketika di bawah Soviet Georgia.

Namun kemerdekaan Georgia dari Soviet mula menyebabkan kuasa autonomi itu tersekat, sehingga mewujudkan konflik di antara pentadbiran Abkhazia yang majoritinya etnik Abkhaz dengan kerajaan baru Georgia yang dipenuhi etnik Georgian.

Selepas perang yang tercetus pada tahun 1992 di antara orang Abkhaz dan George dimenangi Abkhaz, masyarakat Abkhaz mula mencatur strategi untuk menghapuskan pengaruh orang George di sana.

Harus diceritakan di sini, dalam konflik tersebut pejuang pemisah Abkhazia bukan saja mendapat sokongan diplomatik daripada Russia, bahkan Russia juga menjadi pembekal utama kelengkapan perang tentera pemberontak Abkhazia.

Pembersihan etnik bagi mengusir orang George keluar dari Abkhazia mula dijalankan secara besar-besaran selama beberapa tahun walaupun tindakan itu dikritik masyarakat antarabangs, khasnya negara-negara yang mengiktiraf keabsahan kuasa kerajaan Georgia ke atas Abkhazia.

Pembersihan etnik yang 'berjaya'

perang abkhazia

Untuk beberapa tahun berikutnya, etnik bukan Abkhaz di Abkhazia tak kiralah orang Georgia, Armenia mahupun Russia dihambat keluar. Mereka yang bernasib malang dibunuh. 

Semua ini dirasakan perlu disebabkan oleh kedudukan masyarakat Abkhazia yang semakin lama semakin terhimpit, menjadi minoriti di tanah sendiri.

Kehadiran pendatang dari luar mula menyebabkan etnik Abkhaz hilang suara mereka dan dipinggirkan - jadi pembersihan etnik adalah jalan terbaik untuk menyeimbangkan kembali apa yang sudah berlaku.

Dalam proses yang memakan masa panjang, populasi Abkhazia sebelum perang yang direkodkan pada tahun 1989 sekitar 525,000 orang turun kepada 216,000. 

Usaha untuk mencapai solusi ke atas konflik ini sukar mencapai kata penamat, ekoran kedegilan semua pihak yang terlibat. Kerajaan Georgia misalnya - hanya mengiktiraf Kerajaan Autonomi Republik Abkhazia yang ditubuhkan pada tahun 1993, bersifat pro-kerajaan Georgia.

Sementara itu bagi kumpulan pemberontak Abkhazia, mereka mula mencatur langkah mewujudkan Republik Abkhazia. Perlembagaan negara itu dibentuk pada bulan November tahun 1994 dan Vladislav Ardzynba naik menjadi presiden pertama republik itu. Pungutan suara atau referendum bagi mengesahkan status kemerdekaan Abkhazia di kalangan warga mereka bagaimanapun hanya dijalankan pada 3 Oktober 1999.

97.7% daripada peserta referendum bersetuju untuk mengekalkan perlembagaan yang telah dibentuk, jadi secara de facto-nya mahu Abkhazia keluar dari Georgia secara rasmi.

Selepas perang reda

presiden russia bertemu presiden abkhazia

Perang yang sebelum itu berlaku besar-besaran mula reda selepas pemimpin kedua-dua kerajaan mula melakukan percaturan diplomasi. Georgia yang didokong oleh negara NATO dan Abkhazia yang disokong Russia mula bermain taktik berbeza. 

Namun situasi di kedua-dua negara ini semakin panas akibat dua peristiwa. Vladimir Putin naik menjadi Presiden Russia yang rasmi (selepas bergelar pemangku) pada 26 Mac 2000 mula lebih lantang mengkritik banyak tindakan Georgia, khasnya melibatkan keengganan Georgia mengikuti persetujuan yang telah dicapai dalam menyertai Komanwel Negara-Negara Bebas tahun 1991.

Mengikut persetujuan asalnya, Georgia akan membenarkan Russia membuka empat pengkalan tentera di negara itu. Selepas berlakunya revolusi perubahan kuasa di Georgia yang menjatuhkan kerajaan Georgia pada tahun 2003, pimpinan baru Georgia yang naik mula melaksanakan dasar-dasar yang jelas pro-NATO dan kuasa barat.

Georgia akhirnya memilih untuk keluar daripada gabungan tersebut, memaksa Russia bertindak balas.

Perang Russia-Georgia 2008

warga abkhazia pro russia

Pada bulan Mac tahun 2008, kerajaan republik Abkhazia melakukan permohonan kepada Russia bagi menyokong status kemerdekaan negara itu. 

Tindakan Abkhazia itu diterima baik Parlimen Russia yang mengeluarkan resolusi untuk mula mengiktiraf kewujudan Abkhazia pada 21 Mac. Presiden Vladimir Putin sendiri mula menggunakan kata panggilan 'Presiden' kepada Presiden Republik Abkhazia, bagi menunjukkan tanda sokongan beliau.

Beberapa tindakan Russia selepas itu mula menimbulkan kebimbangan negara kuasa dunia lain, apatah lagi banyak tindakan Russia mula membelakangi kerajaan Georgia yang sah.

Bermula pada 8 Ogos 2008, tentera Russia mula menceroboh masuk beberapa bandar di Georgia secara besar-besaran atas alasan 'operasi khas pasukan pengamanan.' Pertempuran yang berlangsung selama 2 hari memaksa tentera Georgia berundur dari beberapa lokasi, sehinggalah gencatan senjata diisytiharkan oleh Georgia pada 12 Ogos 2008.

Walaupun demikian tentera Russia tidak berhenti, sebaliknya meneruskan kemaraan ke beberapa buah kawasan dan berjaya mengambil alih pentadbiran.

Hanya bermula pada tanggal 17 Ogos Russia mula mengeluarkan angkatan tentera mereka dari Georgia selepas perbincangan meditasi yang berjaya, dipengerusikan Presiden Perancis (ketika itu) Nicolas Sarkozy.

Berdasarkan kepada resolusi yang dicapai sebelum itu, kerajaan Russia mula mengiktiraf kedudukan Abkhazia sebagai sebuah negara pada 25 Ogos 2008 dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara itu. 

Sebagai sokongan kepada masyarakat Abkhazia yang sudah pastilah sukar untuk bergerak dalam sistem antarabangsa ekoran kekangan saluran diplomatik, semua warga Abkhazia yang perlu ke luar negara biasanya akan turut sama menjadi pemilik passport Russia, ekoran status dwi-kewarganegaraan yang dibenarkan Russia.

Sehingga kini, hanya Russia, Venezuela, Syria, Nicaragua dan Nauru menjadi negara rasmi mengiktiraf dan mewujudkan hubungan diplomatik dengan Abkhazia, menjadikan kehidupan di Abkhazia agak sama dengan jirannya Transnistria - juga sebuah lagi negara tidak diiktiraf tetapi sangat kuat pro-Russia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)