Sebut saja Malaysia dan apakah haiwan yang menggambarkan simbol negara kita - kita dah tahu dah harimau belang merupakan haiwan tersebut; diletakkan pada jata negara, logo-logo badan-badan tertentu serta merupakan simbol dan nama jolokan pasukan bola sepak kebangsaan kita.

Bagaimanapun, beberapa negara tertentu mengambil pendekatan yang agak berbeza serta unik dalam menamakan simbol rasmi negara mereka, dalam usaha membentuk identiti dan idea asas tentang masyarakat tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada lima negara yang telah menamakan haiwan atau binatang yang di luar kebiasaan sebagai simbol negara. Apakah negara-negara itu dan simbol apa yang telah mereka guna?

1. Bhutan - Naga Druk

bhutan druk naga petir dragon

Sekiranya anda meneliti bendera negara Bhutan, anda akan mendapati bendera negara tersebut dihiasi dengan seekor haiwan mitos dalam legenda mirip naga, berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina. Naga yang dinamakan sebagai Druk itu merupakan simbol rasmi negara tersebut.

Druk mengikut kepercayaan masyarakat Bhutan dan juga Tibet, adalah haiwan yang melindungi kekayaan negara mereka. Dipercayai menduduki kedudukan tertinggi antara semua naga, Druk mempunyai kuasa mengawal guruh dan kilat. Oleh kerana cuaca di Bhutan mempunyai kadar berlakunya ribut petir yang kerap di sekitar kawasan banjaran Himalaya, orang Bhutan percaya itu adalah suara Druk sedang mengaum.

Bagi menghormati kedudukan Druk dalam masyarakat mereka, walaupun secara rasmi negara Bhutan dikenali dengan namanya, dalam bahasa tempatan penduduk negara itu memanggil negara mereka 'Druk Yui' atau Tanah Druk. Selain itu, semua pemimpin tertinggi Bhutan dinamakan sebagai 'Druk Gyalpo' atau 'Raja Naga Petir.'

2. Scotland - Unicorn

unicorn scotland simbol

Masih mengekalkan tema haiwan mitologi, negara Scotland turut sama menggunakan haiwan yang hanya wujud dalam kisah-kisah dongeng iaitu kuda unicorn. Sejarah bagaimana unicorn dipilih sebagai haiwan rasmi negara Eropah itu agak panjang usianya. Masyarakat Scotland sejak zaman dahulu lagi percaya bahawa unicorn membawa simbol kesucian, selain daripada turut sama memaparkan kekuatan dan kuasa.

Walau demikian, sebab sebenar mengapa unicorn dipilih berpunca daripada rasa marah orang Scotland pada orang England, jadi unicorn yang dipercayai sebagai musuh utama haiwan singa (yang diguna England) dipilih berdasarkan kepada kisah rakyat mereka.

Simbol ini mula digunakan tentera mereka sekitar abad ke 12, sebelum unicorn diabadikan dalam syiling-syiling yang digunakan pada abad ke 15. Pada abad ke 17 selepas kedua-dua negara digabungkan di bawa pemerintahan Raja James VI, beliau mengubah jata tentera Scotland supaya memaparkan dua unicorn serentak; satu mewakili Scotland dan satu mewakili England.

3. Perancis - ayam jantan

perancis ayam jantan

Secara rasmi, nama ayam jantan yang menjadi simbol kepada negara Peranics digelarkan sebagai Coq Gaulois atau ayam jantan Gallic. Simbol ayam jantang ini mula digunakan semasa berlakunya revolusinya Perancis, tetapi sudah menghiasai loceng-loceng gereja mereka. Orang Perancis percaya ayam jantan membawakan sikap berani serta mempunyai sikap kepimpinan yang tinggi.

Pada awalnya, pemilihan simbol ini berlaku secara tidak sengaja. Sebelum tertubuhnya negara Perancis lagi, masyarakat Perancis zaman dahulu dikenali sebagai orang Gaul atau Gallicus. Istilah 'Gallicus' mempunyai bunyi yang mirip dengan 'gallus' yang merujuk kepada ayam jantan dalam bahasa Latin, jadi untuk menunjukkan taat setia mereka, orang Gaul memilih untuk menggunakan ayam jantan sebagai simbol mereka.

Simbol ayam itu menjadi semakin rapat dengan masyarakat Perancis ketika era reinassance, di mana pemerintahan Perancis berjaya disatukan dan ayam yang menjadi salah satu haiwan yang dipercayai suci dalam ajaran Kristian, mula diangkat sebagai simbol penyatuan agama dan negara mereka.

4. Indonesia - biawak komodo

pulau komodo indonesia haiwan rasmi

Sebut Indonesia, pasti kita akan terbayang haiwan garuda yang gagah menguasai langit yang digunakan sebagai simbol masyarakat mereka. Bagaimanapun, secara rasminya simbol haiwan rasmi negara Indonesia adalah biawak komodo. Benar! Pelik kan?

Haiwan reptilia ini diangkat sebagai simbol rasmi negara Indonesia berpunca daripada kewujudan haiwan tersebut dalam jumlah yang besar, khasnya di bahagian timur negara itu di mana mereka mempunyai pulau khas yang dinamakan Pulau Komodo, sempena haiwan tersebut.

Pulau Komodo telah pun diumumkan akan ditutup kepada pelancong bermula daripada bulan Januari tahun 2020, bagi meningkatkan semula jumlah biawak komodo yang ada di pulau itu yang dianggarkan hanya tinggal 1,700 ekor. Usaha ini bagaimanapun bakal memaksa lebih 2,000 orang yang tinggal di pulau tersebut berpindah keluar bagi membolehkan biawak komodo hidup tanpa gangguan manusia.

5. Korea Utara - kuda Chollima

kuda chollima simbol korea utara

Dalam kisah rakyat masyarakat China, wujud satu haiwan berupa kuda bersayap yang dinamakan sebagai Chollima dan haiwan ini diangkat oleh negara Korea Utara, sebagai lambang rasmi negara mereka yang sangat penting.

Pada mulanya, simbol Chollima digunakan oleh pemimpin pertama Korea Utara yang bernama Kim Il-Sung, ayah kepada Kim Jong-Il dan datuk kepada pemimpin Korea Utara sekarang iaitu Kim Jong-Un. Il-Sung mengasaskan gerakan Chollima pada tahun 1956, bagi membantu menyatukan masyarakat negara tersebut dalam usaha membangunkan negara selepas melalui tempoh perang dengan jiran mereka, Korea Selatan.

Chollima kuda mistik itu dipilih sebagai simbol dan dijadikan slogan-slogan dalam membentuk ketekunan orang ramai, seterusnya membantu mempercepatkan pemulihan negara tersebut. Sekiranya anda dapat ke Pyongyang, anda akan mendapati banyak tugu-tugu kuda Chollima dibangunkan bagi mengingtakan rakyat Korea Utara tentang semangat disebalik kuda terbang itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)